Polemik Rokok Elektronik Dan Vape

Usaha mengurangkan kemudaratan tembakau perlu dipertimbang dan dilaksanakan bagi membendung tabiat merokok - Dr Konstantinos Farsalinos, pakar kardiologi dan penyelidik di Pusat Pembedahan Jantung Onassis, Universiti Patras dan Sekolah Kebangsaan Kesihatan Awam di Greece (tengah). --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA ,

Oleh Erda Khursyiah Basir

SEOUL (Bernama) -- Isu penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau vape semakin panas dibahaskan dan mencetuskan polemik di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Antara sebabnya mungkin rentetan laporan pihak berkuasa Amerika Syarikat mengenai kira-kira 33 kematian dan 1,479 kes yang disahkan serta kes mungkin ada kaitan dengan penyakit pernafasan 'misteri' yang berpunca daripada menghisap vape. 

Terdapat juga kebimbangan di peringkat global mengenai penggunaan e-rokok atau vape dalam kalangan remaja terutama pelajar sekolah yang boleh menyebabkan kemerosotan moral dalam  kalangan generasi muda dan mewujudkan lebih banyak masalah sosial.

 

GESAAN AGAR DIHARAMKAN


Penggunaan rokok elektronik atau vape dikaitkan dengan 33 kes kematian di Amerika Syarikat. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kebimbangan demi kebimbangan inilah yang membuatkan banyak pihak menggesa kerajaan mereka mengharamkan sepenuhnya penggunaan vape. 

Di Malaysia, gesaan yang sama turut dibangkitkan. Baru-baru ini, 50 persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara menandatangani memorandum mendesak kerajaan melaksanakan segera pengharaman sepenuhnya pengambilan rokok elektronik.

Sesetengah pihak menyeru kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menjual rokok elektronik serta produk lain kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Negara jiran Malaysia iaitu Singapura dan Thailand telah mengharamkan vape. 

Korea Selatan pula menasihati warganya untuk berhenti menggunakan cecair rokok elektronik ekoran kebimbangan terhadap penyakit yang semakin meningkat. Kerajaan negara itu juga berikrar untuk mempercepatkan siasatan sama ada untuk mengharamkan penjualannya. Langkah ini sudah tentu akan menjejaskan pengeluar utama bahan ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan mereka tidak menemui sebarang bukti atau kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan e-rokok selamat bagi merawat ketagihan merokok.

 

PERLU MENGURANGKAN KEMUDARATAN

Berdasarkan perkembangan inilah, Seoul menganjurkan Asia Harm Reduction Forum (AHRF) ke-3 baru-baru ini.

Beberapa pakar berkongsi pandangan mereka mengenai alternatif tembakau, seperti e-rokok dan peranti panas yang tidak terbakar sambil menyatakan bahawa sememangnya sukar bagi kebanyakan perokok untuk menghentikan tabiat merokok.

Dilaporkan bahawa terdapat lebih 1.1 bilion perokok pada 2015 dan lapan juta kematian pada usia muda direkodkan setiap tahun akibat merokok.

Menurut Bank Dunia, kadar merokok dalam kalangan lelaki di negara Asia adalah tinggi dengan Indonesia berada pada kedudukan pertama perokok tertinggi iaitu 76 peratus. Ini diikuti Laos (57%), Korea Selatan (50%), China (48%) , Vietnam (47%), Kemboja (44%) dan Malaysia (43%).

Dr Konstantinos Farsalinos, pakar kardiologi dan penyelidik di Pusat Pembedahan Jantung Onassis, Universiti Patras dan Sekolah Kebangsaan Kesihatan Awam di Greece, berkata usaha mengurangkan kemudaratan tembakau perlu dipertimbang dan dilaksanakan bagi membendung tabiat merokok.

“Dadah dan alkohol dianggap berbahaya dan mungkin menjejaskan kesihatan individu, malahan mengganggu kehidupan orang lain, justeru perlu ada inisiatif untuk menggurangkan bahayanya.

“Ini melibatkan rawatan untuk berhenti daripada mengambil bahan yang berbahaya itu atau mengurangkan pengambilan. Dalam masa yang sama, sokongan psikologi serta sosial mungkin membantu mengurangkan risiko dan memberi manfaat kepada individu serta masyarakat, “ katanya kepada Bernama.

Menurut beliau lagi, kita sebenarnya mengaplikasikan pendekatan mengurangkan kemudaratan dalam kehidupan harian.

Beliau memberi contoh pengambilan ubat untuk merawat penyakit adalah pendekatan mengurangkan kesan ke atas kesihatan serta gejala menerusi penggunaan ubat-ubatan atau prosedur perubatan yang turut mempunyai risiko.

"Penggunaan topi keledar, memakai tali pinggang keledar semasa memandu, malah penggunaan kondom juga adalah antara pelbagai pendekatan yang kita lakukan bagi mengurangkan kemudaratan dalam kehidupan seharian untuk meminimumkan risiko.

 "Kita tidak sepatutnya terus membuat kesimpulan bahawa kita tidak boleh menunggang, memandu atau melakukan seks, semata-mata kerana risiko yang mungkin kita hadapi. Namun kita boleh berusaha mencari jalan menyelesaikan perkara ini. Oleh yang demikian, langkah yang sama perlu dibuat untuk isu merokok," jelasnya.

 

PRODUK HARAM

Dr Farsalinos memberi amaran bahawa produk haram yang dibeli di pasaran gelap dan di tepi-tepi jalan jalan boleh menjadi "sangat berbahaya".

