Hospital Sungai Buloh bakal dijadikan hospital untuk penyakit berjangkit



PUTRAJAYA, 9 Mac -- Susulan penularan jangkitan COVID-19 di dalam negara, Hospital Sungai Buloh di Selangor akan dijadikan hospital khusus bagi merawat penyakit berjangkit.  

Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh Dr Suresh Kumar Chidambaram berkata ini bagi memastikan kemudahan dan persiapan yang diperlukan lengkap untuk menghadapi sebarang kemungkinan  di masa hadapan. 

“Kami maklum hospital-hospital berhadapan masalah katil tetapi pengalaman di Sungai Buloh, kami telah menyelesaikan pengurusan katil, tiada masalah kekurangan katil untuk pesakit COVID-19 di hospital ini,” kata beliau mengenai pengurusan perubatan dan persediaan negara.   

Dr Suresh berkata demikian pada sesi libat urus antara Kementerian Kesihatan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan  Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan pengamal media di Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.

Pada masa ini, Dr Suresh berkata tingkat empat dan lima hospital itu dikhususkan untuk pesakit COVID-19 masing-masing dengan 112 katil, sementara tingkat tiga pula dengan 14 katil unit rawatan rapi (ICU) akan dikhaskan kepada mangsa yang serius dan memerlukan bekalan oksigen dan rawatan rapi. 

Menurut Dr Noor Hisham, jabatan sedia ada dari dua tingkat yang dikosongkan itu dipindahkan ke fasiliti perubatan berhampiran supaya Hospital Sungai Buloh boleh menumpukan kepada penyakit berjangkit seperti kes-kes COVID-19. 

Apabila ditanya sama ada hospital untuk penyakit berjangkit di Sungai Buloh adalah buat sementara waktu sehingga wabak itu berakhir, ketua pengarah kesihatan itu berkata: ”Ada permintaan supaya kami mendapatkan hospital bagi penyakit berjangkit, maka kami akan jadikan Hospital Sungai Buloh sebagai hospital untuk penyakit berjangkit yang kekal.”      

Beliau berkata selain Hospital Sungai Buloh sebagai pusat perubatan yang dikhususkan merawat kes COVID-19, Hospital Shah Alam dan Hospital Rehabilitasi Cheras turut memainkan peranan yang sama. 

Turut hadir, pada sesi taklimat itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon dan pakar kesihatan awam  Dr Wan Noraini Wan Mohamed Nor.

Dalam taklimat itu, Dr Chong berkata virus COVID-19 disebarkan menerusi titisan kecil bukannya menerusi udara dan ia boleh merebak dalam persekitaran berhawa dingin yang tertutup berbanding di bawah sinar matahari kerana suhu tinggi boleh membunuh virus berkenaan. 

“Apabila titisan kecil jatuh ke atas lantai ia mati apabila kering tetapi jika anda batuk pada tangan dan tangan menjadi pembawa jangkitan.  Justeru, jangan menggosok muka atau mata dengan tangan dan selalu membasuh tangan.

Sejak virus itu merebak menerusi titisan kecil dan bukannya menerusi udara, menggunakan penutup mulut dan hidung (sebagai perlindungan) sudah mencukupi. Jika virus itu tersebar menerusi udara seseorang itu memerlukan topeng N95,” katanya lagi.

Selain itu antara isu yang dibincangkan ialah mengkaji penggunaan polis bantuan untuk melakukan pengesanan kontak mereka yang diuji positif jika kakitangan perubatan awam sedia ada tidak dapat menguruskan peningkatan angka kontak rapat yang perlu dijejaki.

Orang ramai juga digesa menggunakan klinik maya  atau kemudahan laman sesawang kementerian untuk mendapatkan nasihat atau maklumat mengenai COVID-19 sebagai langkah mengurangkan kesesakan hospital selain daripada perkhidmatan mendapatkan sampel di rumah untuk ujian COVID-19. 

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

UMSC's Interdisciplinary Approach To Easing Pain

By Ainul Huda Mohamed Saaid

KUALA LUMPUR (Bernama) -- For people suffering from chronic pain, even simple daily activities like taking a shower and getting dressed can be a torture. Anger, anxiety and even depression may ensue as a result of chronic pain, in view of the limitations they face and the debilitating nature of their condition.

In an exclusive interview with Bernama recently, experts from UM Specialist Centre (UMSC) shed light on pain management, a significant branch in medicine that utilises an interdisciplinary approach in easing the suffering and improving the quality of life of those living with pain.

Neurosurgery expert Dr Nor Faizal Ahmad Bahuri describes pain as an unpleasant sensation that can be felt whenever there is a tissue injury.

read more ››

IN FOCUS

UMSC: Pain Management


In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 1

In Focus : UMSC - Fatty Liver, The Silent Epidemic Part 2