Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia setakat jam 8:00 pagi yang dikeluarkan oleh WHO (21 Feb).
Oleh Melati Mohd Ariff
Berikut adalah rangkuman mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 17 Feb hingga pukul 5.30 petang 21 Feb.
Jumlah kes di seluruh dunia terus mencatat kenaikan melebihi 70,000 kes dengan kematian mengatasi angka lebih 2,000 setakat ini.
Kuala Lumpur (Bernama ) -- Meskipun setakat ini belum ada pesakit baharu COVID-19 dan ramai yang sudah sembuh, semua pihak termasuk masyarakat diharap tidak mudah selesa dengan keadaan itu.
Perkara ini turut ditekankan oleh Menteri Kesihatan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sewaktu memberi sidang media situasi terkini jangkitan COVID-19 di negara ini pada 19 Feb.
Beliau merujuk kepada keadaan di Singapura di mana doktor di sana berhadapan dengan situasi peringkat jingga. Jumlah pesakit COVID-19 di negara jiran (sehingga 20 Feb) ialah 85 di mana 37 orang telah sembuh.
pic-2
Setakat laporan ini ditulis, tinggal lima orang pesakit COVID-19 yang masih dirawat di hospital di negara ini, setelah 17 orang yang lain disahkan sembuh.
Mereka yang masih dirawat dilaporkan stabil. Daripada jumlah itu, tiga dirawat di Hospital Kuala Lumpur, seorang di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah dan seorang lagi di Hospital Sungai Buloh.
Sementara itu, pesakit yang dirawat di Hospital Sungai Buloh, seorang warga Amerika Syarikat, hari ini dilaporkan sudah pulih daripada jangkitan virus itu selepas beberapa ujian dijalankan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) membuat kenyataan itu dalam sidang akhbarnya hari ini. Wanita itu bagaimanapun masih dirawat di hospital berkenaan kerana kurang sihat dan masih mempunyai simptom.
Jumlah kes COVID-19 di Malaysia kekal 22 kes sehingga hari ini (21 Feb) sejak tiga kes pertama diumumkan pada 25 Jan lepas.
Penghujung minggu lalu negara mencatat tiga kes positif COVID-19, selepas tiada kenaikan sepanjang lima hari sebelumnya, yang menjadikan jumlah kes kepada 22 orang. Seramai 15 pesakit adalah warganegara China, enam orang rakyat Malaysia dan seorang warganegara Amerika Syarikat.
Warganegara Amerika Syarikat itu (kes ke-22) yang kini dirawat di Hosptal Sungai Buloh, berusia 83 tahun dan tiba di negara ini dengan suaminya pada 14 Feb. Mereka adalah antara penumpang kapal persiaran WS Westerdam yang dibenarkan berlabuh di Kemboja pada 13 Februari 2020.
Antara yang dilaporkan sudah sembuh termasuk pesakit rakyat Malaysia yang pertama dijangkiti COVID-19 yang dibenarkan pulang pada 17 Feb lepas. Lelaki berusia 41 tahun itu adalah kes ke-9 dan dirawat di Hospital Sungai Buloh.
pic-3
Menurut perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 8 pagi 21 Feb, jumlah kes COVID-19 di negara ini yang disahkan negatif sebanyak 946 dan yang masih menunggu keputusan makmal sebanyak 36 kes.
Sementara itu, Malaysia dilaporkan akan membawa pulang kumpulan kedua rakyat Malaysia dari Wuhan, China pada Selasa 25 Feb. Bagaimanapun, jumlahnya belum dimuktamadkan.
Pada 4 Feb lepas, seramai 107 orang rakyat Malaysia dibawa pulang dari Wuhan dengan pesawat khas. Kesemuanya kemudian dibawa ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai, Negri Sembilan untuk pemantauan selama 14 hari.
Dalam perkembangan lain, dua daripada empat rakyat Malaysia yang berada di dalam kapal persiaran Diamond Princess yang sebelum ini dikenakan perintah kuarantin di Pelabuhan Yokohama, Jepun disahkan positif COVID-19. Mereka sedang dirawat di Jepun sementara dua orang lagi sedang menunggu keputusan ujian COVID-19.
Laporan ini terkandung dalam catatan di Facebook rasmi milik Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah Selasa lepas (18 Feb).
STATUS WABAK COVID-19
Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia seperti tertera di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga pukul 8 pagi, 21 Feb (yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia) adalah seperti berikut:-
Jumlah keseluruhan kes, 75,778 dengan melibatkan 27 buah negara. Jumlah kematian keseluruhan pula, 2,130.
Jumlah kes di China, 74,680 dengan kes kematian sebanyak 2,122.
COVID-19 turut meragut nyawa pengarah Hospital Wuhan, Liu Zhimming, selepas pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan beliau. Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei adalah pusat merebaknya COVID-19.
pic-4
Kematian Liu yang diumumkan pada Selasa 18 Feb mengingatkan kematian seorang doktor yang juga pakar optalmologi, Li Wenliang pada 7 Feb, yang sebelum ini dihukum oleh pihak berkuasa di China selepas memberi amaran berhubung COVID-19.
Terdapat juga laporan yang mendakwa sekitar 500 kakitangan hospital di Wuhan turut dijangkiti penyakit tersebut. Kebanyakan mereka dilaporkan kakitangan Hospital Wuhan Xiehe dan Hospital Renmin.
Sementara itu, pihak berkuasa di Wuhan dilaporkan melancarkan kempen tiga hari bermula 17 Feb (Isnin) untuk menyaring (screening campaign) semua penduduk supaya tidak ada yang terbiar tanpa rawatan dan untuk menyekat penularan wabak COVID-19.
Laporan China Daily/ANN itu menyebut, langkah penyaringan dari rumah ke rumah itu dibuat selepas pihak berkuasa bandar raya berkenaan mengeluarkan notis umum pada 14 Feb bahawa semua komuniti kediaman akan di "kurung" dan mengurangkan pergerakan orang bagi menyekat penularan COVID-19.
Semua rumah akan diperiksa untuk mengenal pasti mereka yang dijangkiti, kes yang disyaki dan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan orang yang dijangkiti virus berkenaan.
LEBIH MUDAH BERJANGKIT
Lebih mudah berjangkit. Demikian rumusan kajian menyeluruh ke atas lebih daripada 72,000 kes disah dan disyaki dijangkiti COVID-19 yang dibuat oleh ahli sains China dari Chinese Center for Disease Control and Prevention dan diterbitkan dalam Chinese Journal of Epidemiology pada Isnin 17 Feb.
pic-5
Antara dapatan kajian kumpulan ahli sains itu ialah COVID-19 adalah lebih mudah berjangkit berbanding virus yang menyebabkan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).
Memandangkan COVID-19 menjangkiti lebih ramai orang berbanding virus yang menyebabkan SARS dan MERS, angka kematian juga tinggi. Wabak SARS dilaporkan membunuh 774 orang sementara MERS, membunuh sekurang-kurangnya 828 orang sejak 2012.
Sementara itu, keadaan dilaporkan gawat di Korea Selatan dengan peningkatan tinggi kes jangkitan COVID-19. Laporan agensi berita AFP menyebut sehingga Jumaat 21 Feb, sebanyak 156 kes direkod. Kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 61 tahun yang mengunjungi Shincheonji Church of Jesus di selatan bandar Daegu. Wanita ini dilaporkan masih ke gereja berkenaan beberapa kali ketika mengalami demam. Setakat ini lebih 80 orang pengunjung gereja yang sama disahkan menghidap COVID-19.
Di Iran, agensi berita separuh rasmi ISNA memetik jurucakap Kementerian Kesihatan Iran yang mengumumkan tiga orang lagi disahkan dijangkiti COVID-19.
Ini berlaku selepas dua pesakit pertama diumumkan dikesan positif di bandar Qom pada Rabu 19 Feb. Dua pesakit pertama itu kemudiannya dilaporkan meninggal dunia kerana masalah imun. Kesemua pesakit adalah rakyat Iran.
Di Jepun pula, agensi berita AFP melaporkan dua orang warga emas yang dikuarantin di dalam kapal persiaran Diamond Princess kerana positif dijangkiti COVID-19 meninggal dunia.
Dua yang maut itu ialah penumpang lelaki dan wanita, masing-masing berusia lingkungan 80-an.
Ia adalah kes kematian pertama COVID-19 yang membabitkan 600 orang daripada 3,711 penumpang dan kru dalam kapal persiaran Diamond Princess yang disahkan dijangkiti COVID-19.
Kapal persiaran itu dikenakan perintah kuarantin selepas berlabuh di pelabuhan di Yokohama, sejak 5 Februari lalu.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
RUANGAN SISI
LATAR BELAKANG COVID-19
-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.
-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.
-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia. Virus baru itu adalah koronavirus, yang merupakan keluarga yang termasuk selsema biasa, dan virus seperti SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) dan MERS (Sindrom Pernafasan Asia Barat).
-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.
-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.
-- Selain Malaysia, wabak COVID-19 telah menular ke Singapura, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Vietnam, Jerman, Australia, Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kanada, India, Itali, Filipina, Rusia, Sepanyol, Iran, Sri Lanka, Kemboja, Nepal, Finland, Sweden, Belgium dan Mesir.
-- WHO pada 30 Jan mengumumkan Koronavirus (COVID-19) sebagai darurat kesihatan awam apabila angka korban wabak itu mencecah 170 orang dan merebak ke 18 buah negara. Pengisytiharaan itu bertujuan mencegah atau mengurangkan penularan jangkitan menerusi sempadan.
-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN