Rawatan segera, cabaran petugas kesihatan di Pulau Perhentian pada musim tengkujuh

Penolong Pegawai Perubatan Hasrul Yadidi Ab Hamid, 32, (dua, kiri)

Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar

BESUT, 30 Dis-- Klinik Kesihatan Pulau Perhentian merupakan satu-satunya kemudahan perkhidmatan perubatan untuk penduduk bergantung harap bagi mendapatkan rawatan di pulau yang terletak 21 kilometer dari tanah besar itu.

Beroperasi di sebuah bangunan separa batu, seperti kebanyakan rumah kampung di pulau itu, klinik yang dikendalikan dua Penolong Pegawai Perubatan dan dua jururawat serta dua pemandu bot itu memberikan khidmat merawat pelbagai masalah kesihatan daripada demam hinggalah melahirkan anak.

Tiada doktor ditempatkan di pulau yang mempunyai kira-kira 2,100 penduduk itu. Hanya doktor dari Pejabat Kesihatan Daerah Besut akan ke pulau itu untuk membuat pemeriksaan sekali sebulan mengikut jadual yang ditetapkan.

Bagi pesakit yang memerlukan rawatan doktor atau pakar, mereka akan dibawa ke tanah besar, menggunakan bot ambulans dan bagi ibu yang akan bersalin, mereka akan dihantar ke hospital di Besut sebelum tarikh untuk bersalin.

Bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya penduduk di pulau itu memerlukan rawatan pada waktu malam dan pada musim tengkujuh, dengan angin monsun timur laut yang kencang dan laut bergelora dan berbahaya kepada bot.

Situasi cemas itu pernah dilalui oleh Hasrul Yadidi Ab Hamid, 32, yang merupakan Penolong Pegawai Perubatan di pulau itu.

Menceritakan keadaan cemas yang dihadapi pada Oktober, iaitu permulaan musim monsun timur laut, beliau berkata perkhidmatan helikopter terpaksa dipohon untuk membawa bayi perempuan berusia satu tahun empat bulan yang memerlukan rawatan lanjut akibat jangkitan paru-paru (bronkopneumonia).

“Sini tidak seperti darat (di mana), darat (ada) jalan. Laut ikut cuaca bila tidak seimbang dan bergelora, kita tak boleh redah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata disebabkan bot ambulans tidak selamat untuk digunakan bagi membawa bayi itu ke tanah besar berikutan keadaan laut bergelora, beliau memohon helikopter daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk menerbangkan bayi itu.

“Alhamdulillah kami selamat mendarat di tanah besar dan bayi itu dihantar Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu...sekarang dah sihat dan kembali ke pulau,” katanya.

Hasrul Yadidi berkata kes itu mencemaskan kakitangan Klinik Kesihatan Pulau Perhentian kerana mengambil masa empat jam sebelum helikopter mendarat di pulau berikutan perlu melalui prosedur yang ditetapkan.

“Kebiasaannya bot ambulans di pulau akan bawa pesakit, tetapi mengikut keadaan cuaca….apabila bot ambulans tak dapat bergerak, barulah prosedur itu akan melibatkan pihak lain seperti polis dan maritim.

“Helikopter itu kira jalan terakhir sekiranya memang tiada bot termasuk milik agensi (kerajaan) dapat digerakkan di laut,” katanya yang menetap di Kuala Besut dan menyifatkan pergerakannya untuk keluar dan masuk ke pulau pada musim tengkujuh sebagai cabaran yang besar.

“Takut gelombang besar, ombak kerana bot terpaksa lepas ombak…biasanya perjalanan dari Jeti Kuala Besut ke Jeti Pulau Perhentian ambil masa dalam 30 minit, tetapi dalam keadaan musim monsun paling cepat pun satu ke satu setengah jam,” katanya.

Walaupun pulau itu hanya mempunyai sebuah klinik kesihatan, tahap imunisasi kanak-kanak di pulau itu memuaskan dan menurut Jururawat Masyarakat Klinik Kesihatan Pulau Perhentian, Nor Azlina Nawang, 36, semua kanak-kanak di kampung Pulau Perhentian mendapat suntikan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan.

Sementara itu, penduduk Mohd Zawawi Che Yaakob, 60, berpuas hati dengan perkhidmatan yang disampaikan klinik kesihatan di situ, tetapi berharap supaya beberapa penambahbaikan dapat dilakukan.

“Setakat ni kalau ada sakit apa-apa macam demam, selesema semua okey. Dapat ubat...tapi mungkin boleh besarkan lagi klinik ini... paling tidak, buat lagi bilik rehat yang besar untuk orang sakit kalau ramai sangat (memerlukan rawatan pada masa sama),” katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.


UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 1