Oleh Kurniawati Kamarudin
KUALA LUMPUR -- Setiap tahun sekurang-kurangnya 1,500 hingga 2,000 kes kematian akibat batuk kering atau tibi (TB) direkodkan dengan purata enam kematian setiap hari di Malaysia.
Lebih serius kes baharu tibi yang direkodkan dianggarkan antara 20,000 hingga 25,000 setahun.
Menurut Ketua Sektor Tibi/Kusta, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Mohamed Naim Abdul Kadir, kebanyakan kes kematian akibat tibi yang disifatkan masih tinggi itu adalah disebabkan pesakit lewat mendapatkan rawatan di hospital.
Keadaan ini membimbangkan kerana kesedaran orang ramai terhadap kuman Mycobacterium tuberculosis yang menjadi punca tibi masih lagi rendah.
Katanya, sehingga kini transmisi jangkitan tibi masih lagi aktif walaupun pelbagai rawatan diperkenalkan dan peningkatan pengesanan kes telah dijalankan.
SELANGOR, SABAH KES TIBI TERTINGGI
Pada 2018, lima negeri mencatatkan kes baharu tibi tertinggi iaitu Selangor 5,071 kes, Sabah 5,008 kes, Sarawak, 3,122 kes, Johor 2,150 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya , 2,017 kes.
Dr Mohamad Naim berkata, Selangor mencatatkan kes tertinggi disebabkan kepadatan penduduk yang tinggi terutama penduduk tahap sosioekonomi yang rendah di bandar.
Sementara di Sabah, faktor kes tibi tinggi disebabkan penduduk bukan warganegara tidak membuat pengesanan awal kerana bimbang dengan penguatkuasaan undang-undang, ekoran status kewarganegaraan mereka.
Tahun lepas, kes tibi direkodkan menurun sedikit iaitu 25,837 kes, berbanding tahun 2017 dengan 26,168 kes baharu.
“Tahun ini kita lihat ada trend peningkatan kes dan kita jangka akan lebih tinggi lima peratus berbanding tahun 2018,” katanya sambil menambah kadar kematian tibi yang sedang dalam rawatan akan turut meningkat.
Bellau menekan betapa pentingnya pengesanan awal kes tibi bagi mengelak kematian kerana pesakit tibi boleh sembuh dengan mematuhi jadual rawatan yang ditetapkan.
"Dua penyakit berjangkit yang tinggi di Malaysia adalah tibi dan denggi. Berbanding denggi, jumlah kes antara 50,000 hingga 100,000 kes setahun tetapi kes kematian hanya sekitar lebih kurang 100 kes.
Namun, bagi tibi, kes sekitar 20,000 hingga 25,000 kes setahun tetapi kematian dalam lingkungan 1,500 hingga 2,000 kes setahun," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dr Mohamad Naim berkata terdapat jurang yang masih luas, kira-kira 10 peratus dalam pengesanan kes baharu di Malaysia sepertimana ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Pada masa ini, jumlah kes baharu yang dikesan iaitu sekitar 25,000 kes sedangkan WHO menyasarkan sepatutnya Malaysia mengesan 33,000 kes baharu.
"Fokus kita sekarang adalah menjurus kepada kes-kes yang tidak dapat dikesan dengan melakukan saringan kepada kumpulan yang berisiko mendapat tibi bagi mengurangkan jurang tersebut," katanya.
Kumpulan yang berisiko mendapat tibi ialah pesakit HIV, pesakit buah pinggang, penghuni penjara, penghuni pusat jagaan warga emas, pesakit diabetis, perokok tegar, pelanggan klinik metadon dan petugas kesihatan (bahagian berisiko mendapat jangkitan penyakit).
FAKTOR PENDATANG ASING
Malaysia bukan dalam kalangan 30 negara yang mempunyai beban kes tibi tertinggi di dunia, namun pekerja asing yang datang ke negara ini adalah dari kalangan negara yang mempunyai beban kes tibi yang tinggi.
Pada masa ini kadar kes tibi di Malaysia mengikut perkiraan WHO adalah sekitar 92 kes bagi setiap 100,000 (92/100,000) penduduk.
Antara negara yang mempunyai kes tibi tertinggi di dunia ialah Indonesia (395/100,000), Kemboja (380/100,000), Myanmar (365/100,000), Nigeria (322/100,000), Filipina (322/100,000), Bangladesh (255/100,000) ,Pakistan (270/100,000) dan India (217/100,000).
Di sebalik kebimbangan terhadap perkaitan antara pekerja asing dengan penyakit tibi, Dr Mohamed Naim berkata agar sukar menyatakan mereka sebagai punca peningkatan kes tibi kerana 87 peratus kes penyakit tibi yang berlaku adalah dalam kalangan rakyat Malaysia.
