Satu lagi kes koronavirus dikesan di Johor Bahru



KUALA LUMPUR, 25 Jan -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan mengenai pengesanan satu lagi kes yang disahkan dijangkiti 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) malam ini, menjadikan jumlah individu disahkan positif 2019-nCoV, kepada empat setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, kes yang disahkan petang tadi itu, tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tiga kes positif yang telah dilaporkan, pada awal hari ini.

"Kes terbaru ini merupakan seorang lelaki berumur 40 tahun yang berasal dari Wuhan, China. Kes (pesakit) itu tiba di Johor Bahru pada Rabu (22 Jan) dengan menaiki bas dari Singapura. Kes datang bersama sekumpulan pelancong warga China seramai 17 orang kesemuanya; yang turut terdiri daripada isteri dan seorang anaknya.

"Kes (lelaki) mula mengalami gejala demam pada  Khamis (23 Jan) dan keesokan harinya beliau telah pergi mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta berhampiran. Beliau seterusnya telah dirujuk oleh pihak hospital swasta tersebut untuk menerima rawatan lanjut di bawah jagaan Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata ujian pengesanan dan pengesahan bagi kes ini, telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan pada petang tadi (25 Jan) pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan bahawa sampel pesakit terbabit didapati positif 2019-nCoV.

Jelasnya ketika ini kes (lelaki) masih demam dan batuk, namun beliau berada dalam keadaan stabil.

Katanya, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah bertindak segera mengesan kesemua 17 kontak daripada kumpulan pelancong yang sama yang disertai oleh kes, dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

"Hasil saringan mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut, untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV di MKAK Sungai Buloh.

"Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan, sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka," kata Dr Noor Hisham.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2