Kanser tidak halang raih keputusan cemerlang UPSR

Penasihat Kids Prof Madya Dr Shukri Mohamed (kiri) menyerahkan Anugerah Pendidikan Cemerlang kepada pesakit kanser Leukemia Muhammad Ikhwan Shah Aries Iskandar pada Majlis Kembali Melangkah Gah ke Sekolah 2020 hari ini.

KUALA LUMPUR, 21 Dis -- Biarpun pelajarannya pernah tertangguh hampir dua tahun, kerana terpaksa berulang-alik ke dari Kuantan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan kimoterapi, namun ia bukan penghalang untuk Muhammad Ikhwan Shah Aries Iskandar, 12, meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), yang diumumkan baru-baru ini.

Berbekalkan semangat dan dorongan yang diberikan kawan dan guru-guru, Muhammad Ikhwan yang pernah menghidap Leukemia (Pre B All), berjaya mendapat 5A 1B, yang melayakkannya menyambung persekolahan Tingkatan 1 di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang.

“Sakit yang saya alami tidak menganggu pembelajaran saya, lagipun di rumah memang saya suka belajar. Saya pun tak sangka dapat keputusan yang baik ini,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang arkitek.

Menurut bapanya Aries Iskandar Muhammed, 45, anak bongsunya itu daripada empat adik beradik itu, dikesan menghidap penyakit itu sewaktu berusia lima tahun.

“Ia menyebabkan kami terpaksa berulang alik ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan, sehingga dia lewat dua tahun memasuki sekolah, namun semangatnya kuat dan saya sendiri tidak sangka dia dapat keputusan peperiksaan membanggakan,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Back to School KIDS 2019’ di sini hari ini.  

Walaupun Muhammad Ikhwan kini sudah pulih daripada penyakitnya, namun dia masih perlu mendapat rawatan susulan, setahun sekali.


Penasihat Kids Prof Madya Dr Shukri Mohamed (kiri) menyerahkan Anugerah Pendidikan Cemerlang kepada pesakit kanser otak Nur Sarah Iman Suhaimi (kanan) pada Majlis Kembali ke Sekolah Anak-Anak Kanser Kids Melangkah Gah ke Sekolah 2020 hari ini.

 Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan itu yang juga tokoh akademik Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) Untuk Murid Berkeperluan Khas, Nur Sarah Iman Suhaimi, 12, tidak menjadikan kanser otak (brain stem glioma) yang dialaminya, sebagai alasan untuk berhenti belajar.

Ibunya Ismaini Ismail, 48, berkata walaupun banyak tertinggal pelajaran dan kadang kala kesakitan yang dialami menghalangnya untuk ke sekolah, namun anaknya cekal dan tidak putus asa, untuk menelaah pelajaran untuk memastikannya berjaya.

“Anak saya didiagnos menghidap kanser ketika berumur tujuh tahun, dan sekarang Nur Sarah Iman dikategorikan pesakit palatif (tiada rawatan) dan hanya bergantung kepada ubat, untuk mengurangkan kesakitan.

“Dia masuk belajar sekolah biasa darjah tiga pertengahan tahun, dia boleh membaca dan menulis, tapi kita nampak kelemahan anak kita berbanding anak normal lain, jadi doktor buat surat supaya dapat masuk ke sekolah pendidikan khas dan dia seorang yang gigih, tidak jadikan kesakitan itu sebagai halangan,” katanya. 

Nur Sarah Iman dan Muhammad Ikhwan Shah antara 11 orang murid, yang menerima penghargaan atas kecemerlangan dalam pelajaran dan kokurikulum.

Mereka merupakan antara 140 anak kanser KIDS, yang menerima bantuan kelengkapan persekolahan dan zakat perbelanjaan sekolah, sumbangan Affin Islamic Bank dan Cagamas, sempena sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

-- BERNAMA

 

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018