Hospital Pantai Batu Pahat buka pusat jantung, pertama di Johor Utara

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye ketika melancarkan Pusat Jantung Hospital Pantai Batu Pahat, hari ini. Hospital itu membuka pusat jantung invasif yang menawarkan rawatan perubatan lebih komprehensif kepada pesakit jantung

BATU PAHAT, 4 Feb -- Hospital Pantai Batu Pahat di sini, membuka pusat jantung invasif yang menawarkan rawatan lebih komprehensif kepada pesakit jantung sekali gus menjadi hospital pertama di Johor utara yang menyediakan perkhidmatan seumpama itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata pusat jantung invasif atau makmal kateterisasi di hospital swasta berkenaan mampu memenuhi permintaan dan keperluan rawatan berkaitan jantung khususnya pesakit di daerah Batu Pahat, Muar dan Segamat.

"Hospital Pantai Batu Pahat adalah satu-satunya hospital di utara negeri ini yang menyediakan Cath Lab (makmal kateterisasi) dengan perkhidmatan 24 jam.

"Saya percaya penduduk sekitar akan mendapat banyak manfaat daripada perkhidmatan ini kerana mereka tidak perlu pergi ke Johor Bahru atau Ayer Keroh, Melaka yang mengambil masa kira-kira sejam perjalanan," katanya berucap melancarkan pusat jantung invasif Hospital Pantai Batu Pahat di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Hospital Pantai Batu Pahat Dr Kamal Amzan.

Dr Lee berkata di Johor, kemudahan perkhidmatan serupa yang disediakan di hospital kerajaan hanya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

Beliau berkata penyakit berkaitan kardiovaskular masih menjadi penyebab utama kematian dalam kalangan rakyat Malaysia sejak sedekad lepas.

Katanya, mengikut Jabatan Statistik Malaysia, bilangan kematian yang berkaitan dengan penyakit jantung pada tahun 2010 mencatatkan 9,371 orang dan bilangan kematian pada 2018 meningkat sehingga 18,267 orang.

Sementara itu, Dr Kamal berkata pusat jantung invasif itu mula dibangunkan sejak Julai tahun lepas dengan kos RM4.5 juta.

Beliau berkata dengan memiliki tiga doktor pakar jantung, pusat jantung berkenaan lazimnya mengendalikan tiga hingga empat kes setiap hari. 

"Pelancaran pusat jantung invasif ini tepat pada masanya kerana terdapat peningkatan dalam jumlah pesakit dengan ketara beberapa tahun ini. Hospital ini menerima 318 kes penyakit berkaitan kardiovaskular pada 2018 dan kenaikan lebih daripada lapan peratus, tahun lepas," katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2