Pencapaian KKM Jadi Perhatian Masyarakat Antarabangsa



Oleh Rohani Mohd Ibrahim

PUTRAJAYA (Bernama) -- Kejayaan Kementerian Kesihatan  Malaysia (KKM) mengawal penularan wabak COVID-19 sehingga peratus pesakit yang pulih kini menghampiri 98 peratus dan menjadi lima negara terbaik di dunia dalam mengawal wabak berkenaan, menjadi  perhatian banyak pihak.

Pernah mencatatkan kes aktif COVID-19 dengan kebolehjangkitan sebanyak empat angka pada satu masa, kini jumlahnya berada pada tahap sekitar 100.

Pencapaian memberangsangkan KKM membolehkan semua sekolah dibuka menjelang penghujung Julai ini dan sebahagian penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk kembali ke kampus pada masa yang sama.

 

PENCAPAIAN KKM


Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Antara pencapaian terbaru KKM ialah penamatan sebanyak 60 kluster COVID-19 di Malaysia sehingga 14 Julai termasuk kluster terbesar negara iaitu Kluster Seri Petaling.

pic-5

Satu lagi pencapaian KKM ialah penutupan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah  Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang  (MAEPS) secara rasmi pada 15 Julai lepas apabila pesakit terakhir didiscaj pada Jumaat, 10 Julai.

Pusat itu diilhamkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai langkah proaktif kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 telah berjaya merawat 1,362 pesakit dengan 86 peratus bukan warganegara dan 14 peratus merupakan warganegara.

 

TERIMA KASIH KKM, ‘GREEN BUBBLE’

pic-2

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan bermula 10 Julai dan dijangka berakhir 31 Ogos, melibatkan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat menjadikan pejabat Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba tumpuan perwakilan asing.

Dr Adham ketika ditemui Bernama di pejabatnya baru-baru ini berkata setakat ini beliau telah menerima kunjungan hormat dari lima duta sementara Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur sudah menghubungi beliau untuk mengatur kunjungan hormat.

Kelima-lima duta yang sudah bertemu dengan Dr Adham ialah  Duta Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi;  Duta Colombia ke Malaysia, Mauricio Gonzalez Lopez; Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Wali; Duta Sweden ke Malaysia, Dag Juhlin-Dannfelt dan  Duta Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov.

“Kebanyakan duta yang ditemui mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada KKM kerana mereka berasa selamat untuk meneruskan tugas di negara ini dengan langkah pencegahan COVID-19  yang diambil pihak berkuasa Malaysia..

"Mereka berasa Malaysia seolah-olah menyelamatkan mereka dari ancaman COVID-19, " tambah beliau. 

Sehingga kini kes COVID-19 di seluruh dunia menghampiri 14 juta dengan kematian mencecah lebih setengah juta kes.

Ditanya mengenai perkara yang dibincangkan ketika perwakilan asing melakukan kunjungan hormat ke atasnya, Dr Adham berkata, ada duta yang  mencadangkan pembukaan sempadan di antara  Malaysia dan negara mereka.

“Bagaimanapun buat masa ini belum sampai masanya untuk pelaksanaan green bubble. Ia mungkin akan menjadi perkara akhir yang akan dilakukan Malaysia. Tumpuan kini ialah untuk  memantau pembukaan sektor pendidikan termasuk kesemua sekolah sepanjang bulan ini, " jelasnya.


Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

 

PUJIAN MASYARAKAT ANTARABANGSA

pic-3

Selain Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut menerima kunjungan hormat perwakilan asing.

Dalam catatan di akaun laman sosial Facebook Noor Hisham Abdullah, beliau memberitahu mengenai kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski.

Antara perkara yang dibincangkan pada kunjungan itu ialah pengalaman Malaysia dan Australia dalam menangani COVID-19, modelling work Malaysia bagi COVID-19 dan green bubble di antara kedua-dua negara.

Dalam akaun facebook yang sama, Dr Noor Hisham turut berkongsi mengenai kunjungan hormat Duta Korea Selatan ke Malaysia Lee Chi Beom dan delegasinya.

Selain berbincang mengenai respon kedua-dua negara terhadap wabak COVID-19, Korea Selatan turut mencadangkan kebenaran lawatan di antara rakyat Malaysia dan Korea Selatan. 

Kejayaan Malaysia dalam berdepan dengan cabaran COVID-19 turut mendapat pujian komuniti kesihatan di peringkat global.

Berasal dari Amerika Syarikat dan kini berpangkalan di  Australia, Prof Madya Julie Miller, pakar bedah dalam pembedahan endokrin, memuji Dr Noor Hisham kerana kejayaan mengawal penularan COVID-19.

