KUALA LUMPUR, 5 Nov -- Iklan dengan testimonial ‘bombastik’ menjadi jerat utama terhadap masyarakat negara ini terjerumus dalam pembelian ubat tidak berdaftar dalam talian termasuk di Facebook dan Instagram.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kawalan Iklan, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Normawati Mohamed Noor berkata teknik pengiklanan yang semakin canggih turut menyumbang kepada penjualan ubat secara dalam talian.
“Frasa seperti satu tablet ubat boleh sembuhkan semua penyakit, penggunaan gambar sebelum dan selepas, serta jaminan wang dikembalikan sering digunakan dalam iklan ubat.
“Namun tidak ramai yang sedar risiko terpaksa mereka hadapi dengan iklan sebegini seperti terdedah kepada produk racun berjadual,” katanya ketika menjadi tetamu di Bernama Radio bagi membincangkan tajuk Ubat dalam Talian #biarbetuliklanni!, malam ini.
Jelas Normawati, melalui kempen #biarbetuliklanni!, yang dicetuskan sejak 2016 dan berlangsung sepanjang Oktober lalu, pihaknya berharap pembeli lebih cakna dengan pembelian ubat melalui talian.
“Justeru, pembeli dinasihatkan agar sentiasa menyemak nombor pendaftaran dan kelulusan yang diberikan oleh KKM pada iklan-iklan penjualan ubat di dalam talian.
“Ini penting kerana pengguna bukan saja berdepan risiko kesan sampingan daripada ubat tidak berdaftar tetapi menyukarkan mereka membuat tuntutan jika berlaku sesuatu kerana maklumat penjual dan ubat tidak dipaparkan dengan tepat,” katanya.
Beliau berkata semakan itu boleh dilakukan di laman web rasmi KKM, portal farmasi.gov.my atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status.
“Secara asas, setiap produk ubat yang dijual perlu memaparkan kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU) dan mempunyai nombor pendaftaran dari KKM bermula dengan (initial) MAL dan diikuti lapan digit serta kod tertentu di mana kod-kod ini akan menentukan produk itu boleh dijual di platform tertentu atau hanya boleh didapati melalui preskrespi yang diberikan oleh pegawai perubatan,” katanya.
Normawati berkata jika ada 'superlative words' seperti nombor satu di dunia atau boleh menyembuhkan semua penyakit dalam iklan itu, ia memang tidak akan diluluskan oleh LIU.
“Malahan KKM sendiri sudah menyenaraikan 20 penyakit yang tidak boleh diiklankan seperti kanser, kencing manis dan penyakit berkaitan mata. Jadi, ini boleh menjadi asas kepada pengguna dalam mengenal pasti ubat yang telah mendapatkan kelulusan,” katanya.
Mengulas mengenai penguatkuasaan yang dilakukan oleh KKM dan agensi berkaitan untuk membanteras penularan iklan ubatan tidak berdaftar, Normawati menjelaskan setakat ini lebih 500 iklan disekat dan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Melalui statistik direkodkan oleh jabatan farmasi, kami dapati trend aduan pembelian ubat secara online semakin meningkat dengan 1,142 aduan berkaitan iklan ubat diterima sepanjang tahun lalu manakala sebanyak 900 aduan diterima dari Januari hingga September tahun ini,” katanya.
Beliau berkata pihaknya turut mempertingkatkan latihan dan peralatan di makmal siber bagi membantu dan memudahkan siasatan dan pendakwaan ke atas ubatan yang dirampas dalam setiap operasi dilakukan.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN