mySalam sinar baharu buat pesakit kronik kurang berkemampuan



KOTA KINABALU, 14 Feb  -- mySalam, skim perlindungan masyarakat yang menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada rakyat, ibarat sinar baharu buat pesakit kronik kurang berkemampuan di negara ini meneruskan kehidupan.

Rakyat di Sabah juga tidak terkecuali memanfaatkan skim itu dan menyifatkan ia amat membantu mereka yang kesempitan wang dan hampir putus harapan setelah sekian lama bergelut dengan penyakit kronik yang menelan belanja perubatan sehingga ribuan ringgit. 

Suri rumah, Noor Saniah Mahadi daripada Tenom berkata skim mySalam akan dapat membantu menampung kos perubatan dan hospitalisasi kakaknya, Norsinah, 26, yang sedang menjalani rawatan hemodialisis di Hospital Queen Elizabeth (HQE) I, berikutan kegagalan buah pinggang sejak November tahun lepas.

Katanya dia membantu kakaknya, yang merupakan seorang ibu tunggal dan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), membuat permohonan tuntutan skim mySalam bagi mendapatkan bayaran RM8,000 yang diberikan secara sekali bayaran serta bayaran harian RM50 sehari.

“Permohonan baru sahaja dibuat Januari lepas. Sekarang dalam proses dan kami sedang menunggu kelulusan. Hari ini pula, saya menghantar kepada mySalam beberapa dokumen sokongan untuk mendapatkan bayaran harian RM50 sehari, kami berharap permohonan ini diluluskan,” katanya ketika ditemui Bernama di kios mySalam di HQE I, hari ini.

Noor Saniah, 24, berkata kakaknya sebelum ini pernah ditahan di wad HQE I selama 12 hari bagi menjalani rawatan dan kos ditanggung mereka ketika itu mencecah sehingga ribuan ringgit.

Seorang pesakit katarak, Azizan Sidi, 43, daripada Kota Belud yang menjalani pembedahan mata di hospital tersebut pula berkata dia akan memanfaatkan sepenuhnya skim mySalam untuk membuat tuntutan perlindungan kesihatan berdasarkan kelayakannya.

“Saya akan cuba membuat tuntutan kerana berdasarkan penerangan petugas kios mySalam, ada kategori yang boleh dituntut termasuk pembedahan. Saya akan ambil peluang ini kerana saya fikir ini satu inisiatif kerajaan yang bagus dalam membantu golongan B40,” katanya yang juga penerima BSH dan menghidap katarak sejak enam bulan lepas.

Kios mySalam di HQE I dibuka pada setiap hari bekerja yang antara lain menjadi saluran menyampaikan maklumat berkaitan mySalam, menjadi pemudah cara untuk pemohon mengisi borang, mendaftar serta membuat semakan permohonan dan status tuntutan.

Selain di HQE I, kios mySalam turut dibuka di dua hospital kerajaan lain di Sabah iaitu di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Likas dan Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Skim mySalam yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan menawarkan dua jenis faedah bantuan untuk 36 jenis penyakit kritikal dan penerima akan mendapat RM8,000 sekali bayaran, selain bayaran pendapatan gantian elaun dimasukkan ke hospital sebanyak RM50 di mana-mana hospital kerajaan, hospital perubatan universiti dan hospital tentera untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun atau RM700 setahun.

Pada 11 Feb, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan skim mySalam lanjutan berkuat kuasa sejak 1 Jan lepas meliputi sembilan lagi penyakit kritikal termasuk polio, menjadikan jumlah penyakit yang diliputi kini adalah 45.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018