"Produk haram ini tidak terdapat dalam pasaran (biasa) kerana ia mengandungi jumlah minyak ganja yang tinggi dan mungkin beberapa pelarut yang tidak sepatutnya digunakan dalam vape dan boleh menyebabkan keracunan dan membawa kesan sampingan lain.

"Sesetengah orang, terutama mereka yang mungkin ingin mencuba menghisap ganja atau sebarang (produk haram), akan membelinya dari pasar gelap. Ini tidak ada kaitan dengan produk yang anda beli dari kedai-kedai vape. Mereka yang hendak mencuba minyak ganja hanya perlu menggunakan peranti bateri untuk menghisap vape dan menyedut narkotik haram serta bahan kimia lain dalam bentuk cecair, " katanya.

Dr Farsalinos turut menasihatkan media agar tidak menggunakan istilah 'penyakit misteri' ketika menulis tentang penyakit berkaitan vape, kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.

"Ini bukan penyakit misteri. Pada dasarnya ia adalah keracunan akut, cara yang sama keracunan apabila makan makanan yang tercemar. Menggunakan produk haram untuk vape bermakna anda tidak mempunyai jaminan tentang keselamatan atau kualiti produk," katanya.

Beliau berkata, tiada benda yang selamat atau tidak berbahaya langsung jika "menyedut sesuatu". Apa yang paling penting adalah bagaimana risiko dan kesan berbahaya itu dapat dikurangkan dengan bertukar dari menghisap rokok tembakau kepada produk yang kurang berbahaya.

 

HEBAHKAN KEBENARAN

Dr Farsalinos berkata beliau tidak pernah mendengar mana-mana saintis menyatakan rokok elektronik sama sekali selamat.

“Tetapi saya amat setuju orang ramai perlu tahu perkara sebenar iaitu rokok elektronik atau e-rokok kurang sedikit bahayanya berbanding merokok.  

"Semestinya, kita tidak mahu bukan perokok, terutama remaja belasan tahun, mencuba produk ini, tetapi saya berpendapat bahawa adalah kesilapan yang besar untuk berbohong kepada orang ramai semata-mata kerana kita tidak mahu mereka mengambil e-rokok.

"Jika anda beritahu mereka bahawa e-rokok juga berbahaya sebagaimana merokok, maka adalah lebih baik mereka memilih untuk merokok kerana ia sama sahaja. Jika anda beritahu orang yang sudah merokok bahawa rokok elektronik dan rokok tembakau adalah sama, jadi mengapa mereka harus bertukar? Sebab itulah kita tidak boleh berbohong kepada orang ramai. Saya anggap ia tidak bertanggungjawab dan tidak patut dilakukan," katanya.

Prof David Sweanor, Profesor Adjunct di Fakulti Undang-Undang, University of Ottawa, yang turut  mengganggotai Lembaga Penasihat Pusat Undang-Undang Kesihatan, Dasar dan Etika berkata sebahagian besar bahaya merokok berpunca daripada menyedut asap dan bukannya nikotin.

Menurut beliau, kalangan ahli sains sudah maklum akan perkara ini sejak profesor tersohor, United Kingdom, Michael Russell, menghasilkan kajian mengenai merokok dan tabiat merokok pada sekitar 1970-an.

"Terdapat 20,000 kematian setiap hari di seluruh dunia akibat menyedut asap rokok. Orang merokok untuk mendapatkan nikotin tetapi mereka mati kerana asap rokok.

“Penjelasan ini membolehkan kita mampu mencegah jutaan kematian pada usia muda dengan membezakan antara bahan yang orang cari dan cara mereka mendapatkannya," jelas Sweanor.

Menurut beliau, dasar kesihatan awam pada dasarnya bertujuan mengurangkan risiko dengan cara pragmatik, dan pada masa yang sama ada kumpulan cuba memperkasakan masyarakat untuk membuat keputusan kesihatan yang lebih baik.

"Usaha ini adalah untuk mengurangkan risiko (dari segi) makanan, farmaseutikal, perjalanan udara, kereta dan pelbagai barangan lain di samping perkhidmatan dan aktiviti lain.

"Dalam hal ini, kita hanya perlu menerapkan dasar yang boleh mengurangkan bahaya yang berpunca daripada mereka yang menghisap rokok tembakau yang mudah terbakar," katanya

 

CABARAN

Profesor Tikki Pang (Pangestu), profesor pelawat Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, National University of Singapore berkata dalam usaha mengurangkan kemudaratan akibat bahaya merokok, negara Asia berdepan banyak cabaran antaranya salah faham dan mendapat maklumat yang kurang tepat dalam kalangan pembuat dasar dan pemacu politik serta ekonomi.

Cabaran lain adalah faktor kebimbangan dalam kalangan pihak yang berpotensi meraih faedah daripada rokok elektronik serta kemampuan membeli electronic nicotine delivery systems (ENDS) termasuk rokok elektronik, vape dan peranti pemanas-bukan-pembakar. 

Beliau menyatakan usaha berterusan perlu dibuat untuk memberi maklumat serta mendidik orang ramai terutama pihak berkepentingan mengenai fakta bahawa rokok elektronik adalah kira-kira 90 hingga 95 peratus kurang berbahaya daripada rokok yang mudah terbakar dan telah  terbukti membantu perokok berhenti merokok.

"ENDS seharusnya dijelaskan secara teliti dalam bentuk perundangan untuk membolehkan semua negara mengawalnya dengan berkesan.

"Belum ada bukti kukuh bahawa produk ENDS mungkin mendorong golongan muda mengambil rokok konvensional," katanya.

 

Diterjemah dan disunting oleh Rafe’aton Md. Ali dan Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018