Kes kanser lewat dikesan membimbangkan - Dr Noor Hisham

Sumber: Fb - Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR, 4 Feb -- Kes kanser yang lewat dikesan iaitu pada tahap tiga dan empat dalam kalangan rakyat Malaysia berada pada tahap membimbangkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, mengikut laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia, kes kanser yang lewat dikesan meningkat daripada 58.7 peratus pada 2001 hingga 2011, kepada 63.7 peratus pada 2012 hingga 2016.

“Kanser merupakan penyakit kronik yang kerap berlaku dan boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan jantina. 

“Mengenali gejala dan tanda-tanda awal kanser, merupakan langkah yang sangat penting dalam membantu kanser tidak dikesan lewat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sempena sambutan Hari Kanser Sedunia yang bertemakan ‘I Am and I Will’ pada 4 Feb setiap tahun, Dr Noor Hisham berkata kanser boleh dikesan awal, dengan melakukan ujian saringan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan perkhidmatan saringan kanser payudara, kolorektal dan serviks di klinik-klinik kesihatan dan saringan kanser mulut di klinik-klinik pergigian di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata sejak dua dekad lepas, kanser merupakan lima penyebab kematian utama, yang berlaku di hospital kerajaan dan penyebab utama kematian di fasiliti swasta negara ini.

“Mengikut Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016, kanser yang paling kerap berlaku ialah kanser payudara iaitu 19 peratus, diikuti kanser kolorektal 13.5 peratus dan kanser paru-paru 9.8 peratus.

“Dalam kalangan lelaki, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku iaitu 16.9 peratus manakala bagi wanita adalah kanser payudara sebanyak 34.1 peratus,” katanya.

Dr Noor Hisham menyeru semua pihak memainkan peranan dalam membantu mencegah dan mengurangkan kesan kanser kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

“Amalkan gaya hidup sihat, jalani ujian saringan, kenali tanda serta gejala awal kanser. Sekiranya dikesan menghidap kanser, jangan tangguhkan rawatan. Ambil rawatan yang terbukti selamat seperti yang disaran pakar perubatan,” katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2