Sinergi Rawatan Islam Dan Psikiatri Untuk Penyakit Mental

Gabungan rawatan berbentuk "rohaniah" dan rawatan biologi serta psikiatrik di hospital didakwa dapat memberi kesan yang lebih positif kepada pesakit mental yang menjadikan rawatan lebih komprehensif serta menyeluruh.

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Sebut sakit mental, stigma masyarakat seseorang itu tidak waras atau lebih mudah “gila” dan ini menyebabkan tidak ramai yang tampil untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Mereka lebih selesa berjumpa dengan ustaz atau bomoh bagi mendapatkan rawatan sehinggakan apabila kes mereka akhirnya dirujuk ke hospital, ia sudah berada pada tahap kronik.

Dianggarkan 40 peratus daripada kes pesakit mental itu adalah disebabkan gejala schizophrenia.

Pakar Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan, Dr Mohd Azhar Mohd Yasin berkata kebanyakan pesakit mental yang mendapat rawatan di hospital adalah pesakit yang sama yang mencuba rawatan alternatif Pengubatan Islam.

Gabungan rawatan berbentuk "rohaniah" dan rawatan biologi serta psikiatrik di hospital didakwa dapat memberi kesan yang lebih positif kepada pesakit mental yang menjadikan rawatan lebih komprehensif serta menyeluruh.


Pakar Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan, Dr Mohd Azhar Mohd Yasin membentangkan kertas kerja pada seminar Penyembuhan Rohani Bagi Rawatan Penyakit Psikiatri. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Masalah yang berlaku apabila mereka yang mendapatkan rawatan alternatif seperti rawatan Pengubatan Islam tidak mahu datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

"Kebiasaannya apabila sakit yang dihadapi bertambah kronik, baharu mereka datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau pernah membuat kajian bertajuk "The Pathway To Health Care" pada tahun 2008 melibatkan pesakit mental jenis schizophrenia dan juga epilepsi atau lebih dikenali dengan istilah sawan babi di negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Kajian itu bertujuan mengenal pasti tempoh masa serta laluan yang diambil oleh pesakit sebelum datang ke hospital untuk rawatan.

Dapatan daripada kajian tersebut menunjukkan secara purata pesakit mental mengambil masa 24 bulan untuk datang ke hospital.

Laluan paling popular diambil oleh pesakit mental ialah berjumpa perawat tradisional iaitu 61.7 peratus, laluan kedua popular iaitu datang terus ke hospital diambil oleh 24.2 peratus pesakit mental, manakala laluan ketiga popular iaitu berjumpa doktor di klinik swasta diambil oleh 14.1 peratus pesakit mental.

Secara bandingan pesakit epilepsi datang lebih awal untuk rawatan di hospital. Kekerapan berjumpa dengan perawat tradisional dan status sosio-ekonomi yang rata-rata berpendapatan rendah dikenal pasti sebagai faktor penting menyumbang kepada kelewatan mendapatkan rawatan di hospital dalam kalangan pesakit mental.

 

RAWATAN LEBIH KOMPREHENSIF

Menurut Dr Mohd Azhar, rawatan di hospital menguna pakai pendekatan model Bio-PsychoSocial dan Spiritual. Pendekatan holistik ini menggabungkan empat elemen rawatan bagi merawat pesakit mental.

Selain diberikan ubat-ubatan (elemen biologikal) dan kaunseling (psikologikal) serta sokongan sosial, elemen kerohanian turut dimasukkan untuk menjadikan rawatan yang lebih lengkap.

"Rawatan Pengubatan Islam, merupakan elemen rawatan kerohanian yang penting dan bersesuaian dengan latar belakang agama dan budaya pesakit di sini. Penerapan rawatan Pengubatan Islam untuk rawatan penyakit mental di hospital bersifat complementary, iaitu saling melengkapkan rawatan perubatan sedia ada.

"Di Hospital USM, kita benarkan pesakit mendapatkan rawatan daripada pengamal rawatan Islam dan gabungan ini memberi kesan positif terhadap kesembuhan", jelasnya.

Gabungan antara kaedah perubatan moden dan rawatan Islam boleh digabungkan selagi mana kaedah rawatan yang diguna pakai tidak mengganggu dan berlawanan dengan rawatan hospital.

Dr Mohd Azhar menambah, gabungan rawatan tersebut adalah bersesuaian dengan status Hospital USM sebagai “Hospital Mesra Ibadah".


Ketua Penyelaras UMCAS, Dr Rusdi Abdul Rashid, bersama peserta seminar Penyembuhan Rohani Bagi Rawatan Penyakit Psikiatri. -- Gambar ehsan UMCAS

Bagaimanapun, pada masa ini, rawatan Pengubatan Islam belum lagi dibuat secara formal disemua hospital di seluruh negara.

