53 murid di P.Pinang dijangkiti influenza



GEORGE TOWN, 9 Jan  -- Seramai 53 murid di 24 sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang dijangkiti influenza sehingga hari ini berbanding 19 orang semalam, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad.

Beliau berkata walaupun jumlah yang dijangkiti influenza meningkat, namun tiada sekolah ditutup kecuali hanya dua kelas Tahun 2 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Hwa, Butterworth sahaja yang masih ditutup bermula semalam.

"Kami berjaya mengesan kes jangkitan influenza di SJKC Li Hwa pada Selasa selepas ramai murid Tahun 2 tidak hadir dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) bersama Jabatan Kesihatan daerah SPU telah ke sekolah itu untuk membuat pemeriksaan serta saringan.

"Sehingga semalam, 19 murid di dua kelas di SJKC itu telah dijangkiti influenza dan pihak kesihatan mengarahkan kelas mereka ditutup selama 12 hari untuk pembersihan termasuk membasmi kuman. Hari ini saya dimaklumkan dua lagi murid dari dua kelas berkenaan turut dijangkiti influenza," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurutnya, ketika ini seramai 45 murid di 17 sekolah rendah termasuk SJKC Li Hwa dan lapan pelajar di tujuh sekolah menengah dijangkiti influenza dengan daerah SPU paling ramai dijangkiti iaitu 27 orang diikuti Timur Laut seramai 10 orang.

Abdul Rashid berkata tiada keperluan untuk sekolah mahupun kelas lain ditutup kerana pelajar yang dijangkiti influenza hanya membabitkan antara seorang dan tiga orang di sesebuah sekolah dan mereka bukan dari kelas yang sama.

Ditanya sama ada dua kelas yang ditutup selama 12 hari itu akan mengadakan kelas ganti pada masa hadapan, beliau berkata guru yang mengajar akan mengadakan kelas tambahan kepada 72 murid Tahun 2 terlibat supaya mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan pemantauan di sekolah-sekolah bagi memastikan keadaan bersih dan murid atau pelajar yang mengalami simptom penyakit itu mendapatkan rawatan segera.

Beliau berkata pihaknya juga turut mengambil beberapa langkah segera bagi mengawal penyakit itu daripada terus merebak dalam kalangan murid di sekolah dengan mengedarkan topeng muka di semua sekolah.

"Saya telah menghantar surat kepada semua sekolah di negeri ini supaya mengambil langkah segera termasuk menjaga kebersihan manakala murid atau pelajar yang mengalami simptom influenza seperti demam berterusan, batuk dan selesema diminta untuk mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berhampiran serta berehat di rumah," katanya.

-- BERNAMA 

 

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2