Dalam paparan Facebooknya, Miller yang mempunyai bidang kemahiran sama dengan Dr Noor Hisham memuji Dr Noor Hisham yang dianggapnya sebagai sahabat dan rakan sejawat.

"Sahabat dan rakan sejawat saya, ahli bedah Hisham Abdullah, kini Ketua Pengarah Kesihatan di Malaysia dan beliau terlibat dalam pengawalan pandemik. Beliau dengan pantas membuat keputusan yang tegas, malahan sebelum Malaysia berdepan dengan kes pertama.

"Kawalan sempadan yang ketat, membuat ujian, mengesan dan mengasingkan, sidang akhbar harian dan membuat keputusan berdasarkan bukti dan fakta. Pasukan pegawainya mendengar serta melaksanakan nasihat beliau, " kata Miller.

Beliau menambah, masyarakat di Malaysia mematuhi arahan penjarakan sosial, mencuci tangan dan memakai pelitup muka.

"Sebagai hasilnya, Malaysia, sebuah negara yang ramai penduduk berbilang kaum serta budaya mencapai hasil yang bagus dan Hisham dinobatkan sebagai wira negara. Sains bukan politik, " jelasnya.


Petugas Kementerian Kesihatan yang lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) membantu seorang warga emas untuk melakukan saringan COVID-19. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Miller turut membandingkan dengan apa yang dihadapi oleh Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional, Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci yang menerima ancaman bunuh.

"Lihatlah apa yang berlaku di Smerika Syarikat. Dalam saya berbangga dengan pencapaian sahabat saya serta rakyat di Malaysia, saya berasa sedih dengan apa yang berlaku di negara saya, " tambahnya.

 

PENGHARGAAN WARGA ASING YANG TERKANDAS

pic-6

Turut memberikan pujian kepada Malaysia ialah usahawan dalam talian dan YouTuber dari United Kingdom (UK), Darren Cronian melalui salurannya (Remote Darren) yang memberikan komen positif mengenai inisiatif Malaysia dan kerajaan, dalam menangani krisis  itu.

Menerusi video lapan minit yang dimuat naik, Cronian berkongsi pengalaman beliau ketika terkandas di Malaysia hampir 11 minggu, bersendirian dalam pangsapurinya, berdepan pandemik itu di negara asing. Video tersebut turut dikongsi Dr Noor Hisham di akaun Facebook miliknya.

Menurut lelaki Inggeris berusia 46 tahun itu, beliau kagum bagaimana pihak berkuasa tempatan mengendalikan situasi itu dengan melaksanakan PKP di negeri berbeza dan mengurangkan pergerakan rakyat.

"Apabila saya melihat Malaysia melaksanakan pelbagai tindakan, sedangkan United Kingdom perniagaannya masih dibuka, saya buat keputusan, saya kuatkan semangat (komited) untuk tinggal di sini tanpa mengira berapa lama saya perlu berada di negara ini.

"Saya amat kagum cara Malaysia mengendalikan COVID-19. Kerajaan negara ini terus melaksanakan tindakan, menguatkuasakan PKP, memastikan orang ramai tidak membuat pergerakan yang tidak diperlukan dan hanya boleh keluar untuk membeli makanan dan barangan keperluan," katanya.


Kemudahan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau tidak memberi tumpuan dari sudut politik atau agama tetapi berfikiran positif dan berpandangan apa yang dilakukan oleh Malaysia, adalah model yang harus diikuti seluruh dunia.

Cronian mengakhiri videonya dengan mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana mengambil berat mengenai dirinya dan menyediakan beliau rumah yang selamat. 

Beliau sangat menghargai keprihatinan rakyat Malaysia yang sentiasa berhubung dengannya sepanjang 11 minggu berada di negara ini sepanjang pelaksanaan PKP.

 

PENDEKATAN MALAYSIA DIIKTIRAF NEGARA LUAR

Siri kunjungan hormat yang diterima pegawai kanan KKM dan penghargaan yang diterima di peringkat antarabangsa membuktikan pendekatan Malaysia dalam menangani COVID-19 menjadi perhatian. 

Namun orang ramai tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian ini.

pic-4

Semua pihak perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi terus mengekalkan kejayaan negara dalam mengawal penularan COVID-19.

Dr Noor Hisham dalam sidang media perkembangan COVID-19 pada 14 Julai memberitahu KKM akan terus memantau perkembangan jangkitan COVID-19 di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

KKM juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Diharapkan momentum semua pihak dalam mencegah COVID-19 akan kekal sehingga membolehkan Malaysia diisytiharkan bebas daripada pandemik COVID-19 satu hari nanti.  

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 BERNAMA

 

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.


UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 1