Cegah Penyakit Buah Pinggang Sebelum Parah

(Gambar hiasan). -- Gambar ihsan livescience.com

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) semakin meningkat di Malaysia dan isu kesihatan masyarakat ini sememangnya menjadi kebimbangan kerajaan.

Hasil Kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan jumlah kes CKD dalam kalangan penduduk negara ini meningkat dari 9.1 peratus pada 2011 kepada 15.5 peratus pada 2018.

pic-2

Menurut Pakar Unit Rawatan Utama Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Prof Dr Khoo Ee Ming, kes penyakit buah pinggang tahap akhir (ESKD) juga meningkat dengan banyaknya sejak lebih 25 tahun lalu.

Beliau berkata, pertambahan jumlah pesakit CKD adalah membimbangkan dan punca utamanya di negara ini ialah diabetes dan tekanan darah tinggi.


Prof Dr Khoo Ee Ming, Pakar Unit Rawatan Utama Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC).

"Mempunyai satu atau kedua-dua penyakit, di samping faktor lain, boleh merosakkan pembuluh darah dan menyebabkan penyakit buah pinggang, “ beliau memberitahu Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Buah pinggang mempunyai banyak fungsi dan yang penting sekali menyingkirkan sisa buangan dan air dari tubuh serta mengawal kandungan galian serta tekanan darah.

Salah satu fungsinya yang jarang disebut ialah menghasilkan hormon erythropoietin untuk merangsang penghasilan sel darah merah.

pic-3

Menurut perunding nefrologi UMSC, Prof Madya Dr Lim Soo Kun, lazimnya ujian darah pesakit menunjukkan fungsi buah pinggang yang tidak normal.

“Dalam keadaan ini, doktor yang merawat pesakit bertanggungjawab untuk membezakan sama ada penyakit itu peringkat kronik atau akut. Ada perbezaan antara kedua peringkat itu, “ katanya. 

Sekiranya CKD, ini bermakna keadaan buah pinggang merosot buat beberapa tahun. Dalam kes Kecederaan Buah Pinggang Akut (AKI) yang sebelum ini dikenali sebagai Kegagalan Buah Pinggang Akut, keadaan buah pinggang hanya baharu merosot.

“Oleh yang demikian, amat penting untuk membezakan antara penyakit buah pinggang kronik dan akut kerana AKI berpotensi untuk dirawat sekiranya kita dapat mengenal pasti punca dan kemudiannya memberi rawatan yang sepatutnya, “ jelas Dr Lim.

 

PERBEZAAN ANTARA CKD DAN AKI

pic-6

CKD bererti buah pinggang sudah rosak dan tidak mampu menapis darah seperti sepatutnya dan keadaan ini tidak dapat dipulihkan.

Faktor risiko utama menyumbang kepada CKD termasuk diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung yang secara perlahan-lahan akan merosakkan buah pinggang dan menjejaskan fungsinya lama kelamaan.

Mereka yang menghidapi CKD mungkin tidak sedar akan penyakit ini kerana tidak ada gejala pada peringkat awal. Bagaimanapun, sekiranya dapat dikesan awal dan diuruskan dengan baik, kadar kemerosotan buah pinggang boleh diperlahankan dan pesakit mungkin tidak mencapai tahap akhir kegagalan buah pinggang semasa hayat mereka.

Beberapa gejala biasa kegagalan buah pinggang ialah bengkak di kaki dan buku lali, kurang air kencing, sukar bernafas, rasa mual dan muntah.


Prof Madya Dr Lim Soo Kun, Perunding Nefrologi UMSC.

Menurut Dr Lim, CKD tidak boleh disembuhkan tetapi bergantung kepada tahap penyakit dikesan, ia boleh distabilkan.

“Satu senario untuk dikongsi, untuk orang normal, fungsi buah pinggang mungkin merosot antara 0.5 peratus dan 1.0 peratus setahun selepas usia 40 tahun, tetapi untuk pesakit diabetes dengan kawalan gula yang lemah, ia boleh merosot sepantas 1.0 peratus sebulan atau dalam lain perkataan, 12 peratus setahun.

