Vivantis Technologies Hasilkan Kit Ujian COVID-19, Penyelesaian Krisis Semasa

Vivantis Technologies menawarkan Kit ViPrimePLUS 2019-nCoV Multiplex RT-qPCR Kit.

Oleh Nadia Jumri

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Percaya atau tidak, sudah kira-kira setahun dunia bertungkus-lumus berusaha memerangi COVID-19 yang telah menjejaskan lebih 200 negara dan wilayah.

Di Malaysia, gelombang ketiga jangkitan virus itu telah meningkatkan jumlah kes kepada lebih 70,000 orang. Manakala di seluruh dunia pula virus itu menjangkiti kira-kira 65 juta orang dan menyebabkan 1.5 juta kematian.

Memandangkan virus ini sangat berbahaya, usaha menghasilkan kit ujian COVID-19 menjadi  keutamaan kepada syarikat bioteknologi tertentu yang bertanggungjawab dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia.

Antara syarikat itu ialah Vivantis Technologies Sdn Bhd (Vivantis Technologies) yang menjalinkan kerjasama dengan Bioeconomy Corporation, sedang mengembangkan kapasiti pengeluarannya untuk muncul sebagai pengeluar terkemuka kit ujian COVID-19 di Asia Tenggara.

Diperbadankan pada 2002, Vivantis Technologies adalah syarikat bioteknologi berasaskan penyelidikan dalam negeri yang telah dianugerahkan status BioNexus oleh Bioeconomy Corporation bagi menyediakan penyelesaian bersepadu untuk industri sains hayat.


Kit Pengekstrakan Asid Nukleat Viral Vivantis GF-1 (Kit Persediaan Mini) membolehkan penyucian DNA virus atau asid ribonukleat (RNA) yang cepat dan cekap.

Vivantis Technologies mengkhusus dalam pengeluaran enzim sekatan, alat pengekstrakan asid deoksiribonukleik (DNA), reagen penguat DNA dan produk lain yang berkaitan untuk penyelidikan biologi molekul.

 

PROTOTAIP KIT UJIAN RT-PCR 

pic-3

Pengasas, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Vivantis Technologies, Law Eng Lim berkata, syarikat berkenaan, yang mempunyai portfolio usaha permulaan, baru-baru ini mengembangkan dua prototaip ujian tindak balas polimerase buatan tempatan (RT-PCR) COVID-19, iaitu Kit Pengekstrakan Asid Nukleat Viral Vivantis GF-1 (Kit Persediaan Mini) dan Vivantis Viprime Plus 2019-nCOV Multiplex RT-qPCR Kit (Master Mix).

Kit Persediaan Mini membolehkan penyucian DNA virus atau asid ribonukleat (RNA) yang cepat dan cekap dari sampel seperti serum, plasma, cecair badan, supernatan kultur sel yang dijangkiti virus dan penyangga media pengangkutan virus yang terdiri daripada swab yang dijangkiti virus.

Master Mix pula adalah penyelesaian siap-pakai dengan semua komponen yang diperlukan (primer, probe dan Master Mix) dalam satu campuran.

“Ini (Master Mix) adalah peranti mudah alih genggam yang inovatif serta pantas, mudah (untuk digunakan) dan murah, kata Law kepada Bernama semasa temubual dalam talian di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, kit ujian Master Mix mempunyai kepekaan dan pengkhususan 99.9 peratus dan telah disahkan oleh makmal dan universiti tempatan dan antarabangsa termasuk Universiti Malaysia Sarawak dan Institut Biologi Molekul Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Kita juga telah melaksanakan pengesahan (untuk kit ujian kami) di makmal Institut of Pasteur di Perancis dan di beberapa negara di mana kami mempunyai pengedar untuk produk kami.

Pengedar yang ingin menjual produk kami perlu mengesahkannya terlebih dahulu oleh negara masing-masing. Setelah ujian dijalankan, mereka akan menghantar hasil pengesahan kepada kami,” katanya.

 

VIVANTIS TECHNOLOGIES - PEKERJA BARISAN DEPAN TIDAK DIDENDANG

pic-4

Law berkata, selepas COVID-19 pertama kali dikesan di Malaysia, Vivantis Technologies, yang beroperasi melalui tiga makmal di Selangor, harus meningkatkan pengeluaran mereka untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dengan usaha pengujiannya.


Law Eng Lim, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Vivantis Technologies.

“Ketika Malaysia melaporkan beberapa kes awal COVID-19 (pada Januari), makmal kami  diperluaskan sehingga menghasilkan kit ujian yang direka berdasarkan protokol yang disarankan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia.

