Pesakit influenza dinasihati dapatkan nasihat doktor sebelum ambil ubat antiviral

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR, 14 Jan -- Pesakit yang dijangkiti virus influenza disaran mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan antiviral, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata penggunaan ubat antiviral dapat mengurangkan simptom serta komplikasi penyakit namun ia perlu digunakan secara rasional bagi mengelakkan kerintangan antimikrobial (antimicrobial resistance) yang menyebabkan rawatan tidak berkesan.

“Ubat Oseltamivir adalah ubat antiviral yang digunakan untuk merawat pesakit yang dijangkiti virus influenza. Di Malaysia, terdapat pelbagai jenama Oseltamivir yang berdaftar antaranya Tamiflu, Fluhalt, Osmivir dan Starflu.

“Pesakit disaran mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan. Doktor akan memberi rawatan yang bersesuaian selepas penilaian ke atas keadaan semasa pesakit dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM), Oseltamivir dibekalkan di bawah syarikat konsesi yang telah diarahkan untuk menyimpan stok yang mencukupi dan tiada masalah bekalan di fasiliti KKM walaupun permintaan telah meningkat empat kali ganda pada Disember lepas.

Bagaimanapun, katanya terdapat permintaan mendadak di fasiliti kesihatan swasta, menyebabkan lima pembekal berdaftar sedia ada tidak dapat menampung permintaan berkenaan dan bagi mengatasi masalah itu, KKM telah memberikan kelulusan khas untuk mendapatkan bekalan daripada pembekal alternatif.

Katanya, KKM telah meluluskan hampir 1.1 juta kapsul bagi tempoh Dis 2019 hingga Januari untuk memenuhi permintaan fasiliti kesihatan swasta dan jumlah itu dianggarkan dapat merawat sejumlah 110,000 pesakit.

Berhubung pembekalan vaksin influenza, Dr Noor Hisham berkata vaksin itu hanya ditawarkan di fasiliti KKM sebagai sebahagian daripada regimen rawatan kepada pesakit yang berisiko tinggi mendapat komplikasi jangkitan termasuk kematian apabila dijangkiti virus influenza dan pemberiannya adalah berdasarkan kepada penilaian klinikal daripada pakar.

“Vaksin ini juga turut diberikan kepada golongan anggota barisan hadapan KKM yang terdedah kepada jangkitan semasa mengendalikan pesakit. Orang awam yang ingin mendapatkan suntikan vaksin influenza boleh mendapatkan suntikan berkenaan di fasiliti kesihatan swasta,” katanya.

Katanya sehingga kini, terdapat enam produk vaksin influenza yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia dengan jumlah keseluruhan kuantiti yang telah dibawa masuk untuk pasaran Malaysia sepanjang 2019 bagi keenam-enam produk vaksin itu adalah sebanyak 638,388 dos.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan bekalan itu, hanya 10 peratus merupakan bekalan ke fasiliti kesihatan KKM.

Dr Noor Hisham berkata pembekal telah mengagihkan sejumlah 40,000 dos vaksin influenza ke hospital dan klinik swasta pada 7 Jan lepas, sehingga menyebabkan baki stok dalam simpanan pihak pembekal habis buat masa ini namun sejumlah 99,470 dos lagi akan dibawa masuk pada bulan ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2