Kes demam denggi di Melaka meningkat 221.9 peratus - exco

Low Chee Leong

MELAKA, 3 Dis  -- Kes demam denggi di Melaka meningkat sebanyak 221.9 peratus kepada 1,970 kes dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini berbanding 1,358 kes dalam tempoh sama, tahun lepas.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Low Chee Leong berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,389 kes direkodkan berlaku di daerah Melaka Tengah, Jasin (311 kes) dan Alor Gajah (270 kes).

Beliau berkata enam kematian akibat demam denggi direkodkan dalam tempoh itu dengan empat daripadanya di daerah Melaka Tengah manakala masing-masing satu di Alor Gajah dan Jasin.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 132 wabak (denggi) dilaporkan di Melaka pada tahun ini berbanding 41 wabak pada tahun lepas yang mana Melaka Tengah merekodkan 98 wabak, Jasin (22 wabak) dan Alor Gajah (12 wabak).

"Sebanyak 23 lokaliti wabak berulang dan 10 lokaliti hotspot dilaporkan sementara 12 lokaliti wabak masih aktif dikesan antaranya di Taman Jaya, Taman Sin Hoe, Taman Indah Seksyen 1, Taman Serkam Jaya dan Taman Merbok," katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975: Premis Tayar di Taman Teknologi Cheng di sini, hari ini.

Low berkata sebanyak 107,598 premis telah diperiksa dan 970 kompaun bernilai RM485,000 telah dikeluarkan dalam aktiviti penguatkuasaan dan pendakwaan di bawah APSPP 1975 dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 113 kes telah didaftarkan di mahkamah dan 17 daripadanya telah disabitkan kesalahan dengan denda berjumlah RM22,300.

Sementara itu, katanya satu daripada penyumbang kepada peningkatan kes demam denggi di negeri ini ialah longgokan tayar terpakai yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Sebanyak 28 premis jualan tayar di sekitar negeri ini telah diperiksa dengan 11 daripadanya dikesan positif pembiakan larva aedes dalam tempoh 1 Januari hingga hari ini," katanya.

Low berkata daripada jumlah itu, sebanyak 21 premis jualan tayar telah diperiksa dan enam daripadanya positif pembiakan larva aedes dalam operasi yang dijalankan di sekitar daerah Melaka Tengah hari ini.

Katanya, dua daripada premis tersebut iaitu di Taman Merdeka Permai diberi Notis Seksyen 8 APSPP 1975 yang mana pemilik premis diberi tempoh tujuh hari untuk melakukan pembersihan pada tayar yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Katanya lapan kompaun berjumlah RM4,000 turut dikeluarkan dalam pemeriksaan itu yang mana satu daripada premis terlibat iaitu di IKS Taman Merdeka 3 menerima tiga kompaun berjumlah RM1,500 manakala satu premis di Taman Teknologi Cheng diarah tutup selama 14 hari untuk tindakan pembersihan tempat pembiakan nyamuk aedes di bawah Subseksyen 8(3)(aa) APSPP 1975.

-- BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2