Hanya 13 peratus kes melibatkan warga asing yang dilaporkan, katanya.
Bagaimanapun kebanjiran pendatang tanpa asing izin (PATI) ke negara ini yang tidak menjalani ujian saringan tibi seperti yang ditetapkan kerajaan menyumbang risiko penularan tibi di negara ini.
"Apa yang membimbangkan adalah kita tidak dapat kesan atau pasti berapa banyak kes tibi dalam kalangan PATI yang membanjiri negara ini," katanya.
LEWAT KESAN PUNCA PENYEBARAN
Dr Mohamed Naim berkata penyebaran tibi sentiasa berlaku disebabkan kelewatan pesakit mendapatkan rawatan. Ini disebabkan persamaan penyakit tibi dengan simptom influenza seperti demam, selesema dan batuk berpanjangan melebihi dua minggu.
"Kadangkala perawat gagal mengesannya kerana dalam pemikiran mereka ia mungkin disebabkan influenza. Lebih-lebih lagi jika doktor gagal bertanya sejarah pesakit, gejala dihadapi yang membolehkan doktor mengesyaki ia disebabkan tibi,” katanya sambil menggesa pesakit untuk segera ke klinik sekiranya mengalami gejala seperti demam berpeluh waktu malam, batuk berkahak dan berdarah dan hilang selera makan.
Kuman Mycobacterium tuberculosis disebarkan melalui udara dan individu yang dijangkiti tibi akan mengeluarkan bakteria ini apabila batuk, bersin, bercakap atau menyanyi.
Bakteria tercemar yang berada di ruang udara akan menyebabkan orang sekelilingnya terdedah dengan jangkitan itu apabila menyedut udara tersebut.
Terutama individu yang rendah tahap imunisasi, berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang biasanya akan menjangkiti paru-paru dan boleh merebak menjangkiti organ lain seperti kelenjar, usus dan tulang melalui aliran darah.
"Biasanya tindak balas jangkitan akan dilihat dalam tempoh enam hingga lapan minggu selepas terdedah dengan individu yang dijangkiti tibi,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Mohamed Naim menjelaskan terdapat juga individu yang terdedah tidak menunjukkan gejala jangkitan tibi yang dikenali sebagai TB laten.
“Individu tibi laten tidak berbahaya dan tidak boleh menjangkiti individu lain," katanya sambil menjelaskan bahawa tibi laten boleh kekal sepanjang hayat di dalam badan individu sekiranya tidak dirawat.
Namun, katanya terdapat risiko antara 10 peratus hingga 15 peratus individu dengan tibi laten khususnya mereka yang lemah sistem imunisasi badan, akan mendapat tibi untuk sepanjang hayat.
SASARAN SIFAR TIBI 2035
Dr Muhamed Naim berkata pesakit tibi perlu mengikuti rejim rawatan antara tempoh 6 bulan hingga 12 bulan bergantung kepada jenis tibi dan tahap keseriusan penyakit tersebut.
Rawatan pesakit tibi yang kebal ubatan biasa pula akan dipertingkatkan kualitinya dengan memperkenalkan rejim rawatan yang lebih pendek iaitu sembilan bulan berbanding 18 bulan sebelum ini.
Bagi individu yang disahkan mempunyai tibi laten, rawatan berupa ubat telah mula diberikan bagi menghalang kuman tersebut aktif dan dapat dibunuh sepenuhnya.
Sepanjang tempoh rawatan, semua pesakit tibi akan dipantau dari segi kesan sampingan rawatan dan perubahan jangkitan dengan mengambil beberapa ujian seperti sampel kahak, ujian kultur dan imbasan sinaran-x pada dada.
Pesakit tibi, menurut beliau akan turut diberikan buku rawatan bagi mencatat segala jenis ubat yang dimakan, dos dan bilangan hari semasa rawatan.
“Ini bagi memastikan pesakit makan ubat mengikut aturan jadual dan program pemantauan akan dibuat oleh petugas kesihatan sehingga mereka benar-benar sembuh," katanya.
Fasiliti di setiap hospital kerajaan juga ditambah seperti Gene Xpert bagi mempercepatkan diagnosis kes tibi yang kebal agar rawatan awal dapat diberikan.
Katanya, kementerian berusaha mempertingkatkan pelbagai kajian penyakit tibi daripada aspek survelan, saringan, diagnosis dan rawatan untuk memastikan program Kawalan Tibi Kebangsaan sentiasa kehadapan dan berjaya mencapai sasaran sifar tibi menjelang 2035.
“Kita jangkakan vaksin baharu untuk orang dewasa dan ujian-ujian baharu tibi akan keluar menjelang lima tahun akan datang," katanya.
-- BERNAMA
batuk kering, tibi, Mycobacterium tuberculosis, tibi laten, pati, WHO
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN