Denggi: Pulau Pinang lepaskan nyamuk disuntik bakteria Wolbachia

GEORGE TOWN, 23 Feb --  Pulau Pinang melepaskan nyamuk yang dijangkiti bakteria berbahaya yang dikenali sebagai Wolbachia bagi mengurangkan populasi nyamuk aedes liar yang menyebarkan demam denggi.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek rintis itu dilaksanakan pada 19 Nov lepas di lapan lokasi di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya tiga daripada lapan lokasi di Pulau Pinang yang terlibat ialah Flat Inderawasih di daerah Seberang Perai Tengah, Flat Taman Manggis di daerah Timur Laut dan Flat Bukit Gedung di daerah Barat Daya.

“Sebanyak 433,500 telur nyamuk aedes telah disuntik dengan bakteria Wolbachia yang dibekalkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah diletakkan di lokasi ujian (untuk program rintis),” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek rintis nyamuk aedes yang dijangkiti bakteria Wolbachia peringkat Pulau Pinang di Flat Bukit Gedung di sini hari ini. 

Beliau berkata strategi penggantian nyamuk liar yang membawa virus maut itu kepada nyamuk yang dijangkiti bakteria Wolbachia akan menjadi pencetus perubahan besar-besaran jika ia terbukti berkesan

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata zon penampan 200 meter telah dibuat di kawasan ujian bagi mengelak sebarang aktiviti semburan kabus dijalankan di situ ketika projek sedang dilaksanakan.

Katanya semburan kabus di kawasan ujian akan merosakkan projek tersebut dengan membunuh nyamuk yang disuntik dengan bakteria Wolbachia.

“Dalam jangka masa panjang, jika projek ini terbukti berkesan, maka tidak perlu diadakan semburan kabus di kawasan tertentu,” katanya.

Wolbachia atau Wolbachia pipientis adalah sejenis bakteria yang boleh dijumpai pada serangga dan terbukti tidak memudaratkan manusia, haiwan atau alam sekitar.

Menurut IMR, pelepasan nyamuk yang dijangkiti bakteria Wolbachia di Malaysia dilakukan untuk menjadikan populasi nyamuk liar tidak menyebarkan virus denggi, Zika atau chikungunya.

Konsepnya adalah nyamuk liar betina tidak akan mampu lagi membiak selepas mengawan dengan nyamuk jantan yang dijangkiti bakteria Wolbachia.

Ini kerana, nyamuk betina yang dijangkiti bakteria Wolbachia akan sentiasa melahirkan nyamuk yang dijangkiti bakteria Wolbachia. 

Kajian eksperimen telah dijalankan di sembilan negara termasuk Singapura, Brazil, India dan Amerika Syarikat, tetapi hanya Malaysia dan Australia yang telah melaksanakan program itu bagi mengurangkan populasi nyamuk yang membawa virus maut.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018