Sungguhpun Ramadan dalam suasana PKP namun buah kurma tetap menjadi kelaziman bagi umat Islam untuk berbuka puasa
KUALA LUMPUR, 23 April -- Hari ini masuk hari ke-37 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan esok dijangka buat pertama kali umat Islam di negara ini akan mula berpuasa dalam satu suasana normal baharu berikutan penularan pandemik COVID-19.
Jika tahun-tahun sebelum ini, keadaan di lebuh raya ketika ini sudah pasti penuh sesak dengan kenderaan warga kota yang ingin pulang ke kampung bagi menyambut bulan Ramadan, namun kali ini keadaannya jauh berbeza, lebuh raya kelihatan lengang.
Ini kerana tiada sebarang pergerakan rentas negeri dibenarkan dan orang ramai tidak boleh pulang ke kampung untuk menyambut puasa sepanjang tempoh PKP ini bagi menyekat penularan virus berbahaya itu.
Bagaimanapun, mereka yang sebelum ini pulang ke kampung halaman sebelum tempoh PKP dikuatkuasakan dan kini ingin kembali ke rumah masing-masing diberi kelonggaran berbuat demikian.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, memaklumkan permohonan boleh dilakukan secara dalam talian mulai Sabtu ini, menggunakan aplikasi 'Gerak Malaysia' atau memohon di balai polis berhampiran.
Namun harus diingat ia bukan lesen untuk orang ramai melakukan pergerakan secara besar-besaran kerana jika tidak, usaha kerajaan melaksanakan PKP dan perjuangan barisan hadapan untuk memutuskan rantaian penyakit itu sebelum ini akan menjadi sia-sia.
Bulan Ramadan kali ini juga pasti dirindui untuk menunaikan solat tarawih berjemaah di masjid selain kemeriahan bazar Ramadan yang menjual pelbagai juadah seperti martabak, popia, ayam golek dan air katira.
Namun usah risau kerana kerajaan memberi jaminan barangan basah dan keperluan asas lain mencukupi untuk menampung permintaan rakyat seluruh negara secara berterusan termasuk sepanjang bulan Ramadan.
Jadi inilah masa yang sesuai bukan sahaja kaum ibu atau bapa mahupun yang bujang untuk mengasah bakat masing-masing dalam bidang masakan, malah waktu terbaik mencuba perkakas dapur seperti ‘air fryer’ dan ‘thermomix’ yang menjadi ‘trend’ ketika ini untuk menyediakan juadah berbuka.
Soal resipi? Jangan risau. Tanya saja ‘Pakcik Google’, pasti pelbagai resepi dapat diberikan mengikut cita rasa masing-masing, baik masakan barat, Cina atau India, mahupun juadah tradisional ala baharu.
Untuk mereka yang lebih selesa membeli makanan di luar, juga tidak perlu bimbang, walaupun bazar Ramadan tidak dibenarkan, perkhidmatan e-bazar tetap ada dengan penghantaran melalui perkhidmatan e-panggilan untuk menghantar juadah yang dikehendaki.
Bagi mereka yang resah kerana tidak dapat bertarawih di masjid, waktu ini harus digunakan sebaiknya untuk beribadat dan solat tarawih berjemaah bersama keluarga di rumah, secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan yang selama ini mungkin agak renggang dek hambatan tugas harian masing-masing.
Dalam lapan hari pelaksanaan PKP fasa tiga, telah tujuh kali kes positif COVID-19 direkodkan berada pada paras dua angka, sudah cukup membuktikan usaha yang dilakukan kerajaan selama ini bukan satu langkah kosong.
Jadi teruslah bertahan, duduk diam-diam di rumah, kerana kita sudah hampir untuk mencapai kejayaan.
Anggaplah bulan Ramadan kali ini bukan sahaja perjuangan kita untuk menentang nafsu, lapar dan dahaga, tetapi juga perjuangan menentang virus COVID-19 yang telah meragut banyak nyawa di seluruh dunia.
Insya-Allah #Kita mesti menang.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN