Oleh Muhammad Saufee Rosman & Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
PUTRAJAYA, 12 Feb -- Teori menyatakan jangkitan Penyakit Virus Korona 2019 (COVID-19) boleh tersebar melalui bawaan udara belum mendapat 'kata sepakat' dalam kalangan saintis mahupun pakar perubatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sehingga kini, kebanyakan pakar perubatan menyebut bahawa titisan cecair dikenal pasti sebagai mod penyebaran virus berkenaan menjangkiti manusia-ke-manusia.
Bercakap kepada Bernama dalam satu wawancara eksklusif di pejabatnya, beliau menjelaskan apabila seseorang (dijangkiti virus) itu batuk atau bersin (tanpa mengamalkan etika batuk dan bersin), maka rembesan (sekresi) itu akan melekat pada sebarang permukaan seperti meja.
"Apabila individu tidak dijangkiti menyentuh permukaan yang terkena droplet (rembesan) dan disapu pada rongga tubuh seperti hidung ...di situlah keadaan yang mengakibatkan berlakunya transmisi.
"Bayangkan kalau airborne (bawaan udara) saya tidak tahu kesudahan perkara ini …tetapi sehingga kini belum dapat disahkan lagi (virus korona tersebar menerusi bawaan udara)," katanya.
COVID-19, yang bermaksud 'Penyakit Virus Korona' adalah nama rasmi bagi novel koronavirus 2019, virus baharu yang pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember tahun lepas dan telah meragut 1,017 nyawa di republik itu dan satu kematian di Filipina serta 43,155 kes positif COVID-19.
Semalam, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menjelaskan bahawa co bermaksud ‘korona’, vi (virus) dan d (penyakit).
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata perkongsian makanan, minuman atau peralatan yang berkemungkinan tercemar dengan rembesan itu adalah berisiko menyebabkan jangkitan kepada orang lain.
Justeru, beliau berkata mereka yang bergejala (batuk dan selesema) perlulah memakai penutup mulut dan hidung supaya titisan atau rembesan cecair tidak tersebar ketika bercakap, batuk dan bersin.
Baru-baru ini, media melaporkan pakar di China berpendapat virus berkenaan boleh merebak menerusi bawaan udara, sementara sekumpulan pakar perubatan antarabangsa berpendapat cirit-birit sebagai agen kedua yang boleh menyebarkan virus itu.
Mengulas perkembangan berkaitan, Dzulkefly berkata tiada sebarang kesan sampingan drastik yang dialami oleh semua 18 pesakit COVID-19 di negara ini sepanjang tempoh pemantauan mereka di wad isolasi.
"Tidak seperti virus Ebola, yang menyebabkan kematian mengejut, this is normal Coronavirus yang membawa pneumonia atau gejala berkaitan saluran pernafasan.
"Pesakit koronavirus yang meninggal dunia didapati ada penyakit sampingan lain seperti sakit jantung dan kegagalan buah pinggang ...bukan kerana koronavirus sangat ‘ganas’ atau ‘dahsyat," jelasnya.
Dzulkefly sekali lagi menegaskan golongan berisiko tinggi dijangkiti virus itu seperti warga emas berusia lebih 65 tahun, kanak-kanak imuniti rendah dan mereka yang mempunyai penyakit berkaitan pernafasan seperti asma perlu mengehadkan lawatan ke hospital sekiranya tiada urusan penting.
Beliau berkata penting bagi golongan itu tidak pergi ke kawasan awam atau keramaian, khususnya hospital bagi mengelakkan risiko 'Hospital Acquired Infection' (HAI) atau Jangkitan Diperoleh Di Hospital.
Tidak menolak kemungkinan trend kehadiran golongan berisiko itu ke hospital akan meningkat pada waktu ini, Menteri Kesihatan itu menegaskan KKM sentiasa memantau perkembangan hal berkenaan dan bersiap siaga menanganinya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN