Haliza Hashim mahu tingkat kesedaran tentang kesihatan mental menerusi Mercy UK



Oleh Hasnah Jusid

KUALA LUMPUR, 2 Jan -- Ramai yang mungkin pernah mendengar tentang  Haliza Hashim sebagai koresponden hal ehwal semasa TV3 bagi United Kingdom (UK) dan Eropah, tetapi hanya segelintir yang tahu bahawa beliau turut terbabit dalam kerja kemanusiaan.

Menjalankan tugas sebagai wartawan, jurukamera dan editor Media Prima Group, dengan turut menggunakan nama  Haliza Hashim-Doyle, beliau ialah pengerusi Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy) United Kingdom (Mercy UK).

Mercy UK ialah badan amal perubatan dan kemanusiaan yang berdaftar sepenuhnya di UK yang ditubuhkan pada 2014 dan berkait rapat dengan Mercy Malaysia.

Setelah banyak membuat liputan berita misi kemanusiaan dan mengetahui masalah yang dihadapi oleh manusia di negara maju, membangun dan sedang membangun, beliau mula membabitkan diri dengan kerja kemanusiaan.

Haliza berkata walaupun bantuan perubatan dan misi kemanusiaan adalah dua perkara yang paling diperlukan di negara yang mengalami bencana, perang, dan konflik, beliau juga sedar bahawa negara yang menjadi tempat tinggalnya kini walaupun maju dan bebas daripada konflik, turut mempunyai masalah tersendiri.

Bercakap kepada Bernama di sini, baru-baru ini, Haliza berkata di UK, kesihatan mental kini menjadi isu besar dan menyumbang kepada masalah sosial dan menjadi pembunuh senyap.

Pada tahun ini, Mercy UK akan menyediakan bantuan termasuk ceramah tentang kesedaran kesihatan mental, bermula dengan pelajar Malaysia di UK dan kemudiannya kepada semua pelajar dan golongan muda di UK.

Untuk permulaan, projek itu akan melibatkan kerjasama dengan Majlis Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Eire (Ireland)), badan induk bagi persatuan-persatuan pelajar Malaysia di Britain dan Ireland; Education Malaysia di London; Jabatan Perkhidmatan Awam dan Majlis Amanah Rakyat.

Haliza berkata di bawah Mercy UK, terdapat profesional perubatan dan sukarelawan dengan latar belakang psikiatri dan psikologi yang boleh berkongsi pengetahuan dan kesedaran berkaitan masalah yang membimbangkan itu.

Katanya Mercy UK juga akan menghantar pasukan perubatan yang terdiri daripada pakar bedah, pakar bius, dan jururawat ke Kemboja pada pertengahan Januari untuk projek pembedahan bibir sumbing bagi kanak-kanak kurang bernasib baik.

Dinamakan sebagai program 'Make Me Smile', ia menyasarkan 25 hingga 30 kanak-kanak, dan perkhidmatan itu ditawarkan secara percuma.

Sementara itu, katanya, di bawah program 'Winter Wellness', Mercy UK telah bekerjasama dengan Southern Women's Aid Network untuk mengadakan ceramah kesihatan dan nutrisi kepada kumpulan gelandangan di Croydon, selatan London, serta memberikan pek kebersihan diri dan bungkusan makanan yang sesuai untuk mereka.

Menerusi Mercy UK, Haliza telah menyertai misi kemanusiaan ke kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh, pada Februari 2018, bersama-sama dua doktor daripada UK dan empat daripada  Malaysia. Laporannya tentang masalah pelarian itu bertajuk 'Bantuan untuk Rohingya' disiarkan pada program Majalah 3, TV3 pada Mac 2018.

Badan amal itu juga membantu mangsa gempa bumi Sulawesi; mangsa banjir di York, UK, menyumbangkan makanan kepada mereka yang terjejas kebakaran di Grenfell Tower di London dan menghantar doktor sukarela ke klinik kesihatan utama MERCY Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh untuk membantu pelarian Rohingya.

Haliza berkata sebagai pengerusinya, cabaran terbesar beliau adalah soal pembiayaan.

"Kami menganjurkan acara kutipan dana setiap tahun dan memohon geran daripada majlis dan pihak berkuasa tempatan. Anda perlukan projek yang baik dengan impak yang besar (untuk penerima sumbangan)”, katanya dan menurutnya beliau berharap pada 2020, perbadanan di Malaysia dan UK akan membantu dan menyumbang untuk projek kesihatan mental Mercy UK menerusi laman webnya  www.mercy.uk.com

Selain Mercy UK, Haliza juga membantu dua badan amal yang lain - Pan Asian Women's Association (PAWA), badan amal yang membantu menyediakan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan projek menyelamatkan harimau ‘Save Wild Tigers’.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2