“Kami benar-benar perlu meningkatkan pengeluaran kami… sebenarnya, kami juga adalah sebahagian daripada pasukan barisan depan yang tidak dilihat orang kerana kami juga terlibat dalam memerangi COVID-19. Kami terpaksa bekerja lebih masa dan bertungkus-lumus menghasilkan alat ujian,” katanya.

Syarikat juga bekerjasama erat dengan Institut Biologi Molekul Perubatan yang mengendalikan ujian swab COVID-19 menggunakan kit ujian Vivantis Technologies. 

Bagaimanapun, syarikat menghadapi dua cabaran untuk menghasilkan kit ujian COVID-19 iaitu mendapatkan bahan mentah dan tenaga kerja.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan KKM agar kit ujian kami boleh dibekalkan ke setiap fasiliti penjagaan kesihatan di bawah kementerian itu,” katanya.

 

MEMBEKAL KE NEGARA LAIN 

pic-2

Dengan pengalaman melebihi 15 tahun dalam sektor bioteknologi, Vivantis Technologies telah memanfaatkan pengetahuan dan amalan teknologinya untuk menghasilkan kit ujian COVID-19.

Permintaan sejagat untuk kit ujian COVID-19 cenderung meningkat pada hari-hari berikutnya memandangkan jumlah kes baharu terus meningkat mendadak di seluruh dunia.

Menurut Law, Vivantis Technolgies kini bersiap sedia untuk membekalkan kit ujian berkenaan ke negara di Asia Tenggara serta India.

“Kami adalah sebuah syarikat kecil dan kami mahu menjual kit ujian syarikat ke negara lain seperti Filipina, Indonesia dan negara sedang membangun yang lain. Secara itu, Malaysia dapat memainkan peranan sebagai pembekal kit ujian,” tambah beliau.

Untuk memenuhi permintaan bagi kit ujian itu, syarikat perlu meningkatkan kapasiti pengeluarannya  kepada lima hingga tujuh juta kit ujian setiap bulan, yang menjadikan Vivantis Technologies antara  pengilang terbesar kit ujian COVID-19 di Asia Tenggara.

Law juga mendedahkan bahawa syarikatnya telah mengemukakan permohonan kepada United States Food and Drug Administration (FDA) bagi mendapatkan kelulusan mengedar dan memasarkan kit ujian syarikat di negara itu.

Vivantis Technologies juga menerima sokongan menakjubkan daripada pertubuhan seperti Malaysia Productivity Corporation-Chemical Productivity Nexus (MPC-CPN), sebuah badan kerajaan yang komited untuk memperbaiki produktiviti subsektor bahan kimia dan produk kimia.


Law Eng Lim, pengasas dan ketua pegawai eksekutif Vivantis Technologies secara rutin melawat makmal syarikat untuk berbincang dengan pasukan R&D Vivantis Technologies.

MPC-CPN mengiktiraf usaha yang dilaksanakan oleh Vivantis Technologies yang secara signifikan dapat mempengaruhi perusahaan tempatan yang lain untuk secara sistematik mengatasi halangan yang melarang mereka bergerak ke arah segmen nilai-tambah yang tinggi.

Law berkata, Bioeconomy Corporation juga membimbing Vivantis Technologies bagi mendapatkan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi membenarkan operasi mereka dijalankan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun ini.

 

PERUBAHAN UJIAN COVID-19 PADA MASA HADAPAN 

pic-5

Menurut Law lagi, pembangun ujian COVID-19 di seluruh dunia kini berlumba-lumba untuk menghasilkan teknologi peringkat seterusnya yang memungkinkan ujian segera dan meluas dapat dijalankan.

“Ia satu perniagaan berbilion dolar dan setiap orang berlumba untuk menghasilkan kit ujian COVID-19,” katanya.

Pada masa akan datang, kemungkinan terdapat perubahan dalam bentuk cara penggunaan kit ujian COVID-19, katanya dan menambah bahawa pasukan R&D Vivantis Technologies bertungkus-lumus untuk melakukan penambahbaikan kit ujian itu dalam dua bidang.

“Pasukan R&D kami yang berdedikasi baru-baru ini membangunkan nota aplikasi yang menyarankan penggunaan kit ujian ini untuk mengekstrak asid nukleik dari sampel air liur.

“Kami juga merancang untuk membangunkan satu sistem separa automasi untuk pengambilan  sampel virus. Ini bermaksud pada masa akan datang, ia tidak perlu dilakukan secara manual tetapi dengan mesin. Ini akan mengurangkan risiko jangkitan dan meningkatkan konsisten prestasi ujian,” katanya.


Law dan pasukan R&D Vivantis Technologies membentangkan data pencapaian Kit ViPrimePLUS 2019-nCoV Multiplex RT-qPCR kepada pelanggan berpotensi syarikat.

 

Diterjemah oleh Cik Rashidah Abd Ghani

 BERNAMA

 

 

 

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2