Derita kanser paru-paru tahap empat, ibu tunggal rayu sumbangan

Kelantan

MACHANG, 3 Jan -- Bagaikan jatuh ditimpa tangga, itulah nasib seorang ibu tunggal kepada dua anak yang kini terlantar akibat menderita kanser paru-paru tahap empat sejak Disember lepas.

Menurut anak sulungnya, Nurul Faizatul Akmal Shukri, 16, berkata ibunya Habsah Ismail, 54, sebelum ini hanya mengalami bengkak di kedua-dua bahagian betis yang menyukarkannya untuk berjalan sebelum dirujuk ke Hospital Machang bagi mendapatkan rawatan. 

“Hasil pemeriksaan, doktor memberitahu bengkak itu berpunca daripada masalah saluran peredaran darah.

“Namun, selang beberapa minggu kemudian, kesihatan ibu semakin merosot selain tidak ada selera makan dan lagi menyedihkan sebelah kiri badannya juga menjadi kaku. Ibu dibawa sekali lagi ke hospital dan disahkan menghidap kanser tahap empat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Galang, Pulai Chondong di sini.

Nurul Faizatul berkata, sejak ibunya bercerai dengan bapanya 10 tahun yang lepas ibunya terpaksa menggalas tugas ketua keluarga bagi menguruskan dia serta adiknya Nurul Suhana Shukri, 13 tahun.

“Sebelum ini, ibu melakukan pelbagai kerja termasuk ambil upah mengasuh, menjual aiskrim serta bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai runcit berhampiran rumahnya di Kampung Galang di sini, namun sejak kesihatannya merosot dia terpaksa berhenti bekerja. 

“Jika dahulu kami tiga beranak mengharapkan pendapatan yang diperoleh ibu berjumlah RM500 sebulan, namun kini kami sekeluarga hilang punca pendapatan dan hanya mengharapkan kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu RM200 sebulan,” katanya. 

Nurul Faizatul yang juga pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Samad berkata, memandangkan sesi persekolahan sudah bermula sejak dua hari lepas, dia terpaksa meminta bantuan daripada ibu saudaranya Rosiah Ismail, 53, yang tinggal berhampiran untuk menjenguk ibu sementara dia dan adiknya berada di sekolah. 

“Sebelum ke sekolah, saya akan bangun seawal pukul 4.00 pagi untuk menguruskan ibu termasuk memberi makan, menukar lampin pakai buang dan memandikannya.

“Walaupun saya terpaksa ke sekolah dengan berat hati, namun pesanan ibu untuk belajar bersungguh-sungguh agar dapat mengubah nasib keluarga menjadi pembakar semangat untuk saya terus gagah melangkah ke sekolah,” katanya yang memperoleh 5A dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) baru-baru ini.

Beliau juga berkata, dia memerlukan sekitar RM150 sebulan untuk keperluan menguruskan ibunya termasuk susu dan lampin pakai buang. 

"Buat masa sekarang ibu masih boleh makan makanan biasa namun hanya dengan kuantiti yang sangat sikit, disebabkan itu saya terpaksa membeli susu supaya sekurang-kurangnya dia ada tenaga.

"Ada ketika, jiran tetangga dan ibu pengasuh kepada anak yang pernah diasuh oleh ibu dahulu banyak membantu saya untuk membeli lampin pakai buang dan keperluan harian termasuk kelengkapan sekolah kami,” katanya.

Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Ketua Unit Media dan Komunikasi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) Akidi Hamid yang datang mengambil maklumat lengkap untuk menyalurkan bantuan yang sepatutnya selepas ini bagi meringankan beban yang ditanggung. 

Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan kepada keluarga ini boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0301341100007381 atas nama ibunya Habsah Ismail atau menghubunginya di talian 0142173530.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2