Lima kes jangkitan malaria manusia dikesan di Terengganu

Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU, 26 Nov -- Seorang penduduk Kampung Tepoh dekat Batu Rakit di  Kuala Nerus telah disahkan mengalami jangkitan malaria manusia jenis Plasmodium Malariae pada 23 Okt lepas.

Rekod di Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menunjukkan kes terakhir malaria bukan tempatan jenis ini dikesan di mukim Hulu Chukai di daerah Kemaman  pada tahun 2012. 

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata hasil siasatan yang telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Nerus selepas itu telah mengesan empat warganegara asing yang menghidap jangkitan malaria jenis yang sama. 

"Kesemua warganegara asing tersebut pernah bekerja di negara asal iaitu di Lombok, Indonesia dan datang ke Malaysia di antara bulan Februari hingga Julai 2019 secara persendirian.

"Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti punca sebenar jangkitan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kesemua mereka yang dijangkiti malaria berkenaan telah diberi rawatan sewajarnya setakat ini.

Dr Nor Azimi berkata PKD Kuala Nerus telah menjalankan aktiviti saringan ujian darah beramai-ramai dan saringan kes demam di kalangan penduduk di lokaliti kes bagi mengesan kemungkinan jangkitan malaria itu menular di kalangan penduduk terdekat.  

"Buat masa ini situasi kejadian malaria di Kuala Nerus ini adalah terkawal dan tiada jangkitan baru dikesan dalam tempoh hampir lima minggu dari tarikh kes pertama dikesan.

"Sebagai langkah pencegahan dan kawalan, PKD Kuala Nerus telah menjalankan semburan dinding kediaman dan mengedarkan kelambu bagi mengawal nyamuk pembawa malaria," katanya. 

Pemakluman kepada pengamal-pengamal perubatan berdekatan juga telah dilakukan agar lebih peka berkaitan kejadian wabak ini dan meningkatkan saringan malaria di kalangan rakyat tempatan dan juga warganegara asing yang datang ke fasiliti kesihatan masing-masing. 

Tambahnya, ini termasuk menjalankan ujian darah bagi mengesan jangkitan malaria dan memberi pendidikan kesihatan mengenai kaedah pencegahan jangkitan malaria kepada penduduk. 

Beliau berkata orang ramai terutama di daerah Kuala Nerus perlu mengelakkan diri dari gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan, memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang jika berada di luar rumah pada waktu malam.

"Penggunaan kelambu juga sangat digalakkan dan paling penting dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami demam," katanya.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2