“Sekiranya kita berjaya mengawal semua faktor berisiko, kita mungkin mampu memperlahankan kemerosotan buah pinggang pada kadar yang lebih perlahan. Ini amat bermakna untuk pesakit, “ jelasnya.

Sementara itu, AKI biasanya berpunca daripada keadaan yang menyebabkan malfungsi buah pinggang, seperti dehidrasi, kehilangan darah akibat gangguan pendarahan atau pembedahan besar, jangkitan atau penggunaan pengubatan tertentu.

"Dalam kebanyakan kes, AKI boleh dirawat sekiranya dikesan awal. Berita baiknya ialah sekiranya dapat mengesan punca, kami optimis ada peluang untuk menyembuhkan penyakit.

“Sementara kebanyakan gangguan buah pinggang bukan diwarisi, sesetengah keadaan buah pinggang diketahui komponen genetik yang diwarisi, “ tambah Dr Lim.

 

LIMA PERINGKAT

Menurut Dr Khoo, CKD dibahagikan kepada lima tahap kerosakan buah pinggang untuk mengukur keterukannya. Lima tahap itu bermula daripada normal (Tahap Satu) kepada kegagalan buah pinggang (Tahap Lima).

“Bila CKD tahap ringan, pesakit mungkin tidak mempunyai gejala sama sekali. Tetapi jika penyakit mula teruk, baharulah gejala seperti bengkak di buku lali dan kaki boleh dilihat. Sesetengahnya mungkin juga mengalami bengkak tangan atau muka, “ katanya.

Pesakit memerlukan dialisis apabila mencapi kegagalan buah pinggang tahap akhir. Lazimnya pada masa ini mereka akan kehilangan sekitar 85 peratus hingga 90 peratus fungsi buah pinggang dan mempunyai kadar laju filtrasi glomerulus (GFR) di bawah 10.

GFR adalah ujian untuk memeriksa sejauh mana eloknya buah pinggang berfungsi. Secara khususnya ia menganggarkan berapa banyak darah mengalir menerusi glomeruli setiap minit. Gromeruli adalah penapis kecil di dalam buah pinggang yang menapis sisa dari darah.

Dalam sesetengah kes AKI, dialisis mungkin diperlukan untuk jangka masa pendek sehingga buah pinggang pulih. Bagi kes kronik atau kegagalan buah pinggang, pesakit mungkin memerlukan dialisis sepanjang hayat atau mereka mungkin memilih untuk menjalani pemindahan buah pinggang.

Daftar Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang Malaysia melaporkan, seramai 7,967 orang pesakit baharu menjalani dialisis pada 2015 dan menjelang penghujung 2017 terdapat 42,109 orang pesakit memerlukan dialisis.  

pic-4


Pang Meei Shya, Ahli Farmasi UMSC.

Sementara itu, ahli farmasi UMSC, Pang Meei Shya berkata, ada dalam kalangan pesakit yang tidak mengambil ubat seperti yang dipreskripsi kerana bimbang pengubatan diabetes boleh merosakkan buah pinggang mereka.

Sebaliknya, kata beliau, tindakan tidak mengambil ubat itu akan menyebabkan tekanan darah yang tidak dapat dikawal, begitu juga gula dalam darah yang kemudiannya menjadikan penyakit buah pinggang bertambah teruk..

Antara peranan ahli farmasi, kata Pang adalah untuk menapis, menyedia dan memberikan pengubatan yang dipreskripsi doktor di samping mengesan ketidakserasian dan interaksi terapeutik.

“Kami juga memberi kaunseling kepada pesakit untuk membetulkan sebarang tanggapan salah, jika ada.  Doktor bukan buat preskripsi kerana perlu melakukannya, tetapi lebih kepada untuk kebaikan pesakit , “ tambahnya.

 

KESAN SAMPINGAN PENGUBATAN

Pang ketika menjelaskan bahawa doktor dan ahli farmasi memantau kesan sampingan pengubatan berkata, ada kelas pengubatan tertentu yang boleh mendatangkan kesan toksik ke atas buah pinggang.

