COVID-19: 12 kes baharu dicatatkan hari ini



PUTRAJAYA, 10 Mac -- Sebanyak 12 kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia setakat ini ialah 129 kes.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) kes-kes positif itu adalah dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) jangkitan COVID-19, kontak rapat dan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Manakala seorang, iaitu kes ke-87 telah pulih dan didiscaj daripada hospital.

“Ini menjadikan setakat ini seramai 25 orang telah pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad,” menurut kenyataan itu.

 Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan dan pada lawatan itu Perdana Menteri diberi taklimat mengenai status semasa COVID-19.

Turut hadir dalam lawatan itu Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

Selepas lawatan itu, Muhyiddin turut mempengerusikan mesyuarat koordinasi bagi membincangkan situasi semasa COVID-19 di Malaysia, menurut kenyataan itu.

Menurut PMO, kerajaan Malaysia sentiasa dalam keadaan berjaga dan mempunyai kaedah-kaedah untuk menangani situasi itu sekiranya kejadian COVID-19 di negara ini menjadi lebih serius.

“Kerajaan Malaysia akan terus mempertingkatkan kapasiti sedia ada di pelbagai kementerian dan agensi sebagai persediaan menghadapi kemungkinan situasi kejadian COVID-19 yang lebih meruncing.

“Ini termasuk meningkatkan aspek sumber manusia, kemudahan makmal, klinik kesihatan dan hospital bagi merawat kes COVID-19,” katanya.

Kenyataan itu menyebut bahawa kerajaan Malaysia juga dalam perancangan untuk menjadikan Hospital Sungai Buloh sebagai hospital khusus untuk merawat kes COVID-19.

“Terkini, Kementerian Kesihatan juga menjalin kerjasama dengan pihak swasta bagi menangani situasi COVID-19,” menurut kenyataan itu.

PMO dalam kenyataan itu juga menasihatkan rakyat Malaysia yang bergejala agar tidak mengunjungi tempat-tempat yang padat dengan orang ramai dan menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain.

PMO turut mengucapkan tahniah kepada semua jentera dan anggota kerja Perkhidmatan Awam dan swasta yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menangani COVID-19.

"Rakyat Malaysia diseru untuk tidak menyebarkan berita palsu atau berita yang tidak sahih mengenai penularan COVID-19. Ini adalah kerana ia boleh menyebabkan kebimbangan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat,” kata PMO dalam kenyataan itu.   

-- BERNAMA

 

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2