Tiga daripada empat kes disyaki jangkitan coronavirus didapati negatif -- Dr Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR, 23 Jan -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima laporan empat kes disyaki dijangkiti 2019 novel coronavirus (2019-nCoV), masing-masing dua kes di Selangor dan Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata ujian makmal ke atas sampel tiga daripada empat individu berkenaan didapati negatif bagi jangkitan 2019-nCoV.

"Manakala satu kes di Sabah yang disyaki sedang dirawat di wad isolasi berada dalam keadaan stabil dan masih menunggu keputusan ujian serta sampelnya telah dihantar ke IMR (Institut Penyelidikan Perubatan)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, dilaporkan China mengenakan perintah kuarantin di Wuhan susulan penularan wabak coronavirus yang telah mengakibatkan sembilan maut, manakala lebih 400 orang dijangkiti virus itu, setakat ini.

Menurut Dr Noor Hisham, Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO telah menggesa negara anggotanya untuk memantapkan tahap kesiapsiagaan di negara masing-masing bagi menghadapi potensi penularan 2019-nCoV.

Sehubungan itu, KKM telah bersiap siaga dengan mengeluarkan tatacara perubatan virus itu bagi tujuan rujukan selain bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memperkukuhkan aktiviti saringan di semua pintu masuk antarabangsa.

"Saringan pesakit di Klinik Kesihatan dan Jabatan Kecemasan hospital diperkukuhkan bagi memastikan kes yang disyaki dirujuk serta dikendalikan dengan memenuhi langkah pencegahan dan kawalan infeksi dan sebanyak 26 hospital KKM seluruh negara telah dikenal pasti bagi mengendalikan kes yang disyaki (dijangkiti virus tersebut)," kata Dr Noor Hisham.

Menurutnya, sampel pesakit akan menjalani ujian pengesanan, dinotifikasi dengan segera kepada pihak kesihatan, seterusnya dimaklumkan kepada pasukan kesihatan bagi tindakan di peringkat daerah serta memastikan simpanan stok ubat-ubatan mencukupi.

Beliau juga menyarankan orang ramai yang ingin ke Wuhan, China untuk menangguh perjalanan mereka berikutan wabak yang melanda negara itu ketika ini.

“Sekiranya tujuan lawatan mereka ke negara itu atas urusan penting yang tidak dapat dielakkan, mereka diingatkan untuk mengamalkan langkah pencegahan khususnya semasa berada di Wuhan dan selepas pulang ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata antara langkah pencegahan yang perlu diambil adalah  sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer).

"Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu dan elakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala.

"Selain itu, elakkan melawat ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan dan elakkan memakan sebarang produk haiwan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna," katanya.

Dr Noor Hisham  juga mengingatkan untuk segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan dan maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat.

-- BERNAMA

 

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2