“Doktor dan ahli farmasi saling melengkapi proses kerja sekiranya ada sebarang isu yang dibangkitkan pesakit di kaunter. Ahli farmasi kemudiannya akan mendapatkan penjelasan daripada doktor bagi memastikan pengubatan yang betul, “ katanya.

Sementara itu, menurut Dr Lim, pengubatan diabetes sebenarnya bukan menyebabkan kegagalan buah pinggang tetapi dosnya perlu diselaraskan apabila fungsi buah pinggang pesakit mencapai tahap tidak normal.

"Apabila fungsi buah pinggang jatuh kepada tahap tertentu, kami mungkin perlu menghentikan pengubatan tertentu kerana ia mungkin tidak sesuai lagi dan ia juga mungkin menyebabkan kesan sampingan. Ini bukan bermkna ubat tersebut menyebabkan kegagalan buah pinggang, “ tambahnya.


Salah satu klip rancangan temu bual yang diadakan di Bernama.

Menurut Dr Lim, adalah penting untuk orang awam faham bahawa apabila doktor membuat preskripsi ubat tertentu, ianya bukan bermakna ubat itu bukan untuk diambil sepanjang hayat tanpa sebarang pelarasan.  Jenis pengubatan dan dos perlu dimodifikasikan bergantung kepada keadaan pesakit .

Beliau turut menekankan keperluan mengamalkan pendekatan pasukan pelbagai bidang dalam pengurusan CKD bagi memastikan semua aspek diambil kira.

Pasukan berkenaan perlu menyertakan sama doktor rawatan utama, ahli farmasi, pakar diet buah pinggang, pendidik jururawat CKD, pekerja sosial perubatan, ahli bedah vaskular dan ahli nefrologi.

 

KESEDARAN, INISIATIF UNTUK CEGAH PENYAKIT BUAH PINGGANG

Memandangkan tidak ada pil ajaib untuk menyembuhkan sebarang penyakit, program kesedaran diperlukan untuk mendidik pesakit.

Malangnya, dalam konteks Malaysia, banyak penekanan serta kepercayaan dalam bahan herba, ubat tradisional serta suplemen.

"Kebanyakan orang awam yang mungkin tidak banyak pengetahuan yang betul mengenai penyakit cenderung kepada terapi alternatif dan mengenepikan pengubatan barat yang dipreskripsi doktor. Ramai kami lihat ramai pesakit di kaunter kami bertanyakan ubat-ubatan alternatif.

“Dalam purata 100 ubat-ubatan alternatif, mungkin hanya kurang daripada satu peratus yang melalui ujian klinikal, “ kata Pang. 

Menurut beliau sesetengah pesakit buah pinggang mungkin mendakwa rawatan herba terbukti berkesan tetapi “ramuan bahan aktif dan ramuan lain (dalam pengubatan herba) tidak menentu atau tidak diketahui dan mungkin faktor penyumbang kepada kerosakan buah pinggang.”

Pang menambah, pengamal perubatan memainkan peranan penting memberi penjelasan serta mewujudkan kesedaran mengenai kemungkinan ada penambahan suplemen tidak berdaftar dengan bahan racun terkawal yang sememangnya berleluasa di Malaysia.

Sebelum mengambil ubat herba, pesakit mesti memastikan bahawa ianya berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata lagi, semua bahan ubatan di Malaysia perlu didaftar dengan KKM sebelum dipasarkan.

“Bungkusan ubat yang berdaftar mesti mempunyai nombor pendaftaran serta label hologram Meditag. Nombor pendaftaran yang sah bermula dengan ‘MAL”, diikuti dengan nombor lapan angka dan berakhir dengan abjad untuk menunjukkan kategori pendaftaran sebagai contoh N untuk suplemen kesihatan dan T untuk bahan asli atau ubat tradisional, “ jelasnya.

Beliau berkata pesakit boleh memeriksa taraf pendaftaran produk melalui Portal Quest 3 di http:/npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di nombor telefon 03-78835400.  

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA  

 

 


 




Untuk maklumat lanjut klik sini

HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2