Muhyiddin kongsi pengalaman Malaysia perangi COVID-19 dengan ASEAN

PUTRAJAYA, 14 April -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai COVID-19 menerusi persidangan video di Perdana Putra hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 14 April -- Malaysia hari ini berkongsi pengalaman dan pengetahuannya dalam menghadapi pandemik COVID-19 dengan negara anggota ASEAN semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN mengenai COVID-19 yang diadakan menerusi persidangan video.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia telah mengadakan beberapa strategi utama untuk menangani masalah kesihatan, ekonomi dan sosial yang kritikal disebabkan oleh wabak itu, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semasa PKP, perkhidmatan kerajaan dan sektor swasta yang tidak perlu diperintahkan ditutup, kawalan terhadap pergerakan dan perhimpunan massa, serta nasihat diberikan kepada rakyat Malaysia supaya tinggal di rumah.

"Malaysia juga telah mengarahkan semua rakyatnya yang pulang dari luar negara supaya menjalani kuarantin wajib selama dua minggu.

"Sebagai langkah yang lebih tegas, kami juga menguatkuasakan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang mempunyai kadar jangkitan yang tinggi. Kawasan PKPD ini ditutup sepenuhnya tanpa dibenarkan keluar masuk bagi penduduk serta pelawat; dan setiap individu di kawasan itu akan diperiksa dan dirawat jika dijangkiti, ” kata beliau.

Sidang kemuncak khas itu dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc dan turut disertai pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain.


PUTRAJAYA, 14 April -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai COVID-19 menerusi persidangan video di Perdana Putra hari ini.?--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Muhyiddin berkata Malaysia secara agresif meningkatkan kapasitinya untuk menjalankan lebih banyak ujian per juta kapita, pengesanan kontak serta rawatan kepada semua pesakit tanpa mengira tahap simptom dan penyakit mereka.

"Saya faham, lebih banyak ujian akan menunjukkan jumlah jangkitan yang dilaporkan lebih tinggi tetapi ini perlu untuk memastikan kita mengesan dan merawat pesakit yang dijangkiti dengan cepat," katanya sambil menambah bahawa kadar kematian di Malaysia setakat Isnin pada 1.6 peratus berbanding dengan purata global daripada 6.1 peratus.

Muhyiddin berkata kerajaan telah memberikan sokongan yang sangat diperlukan kepada Kementerian Kesihatan dengan meluluskan RM1.5 bilion untuk meningkatkan kapasiti saringan dan rawatan bagi mereka yang dijangkiti, dan menambah bahawa rangsangan kewangan kepada kementerian akan membantu mendapatkan lebih banyak alat ujian, ventilator dan peralatan pelindung diri (PPE).

“Bagi pihak Malaysia, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kita di ASEAN yang telah menyumbang alat ujian dan peralatan perubatan pada masa kami memerlukan. Pada masa-masa seperti ini, kita benar-benar menghargai betapa bernilainya semua bantuan dan sokongan yang diberikan oleh rakan-rakan ASEAN kita dan inilah yang menjadikan kita berbeza daripada kumpulan serantau lain di seluruh dunia, " kata beliau.

Sementara itu, perdana menteri berkata Malaysia juga telah mengumumkan tiga pakej rangsangan bernilai RM260 bilion (US$64.6 bilion) bagi mengurangkan kesan COVID-19 terhadap rakyat dan perniagaan.

Beliau berkata pakej rangsangan itu mempunyai nilai muka 18.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang termasuk penangguhan pembayaran balik pinjaman, subsidi gaji, pemberian tunai dan internet percuma kepada rakyat Malaysia untuk beberapa bulan akan datang.

“Namun, strategi ini hanya akan membantu Malaysia dalam menempuh tempoh memerangi COVID-19 ini. Perlu ada rancangan pemulihan pasca pandemik serantau dan Malaysia tidak dapat melakukannya sendiri, ” tambahnya.

Muhyiddin berkata dalam setiap krisis terdapat peluang dan Malaysia menjangka ASEAN sebagai blok serantau perlu bekerjasama selepas COVID-19 untuk memastikan tiada siapa yang tercicir.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, perdana menteri berkata pendekatan koheren, meliputi pelbagai sektor dan pihak berkepentingan serta seluruh ASEAN adalah penting dalam memastikan tindak balas yang tepat pada masanya dan berkesan terhadap pandemik.

“Ini adalah perang melawan musuh yang tidak dapat dilihat dan akibatnya akan menghasilkan landskap global yang baharu. Dunia tidak akan seperti yang dahulu lagi dan kita di ASEAN mesti menyesuaikan diri dengan yang baharu - kebiasaan yang baharu.

"Malaysia amat prihatin dengan peningkatan jumlah kes COVID-19 di rantau ini kerana ASEAN telah menyaksikan peningkatan ketara jangkitan sejak beberapa minggu lepas. Di peringkat global, keadaan itu sama teruknya, jika tidak lebih buruk lagi.

“Saya yakin bahawa dengan perpaduan, visi dan kepimpinan, kita dapat bersatu dan melalui masa-masa suram ini bersama-sama. Sebagai sebuah rantau, kita telah menghadapi pelbagai krisis sebelum ini dan saya percaya, kita sekali lagi akan menanganinya dan muncul lebih kuat dari sebelumnya. Insya-Allah," katanya.

-- BERNAMA

 

 




Untuk maklumat lanjut klik sini

HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018