Koronavirus: Pemantauan pintu masuk negara di Kedah diperketat



JITRA, 24 Jan -- Pemantauan dan kesiapsiagaan pegawai kesihatan di dua pintu masuk negara di negeri ini dipertingkatkan bagi menghadapi sebarang potensi penularan wabak koronavirus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah Datuk Dr Ismail Salleh berkata dua pintu masuk itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

“Kita ada kamera pengimbas haba bagi mengesan suhu badan pelancong atau mereka yang tiba ke negara ini melalui dua lokasi ini.

Kita akan kenal pasti dahulu mereka-mereka yang masuk itu daripada mana, jika dari kawasan yang tiada risiko mungkin kita tidak tumpu sangat tetapi mereka yang dikenal pasti dari China atau Filipina yang ada kes di sana, kita akan perketatkan pemantauan ke atas mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah yang diambil kerajaan negeri khususnya bagi memantau dua pintu masuk itu susulan penularan wabak koronavirus di China.

Dalam pada itu, Ismail berkata belum ada keperluan untuk meletakkan atau menambah pegawai kesihatan di kawasan-kawasan tertentu memandangkan keadaan ketika ini dilihat masih terkawal.



“Namun kita perlu memastikan ‘saringan’ kepada mereka yang tiba di pintu masuk negara dapat dilakukan dengan baik bagi memastikan tidak ada yang terlepas,” katanya.

Selain itu, menurutnya pejabat kesihatan daerah di negeri ini telah membuka kaunter-kaunter saringan berasingan bagi membuat saringan kepada mereka yang pulang dari luar negara terutama dari negara yang mempunyai kes.

Terdahulu Ismail menghadiri majlis perasmian projek menaik taraf Jalan Padang Sera/Siputeh di Kodiang, dekat sini yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir. Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

-- BERNAMA

 

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2