KKM terima 2.5 juta vaksin polio tambahan daripada WHO



KUALA LUMPUR, 28 Feb  -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima 2.5 juta dos vaksin polio oral monovalen jenis 2 (mOPV2) daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai vaksin tambahan untuk kawalan wabak polio di Sabah.  

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bekalan vaksin yang dikendalikan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu, untuk diberikan kepada lebih satu juta kanak-kanak di bawah umur 13 tahun di Sabah. 

"Vaksin mOPV2 yang dibekalkan oleh UNICEF adalah vaksin tambahan yang perlu diberikan di samping vaksin bOPV (vaksin polio oral bivalen) yang disediakan oleh Kerajaan Malaysia untuk memastikan perlindungan virus polio adalah lengkap.

"Kedua-dua jenis vaksin ini (iaitu mOPV dan bOPV) akan memberi perlindungan kepada kanak-kanak serta menghalang penularan virus polio kepada kanak-kanak lain. Semua kanak-kanak yang berumur di bawah 13 tahun akan diberikan kedua-dua jenis vaksin OPV ini tanpa mengira status imunisasi," katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi KKM. 

Dr Noor Hisham berkata vaksin OPV berkenaan adalah selamat dan perlu diberikan beberapa kali bagi kesan yang optimum, justeru ibu bapa penjaga dan pihak taska, tadika serta sekolah digesa memastikan kanak-kanak menerima imunisasi tersebut.

Terkini, Malaysia masih kekal mencatatkan tiga kes disahkan polio melibatkan kanak-kanak berumur tiga  bulan dari Tuaran, lapan tahun dari Sandakan dan 11 tahun dari Kinabatangan di Sabah. 

Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang sihat tiada bergejala dari daerah Semporna telah dikesan positif virus polio melalui persampelan yang disasarkan ke atas kanak-kanak sihat, manakala lima sampel persekitaran air kumbahan dikesan positif virus polio iaitu dari Daerah Kota Kinabalu dan Semporna.

Sebagai langkah kawalan, kerajaan telah mengeluarkan peruntukan tambahan untuk menjalankan kempen imunisasi bOPV kepada kanak-kanak di seluruh negeri Sabah sejak 27 Dis 2019.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2