Doktor, veterinar berperanan kurangkan kerintangan antibiotik



KUALA LUMPUR, 15 Nov  -- Profesional kesihatan, veterinar, masyarakat awam dan sektor pertanian perlu memainkan peranan penting dalam mengurangkan kejadian kerintangan antibiotik terhadap pesakit dan haiwan ternakan.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan hari ini, berkata ini kerana kerintangan antibiotik akan menyebabkan penurunan keberkesanan ubat dalam mengubati penyakit atau jangkitan.

Ia disebabkan oleh jangkitan bakteria yang menjadi kebal sehingga mengakibatkan pesakit gagal bertindak balas kepada rawatan standard dan menyebabkan penyakit sukar diubati.

“Situasi demikian boleh meningkatkan risiko kematian serta penyebaran atau penularan penyakit kepada orang lain, selain akan menimbulkan masalah kesihatan kepada haiwan, di mana haiwan yang sakit tidak akan dapat dirawat dengan sempurna.

“Jika haiwan tersebut adalah ternakan penghasil makanan, maka, apabila berlaku penyakit, sumber bekalan makanan berasaskan ternakan akan berkurangan dan tidak selamat, seterusnya boleh menyebabkan bekalan makanan terjejas,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersempena Kempen Minggu Kesedaran Antibiotik Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 yang disambut semalam di Institut Kesihatan Negara, Setia Alam.

Menurut kenyataan itu data di Malaysia menunjukkan kerintangan ‘Streptococcus pneumonia’ iaitu sejenis bakteria yang sering dijumpai dalam kalangan pesakit di komuniti adalah 36 peratus rintang kepada antibiotik ‘Erythromycin’.

Sementara, bakteria ‘Acinetobacter baumannii’ yang kebiasaannya ditemui di hospital telah menunjukkan 41 peratus rintang terhadap antibiotik ‘Meropenem’, iaitu sejenis antibiotik yang dikhaskan untuk merawat jangkitan yang serius.

Sehubungan itu antibiotik sewajarnya digunakan hanya untuk penyakit yang disebabkan oleh bakteria dan tidak diperlukan untuk mengawal jangkitan virus yang menyebabkan selesema biasa, sakit tekak atau demam denggi.

Pesakit pula perlu patuh kepada preskripsi doktor jika diberikan antibiotik, sementara penggunaan antibiotik untuk tujuan penggalak tumbesaran atau dalam ternakan yang sihat perlu dielakkan.

“Malaysia telah mengharamkan penggunaan antibiotik colistin dalam haiwan ternakan dan akan meluaskan senarai antibiotik yang dilarang penggunaan sebagai penggalak tumbesaran pada tahun-tahun akan datang.

“Penggunaan antibiotik secara rasional dan berhemah adalah tanggungjawab semua pihak dan kesedaran berkaitan penggunaan antibiotik dengan betul adalah penting demi menjaga kesihatan kita bersama dan generasi akan datang,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018