Kes kanser meningkat bagi tempoh 2012-2016 - Dr Noor Hisham

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR, 3 Jan -- Terdapat peningkatan bilangan kes baharu kanser yang dikesan sepanjang lima tahun bermula 2012 hingga 2016 iaitu 115,238 kes berbanding 103,507 kes bagi tempoh sama pada 2007 hingga 2011.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kadar insiden penyakit kanser adalah sebanyak 86 kes bagi setiap 100,000 populasi lelaki dan 102 kes bagi setiap 100,000 populasi perempuan.

Menurutnya, statistik itu berdasarkan laporan lima tahun kedua, Malaysia National Cancer Registry Report 2012-2016 (MNCRR) terbitan Institut Kanser Negara.

“Selain itu, kes yang dikesan lewat pada tahap tiga dan empat didapati meningkat dari 58.7 peratus (2007–2011) kepada 63.7 peratus (2012–2016).

“Penemuan ini membimbangkan kerana kajian ‘Malaysian Study on Cancer Survival’ yang diterbitkan pada Oktober 2018 menunjukkan semakin lewat kanser dikesan, semakin rendah kadar survival pesakit,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan itu.

Menurut laporan sama, sepuluh jenis kanser tertinggi yang dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia mengikut keutamaan bagi tempoh 2012-2016 ialah kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma,  nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim dan ovari.

Beliau berkata, analisis seterusnya mengikut jantina mendapati kanser tertinggi dalam kalangan lelaki ialah kanser kolorektal, kanser paru-paru dan kelenjar prostat, manakala dalam kalangan perempuan ialah kanser payudara diikuti kanser kolorektal dan pangkal rahim.

“Kanser yang paling kerap dikesan dalam kalangan kanak-kanak berusia 0–14 tahun adalah leukemia dan kanser sistem saraf tunjang, manakala dalam kalangan remaja berusia 15–24 tahun adalah limfoma,” katanya.

Bagaimanapun, kanser pangkal rahim menunjukkan penurunan ketara iaitu daripada lapan kes kepada enam kes bagi setiap 100,000 populasi perempuan di Malaysia, kata Dr Noor Hisham.

“Penurunan ini berkemungkinan disebabkan kempen pengesanan awal melalui ujian pap smear yang disediakan kerajaan di semua fasiliti kesihatan. Bagaimanapun, terdapat peningkatan insiden yang ketara pula dilihat untuk kanser payudara dan kolorektal,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan analisis laporan mengikut etnik menunjukkan kaum Cina paling kerap dikesan menghidap kanser diikuti kaum Melayu dan India dengan setiap 100,000 populasi berbangsa Cina didapati 106 lelaki serta 117 perempuan menghidap kanser.

“Bagi kalangan kaum Melayu, lelaki dan perempuan masing-masing menunjukkan kadar insiden 74 kes dan 91 kes bagi setiap 100,000 populasi manakala bagi kaum India, kadar insiden yang dicatatkan ialah 67 kes lelaki dan 107 kes perempuan bagi setiap 100,000 populasi,” katanya.

Justeru itu, pihaknya merumuskan bahawa laporan itu menunjukkan peningkatan beban kanser dalam kalangan penduduk Malaysia dan berharap hasil dapatan laporan itu dimanfaatkan semua pihak bagi merancang dan menilai keberkesanan program kawalan serta pencegahan kanser.

Katanya, laporan penuh MNCRR boleh dimuat turun melalui pautan http://nci.moh.gov.my.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2