Tiga produk kosmetik dikesan mengandungi merkuri - KP Kesihatan

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (Gambar fail)

KUALA LUMPUR, 9 Jun -- Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, yang boleh memudaratkan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataannya hari ini memaklumkan, tiga produk berkenaan ialah Glow Skin White-Brightening Cream, Glow Skin White-Sun Care dan Rzac Beauty Creme 2.

Menurut Dr Noor Hisham, notifikasi produk kosmetik yang terlibat telah dibatalkan dan penjualan produk kosmetik berkenaan tidak lagi dibenarkan di negara ini.

"Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.

"Bahan berkenaan juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan serta menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," katanya.

Sehubungan itu, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diminta menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut serta-merta.

Tegas Dr Noor Hisham, penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai yang sedang menggunakan produk kosmetik berkenaan supaya menghentikan segera penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

-- BERNAMA

 

 




Untuk maklumat lanjut klik sini

HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2