Kajian akademik perlu dilakukan bagi mendapatkan bukti saintifik bagaimana rawatan Pengubatan Islam boleh membantu pesakit mental agar pintu yang lebih luas dapat dibuka untuk pengamal rawatan Islam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr Rushdi Ramli  berkata selain mendapatkan rawatan doktor pakar di hospital, ramai pesakit mental yang berusaha mendapatkan rawatan di pusat rawatan Islam terutama  masalah kemurungan, lemah semangat, fobia, was-was, nyanyuk, pelupa, keresahan ataupun schizophrenia.

Di dalam merawat pesakit mental, para ulama di bidang ini menyusun pelbagai pendekatan yang berasaskan kepada ayat terpilih di dalam Al-Quran dan doa tertentu yang muktabar dan mustajab bagi merawat penyakit ini. 

"Setiap pesakit akan dirawat melalui simptom yang dinyatakan namun dalam masa yang sama turut menekankan agar pesakit mendapatkan rawatan di hospital.

"Harus difahami, pengubatan cara Islam adalah satu bentuk rawatan yang bersifat komplementari  iaitu pelengkap kepada perubatan moden. Melalui doa-doa rawatan yang dibacakan kepada pesakit disamping penggunaan bahan air dan daun bidara secara teratur," ujar beliau yang juga perupakan salah seorang perawat di Pusat Rawatan Darussyifa.

Pusat  Rawatan Darussyifa diasaskan oleh Allahyarham  Tuan Guru Datuk Dr Haron Din yang bertanggungjawab memperkenalkan cara rawatan Islam kepada masyarakat umum di Malaysia bermula 1988.

 

MAKLUM BALAS POSITIF

Dr Rushdi memberitahu Bernama, maklum balas pesakit dan penyelidikan yang dilakukan di Pusat Rawatan Darussyifa memperlihatkan kesan positif yang amat baik malah kesembuhan penyakit setelah mendapat rawatan di sini.

Sebanyak 70 peratus daripada responden yang ditemu bual dalam soal selidik yang dijalankan sejak dua tahun lalu menyatakan kesan yang amat positif melalui rawatan yang diberikan.

Dari satu sudut lain, katanya, rawatan Islam mempunyai kaitan yang amat rapat dengan unsur keimanan dan keyakinan umat Islam terhadap  kitab Al-Quran yang dinyatakan dengan jelas keistimewaannya sebagai penyembuh penyakit manusia, fizikal dan rohani.

Bagi membuktikan rawatan Islam berkesan sebagai pelengkap rawatan moden di hospital, penyelidikan ilmiah  yang berkaitan dengan rawatan Islam perlu diperbanyakkan lagi.

Pendedahan tentang sistem rawatan Islam di negara ini sangatlah kurang  dan sebahagian masyarakat melihatnya sebagai sesuatu yang asing serta tidak pernah wujud dalam khazanah ilmu Islam.

"Rawatan Islam ini berhadapan cabaran  terutama daripada pengamal perubatan moden yang lebih cenderung untuk menjadikan evidence -based sebagai satu-satunya metod rawatan yang valid untuk kesejahteraan masyarakat.

"Sekiranya pengajian  perubatan alternatif lain seperti perubatan Cina dan tradisional Melayu  di peringkat diploma dan ijazah diperkenalkan di beberapa institusi pengajian tinggi, maka rawatan Pengubatan Islam juga seharusnya mula mengorak langkah ke arah yang sama," katanya.

 

 KAJIAN SEGERA PERLU DILAKUKAN

 Pusat Penyelidikan Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS) mengambil langkah awal dengan menganjurkan seminar Penyembuhan Rohani Bagi Rawatan Penyakit Psikiatri  ((Psychiatric Illness And Treatment  For Spiritual Healers) bersama Pusat Rawatan Darussyifa baru-baru ini.

Ketua Penyelaras UMCAS, Dr Rusdi Abdul Rashid berkata usaha yang dilakukan ini bagi mencari titik pertemuan untuk rawatan perubatan psikiatri dan rawatan Islam bagi penyakit mental.

Rawatan psiko spiritual seperti rawatan Islam dan kaedah perubatan tidak boleh bersendirian sebaliknya perlu mencari sinergi untuk meningkatkan kadar pemulihan pesakit.

"Rawatan psiko-sosial dan spiritual sahaja tidak mencukupi. Tetapi sekiranya kedua-dua rawatan ini bersama ubat-ubatan dan psikiatri di hospital dapat digabungkan, keputusannya menjadi lebih baik.

"Usahasama ini amat perlu agar penyelidikan mengikut evidence based medicine bagi rawatan Islam dapat dijalankan agar diterima sebagai salah satu rawatan alternatif oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Kajian ini katanya perlu dijalankan segera agar masyarakat mengetahui rawatan Islam seperti Pusat Rawatan Darussyifa  dan perubatan moden di hospital memberi manfaat kepada pesakit mental.

"Kita berharap ada pihak yang akan membantu memberikan dana untuk menjalankan kajian ini segera," katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018