Tiga warga China sah kes pertama positif koronavirus Di Malaysia



PUTRAJAYA, 25 Jan (Bernama) -- Tiga warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor dari Singapura pada Khamis lepas (23 Jan), disahkan positif koronavirus, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Mereka yang terlibat dalam tiga kes pertama positif koronavirus di Malaysia itu adalah ahli keluarga rapat kepada seorang lelaki berusia 66 tahun dan anak lelakinya yang berasal dari Wuhan, China, yang direkodkan sebagai dua kes pertama positif virus itu di Singapura, katanya.

Dr Dzulkefly berkata mereka adalah seorang wanita berusia 65 tahun, iaitu isteri kepada pesakit berusia 66 tahun di Singapura, dan dua cucu lelakinya berusia dua dan 11 tahun.

"Mereka kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan selanjutnya dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil," katanya dalam sidang media mengenai wabak 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) di sini, hari ini.

Menurut Dr Dzulkefly, keluarga berkenaan tiba di Singapura bersama rakan mereka yang terdiri daripada empat sekeluarga pada 20 Jan lepas.

Menurutnya, lapan daripada mereka difahamkan meneruskan perjalanan ke Johor Bahru pada 23 Jan kerana tidak menunjukkan sebarang simptom koronavirus, sementara lelaki berusia 66 tahun itu dan anak lelakinya menunggu keputusan ujian di sebuah hospital di Singapura.

Kementerian Kesihatan Singapura kemudian memaklumkan kepada Malaysia mengenai keputusan ujian positif koronavirus kedua-dua lelaki itu dan memperincikan maklumat mengenai kontak rapat beliau yang berada di Malaysia, katanya.

Melalui perkongsian maklumat itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor mengesan kesemua lapan kontak terbabit serta meletakkan mereka semua di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.

Dr Dzulkefly berkata ujian klinikal yang dijalankan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Hospital Sungai Buloh mengesahkan hanya tiga daripada mereka yang positif 2019-nCoV, empat lagi rakan mereka pulang ke China pagi ini.

Seorang lagi ahli keluarga itu yang juga menantu perempuan kepada wanita 65 tahun dan pesakit lelaki 66 tahun di Singapura itu, disahkan negatif koronavirus, tetapi kini berada di Hospital Sungai Buloh bagi menjaga kedua-dua anaknya.

Dr Dzulkefly berkata ketiga-tiga pesakit terbabit diasingkan dan dirawat di Hospital Sungai Buloh memandangkan ia pusat rujukan bagi penyakit berjangkit.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga sedang menjalankan pengesanan sentuh mereka yang mungkin telah berhubung dengan pesakit terbabit di Johor Bahru.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat 11 kes disyaki 2019-nCoV di negara ini yang mempunyai sejarah perjalanan ke China, sudah disaring dan 10 daripadanya disahkan negatif.

"Seorang lagi yang juga rakyat Malaysia bagaimanapun sedang diasingkan di Hospital Kuala Lumpur sementara menunggu keputusan ujian makmal," katanya.

Mengenai rawatan kepada pesakit, Dr Dzulkefly berkata buat masa ini tidak terdapat ubat khusus untuk jangkitan koronavirus dan pesakit hanya dirawat menggunakan ubat-ubatan sedia ada mengikut simptom yang ditunjukkan seperti batuk atau demam.

Katanya, siasatan yang dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pelbagai pihak yang terlibat juga masih tidak dapat memberikan jawapan yang jelas serta tidak dapat mengenalpasti bagaimana sebenarnya jangkitan virus itu menular kepada manusia. 

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2