Cara jangkitan novel koronavirus belum jelas - Dr Noor Hisham



KUALA LUMPUR, 25 Jan -- Cara jangkitan novel koronavirus (2019-nCoV) belum diketahui dengan jelas, meskipun kes yang dikesan setakat ini mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk dan kesukaran untuk bernafas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata terdapat bukti yang menunjukkan berlakunya penularan daripada seorang individu kepada individu yang lain, khususnya dalam kalangan kontak rapat.

Sehubungan itu katanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan itu, melalui maklumat daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga KKM, akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya, dilaksanakan secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai khususnya pelancong, sama ada semasa berada di negara China dan selepas pulang ke Malaysia, untuk mengamalkan beberapa langkah pencegahan termasuk ​​​ memastikan tahap kebersihan diri yang tinggi, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pensanitasi tangan.

Katanya semasa dalam tempoh lawatan, orang ramai perlu sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung, serta bahan pencuci tangan untuk digunakan apabila perlu, selain mengelak daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang menunjukkan simptom.

“Elak melawat ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan dan elak memakan sebarang produk haiwan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna”, katanya.

Noor Hisham berkata, orang ramai turut dinasihati segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk atau kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang daripada lawatan tersebut.

“Maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2