Jab. Kesihatan Johor berusaha jamin bekalan insulin penfill tidak terputus – Exco Kesihatan



JOHOR BAHRU, 3 Jan -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor akan berusaha menjamin bekalan insulin penfill kepada pesakit diabetis yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kesihatan di negeri ini tidak terputus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata bekalan penfill oleh pengeluar Biocon Sdn Bhd dari kilangnya di negeri ini mengalami gangguan yang menyebabkan bekalan kesemua hospital kerajaan di negeri ini termasuk Hospital Segamat dan hospital kerajaan seluruh negara terjejas.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengambil maklum perkara itu kerana pembelian insulin penfill ini adalah di bawah kontrak pusat dan diselia sepenuhnya oleh pihak KKM.

“Sehingga 5 Dis, 2019, JKN Johor masih belum menerima bekalan bagi pembelian insulin penfill dengan jumlah kuantiti tertunggak sebanyak 57,695 kotak (satu kotak/lima penfill) bernilai RM1.82 juta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Khuzzan berkata demikian sebagai memberi maklum balas terhadap satu hantaran seorang pengguna laman Facebook di mana pengguna terbabit mendakwa dia menerima aduan orang awam di Segamat khususnya pesakit diabetis yang mengambil insulin diarah untuk membeli alat suntikan picagari di farmasi disebabkan ketiadaan insulin penfill di hospital.

“JKN Johor mengambil maklum terhadap aduan itu. Untuk makluman, insulin boleh dibekal dalam pelbagai cara antaranya menggunakan vial dan secara penfill.

“Insulin yang dibekal secara vial amnya memerlukan pesakit untuk menggunakan picagari dan jarum pakai buang untuk mendapatkan dos manakala insulin yang dibekal secara penfill memerlukan pesakit untuk memasang penfill yang dibekalkan secara percuma dan hanya perlu membeli jarum sahaja,” katanya.

Menurut Mohd Khuzzan, sebagai alternatif bagi mengelakkan daripada bekalan kepada pesakit terputus, pihak hospital di seluruh Johor mengambil inisiatif tambahan dengan membuat pinjaman dari hospital lain dan sudah membuat pembelian insulin dalam bentuk vial bagi menampung kegunaan pesakit.

Beliau berkata ia inisiatif jangka pendek sementara menunggu pembekalan bagi pesanan tertunggak daripada pembekal kontraktor CCM Pharmaceuticals Sdn Bhd dan Biocon Sdn Bhd di mana pihak pembekal memberi jaminan bahawa kesemua pesanan tertunggak akan dapat dibekalkan sepenuhnya bermula Februari ini.

“Pihak kami (JKN Johor) akan berusaha sebaik mungkin bagi menjamin bekalan insulin kepada pesakit tidak terputus. Pesakit boleh berhubung terus dengan Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Johor di talian 07-2355120 untuk maklumat lanjut,” katanya.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018