Vaksin pneumococcal percuma untuk bayi lahir mulai 1 Jan 2020



IPOH, 3 Jan -- Bayi yang lahir bermula 1 Jan tahun ini layak menerima suntikan vaksin pneumococcal secara percuma, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih dalam proses perolehan vaksin berkenaan untuk diedarkan ke semua klinik dan hospital dan suntikan itu dijangka dilaksanakan mulai Jun depan.

"Sebanyak RM60 juta diperuntukkan untuk program vaksin pneumococcal ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu. Dr Lee menyerahkan alat perubatan LEGA, yang merupakan inovasi tempatan yang dapat membantu pesakit berkaitan masalah paru-paru seperti asma dengan mengeluarkan kahak dan melegakan pernafasan,  kepada Klinik Kesihatan Gunung Rapat di sini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 pada 11 Okt lepas mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM30.6 bilion kepada KKM dengan RM60 juta daripadanya sebagai permulaan untuk menyediakan vaksin pneumococcal kepada semua kanak-kanak. 

Dalam perkembangan lain, Dr Lee berkata sebanyak 393 notis saman dikeluarkan pada hari kedua pelaksanaan larangan merokok oleh seramai 2,026 anggota penguatkuasaan di premis makanan seluruh negara semalam.

Beliau berkata saman itu dikeluarkan kepada 278 perokok yang merokok di premis makanan, 88 saman kepada pemilik premis yang gagal mempamerkan notis larangan merokok manakala 14 saman kepada pemilik premis yang gagal memastikan tiada orang merokok di premis dan 13 notis saman kepada golongan bawah umur yang merokok atau memiliki hasil tembakau menerusi pemeriksaan di 5,554 premis.

Katanya, bagi negeri Perak, sebanyak 68 saman dikeluarkan sejak Rabu lepas sehingga semalam iaitu 44 saman kepada perokok yang merokok di premis makanan, 18 saman terhadap pengusaha premis makanan yang tidak mempamerkan notis larangan merokok dan gagal memastikan tiada orang merokok di premis.

Pemeriksaan dua hari ke atas 1,094 premis makanan di Perak turut mengeluarkan saman terhadap enam orang golongan bawah umur yang merokok atau memiliki hasil tembakau.

"Tindakan saman terhadap anak-anak berusia bawah 18 tahun perlu dibayar ibu bapa jadi mereka dinasihatkan supaya bertanggungjawab terhadap anak mereka dan memantau tingkah laku anak," katanya.

Dr Lee berkata orang ramai yang ingin berhenti merokok boleh mendapatkan bantuan di klinik kesihatan dengan bayaran serendah RM1 untuk memperoleh ubat dan konsultasi pakar.

"Setakat ini sebanyak 18,600 perokok telah berjaya berhenti merokok melalui program kesihatan di seluruh negara sejak 2012," katanya.

Bagi kesalahan tidak mempamerkan notis larangan merokok dan merokok di kawasan larangan termasuk tempat makan akan dikenakan kompaun RM250.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2