Kebersihan punca peningkatan kes demam denggi di Melaka



MELAKA, 5 Dis  -- Aspek kebersihan antara punca peningkatan kes demam denggi di Melaka dan ia merupakan tanggungjawab semua pihak dalam memastikan kawasan sekeliling mereka bebas daripada potensi pembiakan nyamuk aedes.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata wabak denggi tidak akan dapat ditangani sepenuhnya sekiranya aspek kebersihan tidak menjadi keutamaan dalam kehidupan harian rakyat di negeri ini kerana di peringkat kerajaan negeri menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), pelbagai usaha telah dilaksanakan secara berkala bagi menanganinya.

Beliau berkata sebagai contoh, MPKK telah menganjurkan program gotong-royong perdana secara berperingkat di seluruh negeri namun, inisiatif itu perlu diteruskan secara lebih aktif dalam kalangan penduduk setempat agar impaknya dapat diperoleh bagi tempoh masa panjang.

"Di peringkat PBT pula, usaha secara berkala dilakukan dengan menyelia kawasan di bawah pentadbiran mereka khususnya melibatkan tanah terbiar yang menjadi satu daripada tempat pembuangan sampah sarap dan botol yang boleh mengundang pembiakan aedes

"Apa pun paling utama ialah kesedaran masyarakat negeri ini terhadap aspek kebersihan yang menjadi satu daripada faktor penyumbang kepada peningkatan kes demam denggi di Melaka dan ia bermula di rumah masing-masing," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih di Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media pada Selasa berhubung peningkatan kes demam denggi di Melaka sebanyak 221.9 peratus kepada 1,970 kes dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini berbanding 1,358 kes dalam tempoh sama, tahun lepas.



Mengulas lanjut, Adly berkata peningkatan wabak denggi di negeri ini boleh diatasi sekiranya risiko atau punca utama pembiakan nyamuk aedes antaranya takungan air atau longgokan sampah sarap di kawasan masing-masing dikenal pasti dan langkah pembersihan segera dilakukan.

Beliau berkata selain itu, penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat melalui Jabatan Kesihatan negeri perlu dilaksanakan secara lebih proaktif agar wabak denggi dapat ditangani.

"Penguatkuasaan undang-undang penting dan cara terakhir kita berhadapan dengan isu demam denggi khususnya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap risiko pembiakan aedes dan ia seharusnya dapat membantu mengurangkan kes demam denggi di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan menjadikan program gotong-rotong perdana sebagai satu daripada aspek yang dinilai dalam petunjuk prestasi utama MPKK dan ahli majlis di bawah PBT di Melaka dan ia perlu dilaksanakan setiap bulan bermula tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, katanya empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Perbandaran Jasin dan Majlis Perbandaran Alor Gajah perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya lima peratus daripada jumlah pendapatan yang diperoleh sebagai bajet pembangunan pada tahun hadapan.

"Bajet pembangunan ini penting bagi memastikan aktiviti atau projek pembangunan infrastruktur atau fasiliti di kawasan pentadbiran semua PBT di negeri ini dapat dilaksanakan dengan baik untuk keselesaan dan kebajikan rakyat," katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2