16,000 individu jalani saringan kesihatan mental di Kelantan sehingga Jun

BACHOK, 18 Nov -- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah menyaring 16,000 individu menerusi Ujian Saringan Kesihatan Mental (DASS) tahun ini bagi mengenal pasti masalah ketidakseimbangan mental di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata saringan itu dilakukan serentak di klinik kesihatan seluruh Kelantan membabitkan individu berumur 18 tahun ke atas bermula Januari hingga Jun lepas.

"Program DASS dilaksanakan bagi memastikan individu yang bermasalah dapat dikenal pasti lebih awal, diberi bantuan rawatan dan seterusnya pulih menjalani kehidupan normal.

"Saringan menggunakan beberapa soalan DASS dan akan dinilai sama ada berada di tahap ringan, sederhana, teruk dan sangat teruk. Mereka yang di peringkat ringan dan sederhana akan diberikan khidmat rawatan manakala bagi yang teruk atau sangat teruk akan dirujuk kepada doktor psikiatri," katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Kelantan dan Ambo Nok Sihat Sokmo di sini, hari ini.

 Program itu melibatkan 260 pelajar daripada 19 buah sekolah daerah Bachok bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman kepada orang ramai khususnya golongan remaja mengenai kesihatan mental.

 Dr Zaini berkata isu kesihatan mental sangat sensitif dan sering mendapat tanggapan negatif masyarakat.

"Masyarakat kita mudah mengaitkan masalah mental dengan gila. Tanggapan ini salah kerana gila adalah satu daripada masalah kesihatan mental," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pada tahun 2020, dijangkakan masalah kesihatan mental akan menjadi masalah kesihatan kedua tertinggi bagi rakyat Malaysia.

Keadaan itu memberi amaran kepada semua pihak untuk mengambil langkah pencegahan yang lebih berkesan terutama dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran berkenaan masalah itu.

Untuk rekod, berdasarkan tinjauan kesihatan dan morbiditi kebangsaan 2015, peratusan masalah kesihatan mental dalam kalangan dewasa (16 tahun ke atas) di Kelantan adalah sebanyak 39.1 peratus manakala bagi kanak-kanak 10.3 peratus.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018