Koronavirus: enam kes baharu disahkan di Singapura, empat jangkitan tempatan

Foto: -/TPG via ZUMA Press/dpa

SINGAPURA, 4 Feb -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengesahkan enam lagi jangkitan koronavirus di negara ini, dengan empat kes pertama jangkitan manusia-ke-manusia melibatkan rakyat tempatan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah 24.

Tiga kes tempatan ini melibatkan penduduk Singapura yang mempunyai kontak dengan pelancong dari tanah besar China baru-baru ini, manakala kes keempat, melibatkan pekerja domestik warga Indonesia, yang mempunyai kontak rapat dengan seorang daripada pesakit jangkitan tempatan, menurut MOH dalam kemas kini terbarunya.

Kementerian itu berkata dua lagi kes membabitkan kumpulan warga Singapura yang dibawa pulang dari Wuhan pada 30 Jan.

“Walaupun empat daripada kes ini merupakan kluster jangkitan tempatan, namun tiada bukti penularan dalam masyarakat di negara ini,” menurut MOH. 

Menurut kementerian itu, tiga daripada empat kes dikenal pasti mempunyai kontak dengan kumpulan pelancong dari tanah besar China itu, telah berinteraksi agak lama dengan mereka.

“Sementara menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa China, kumpulan pelancong dari Guangxi itu, atau sekurang-kurangnya dua daripada mereka telah disahkan dijangkiti koronavirus,” menurut MOH.

Kementerian  itu juga mendedahkan bahawa rakyat Malaysia pertama yang dilaporkan positif koronavirus berada di Singapura dari 16 hingga 23 Jan untuk menghadiri satu mesyuarat perniagaan di Grand Hyatt Hotel, yang turut melibatkan rakyat China.

Mengemas kini satu daripada kes positif sebelum ini, MOH berkata seorang lelaki berusia 35 tahun yang merupakan penduduk Wuhan, telah dibenarkan keluar dari Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) hari ini.

Dia telah pulih dan ujian komprehensif yang dilakukan terhadapnya adalah negatif. 

Terdahulu, di KUALA LUMPUR, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media harian perkembangan terkini situasi koronavirus di Malaysia mendedahkan seorang lelaki berusia 41 tahun, yang melawat Singapura untuk menghadiri mesyuarat perniagaan, adalah rakyat Malaysia pertama dilaporkan positif novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Dia adalah seorang daripada dua kes baharu yang dilaporkan positif 2019-nCoV, menjadikan jumlahnya 10 kes di Malaysia setakat ini.

Satu lagi kes melibatkan seorang lelaki berusia 63 tahun dari China yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Jan.

Menteri itu berkata kedua-dua lelaki berkenaan kini menjalani rawatan dan dalam keadaan stabil.

Novel koronavirus yang bermula di Wuhan kini menular ke 27 negara. Sehingga kini 427 orang meninggal dunia dan dilaporkan lebih 20,000 kes positif koronavirus setakat hari ini.  

Dua kematian berlaku di luar China, satu di Filipina dan satu lagi di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong. 

-- BERNAMA

 

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2