Oleh Nurrul Huda Ahmad Lufti
ALOR SETAR, 12 Nov -- Delusi adalah salah satu jenis gangguan mental yang serius di mana mereka yang mengalami gangguan ini meyakini hal-hal yang tidak nyata atau tidak sesuai dengan keadaan sebenarnya.
Walau sudah terbukti bahwa apa yang diyakini penderita berbeda dengan kenyataan, penderita tetap berpegang teguh pada pemikirannya.
Pengambilan dadah terutama jenis syabu dan ganja secara berlebihan adalah antara penyebab utama kepada penyakit mental delusi dalam kalangan masyarakat yang sekiranya tidak ditangani boleh membawa padah kepada diri sendiri dan orang sekeliling.
Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Dr Omar Ali berkata hampir 60 peratus pesakit itu yang mendapatkan rawatan di HSB, di sini didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
“Saya pernah ada pesakit yang memang mengambil syabu ini hingga menjadikan dia tidak waras dan menghadapi delusi. Dia jadi agresif sehingga bertindak kasar kepada isterinya kerana menganggap isterinya curang, ada hubungan dengan lelaki lain, sedangkan tidak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dr Omar berkata faktor delirium iaitu apabila seseorang mengalami kerosakan buah pinggang dan hati juga boleh menyebabkan mereka mengalami delusi berikutan bahan perkumuhan dalam badan tinggi sehingga menjejaskan fungsi otak selain faktor genetik dan biologikal.
Beliau berkata, delusi terbahagi kepada empat kategori utama yang sering kali berlaku kepada seseorang individu iaitu ‘grandiose’, ‘erotomania’, ‘jealousy’ dan ‘persecutory’.
“Grandiose ini apabila seseorang individu itu merasakan dirinya hebat daripada orang lain misalnya merasakan diri seperti Imam Mahadi dan Nabi, erotomania pula apabila individu itu merasakan ada seseorang yang berpangkat besar dan kedudukan tinggi jatuh cinta kepadanya.
“Jealousy pula adalah cemburu keterlaluan sebagai contoh mengatakan isterinya ada hubungan dengan lelaki manakala persecutory pula di mana seseorang itu merasakan ada orang lain hendak buat jahat kepadanya, hendak tangkap dia ataupun ada orang lain nak bubuh racun dalam makanan dia,” katanya.
Beliau berkata, delusi agak mencabar untuk dirawat dan pesakit kebiasaan tidak mengakui mereka menghadapi masalah itu dan sukar untuk memberikan kerjasama bagi tujuan rawatan.
Sehubungan itu, katanya orang sekeliling terutama keluarga perlu lebih peka terhadap individu terdekat dengan memerhati perubahan keterampilan dan tingkah laku pelik supaya rawatan awal boleh diberikan kepada individu mengalami delusi.
Dr Omar berkata rawatan untuk mereka yang menghadapi delusi bermula dengan kaunseling dan kemudian psikoterapi dengan bantuan ubat antipsikosis bagi kes serius iaitu yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain. “Selain itu, kaedah lain untuk tahap teruk ialah kita berikan ‘Electroconvulsive Therapy’ ialah arus elektrik digunakan untuk seimbangkan semula perubahan kimia neurotransmitters yang berlaku dalam otak pesakit yang mendorongnya bertindak luar kawalan,” katanya.
Dr Omar berkata walaupun kadangkalanya kesemua rawatan itu tidak dapat menyembuhkan penyakit mental itu dengan sepenuhnya namun ia boleh mengawal tindakan pesakit supaya bertindak normal sekali gus dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan menyenangkan orang sekeliling.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN