Terapi AntiRetroviral (ART) Boleh Bantu Penghidap HIV Hidup Lebih Produktif

Virus HIV. Shutterstock.com/ Raj Creationzs

Oleh Nadia Jumri

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Apabila bercakap tentang virus kurang daya tahan manusia atau human immunodeficiency virus (singkatan HIV), kita juga sedia maklum bahawa salah satu cara ia boleh menyebabkan jangkitan kepada manusia ialah melalui transmisi seksual.

Bagaimanapun, baru-baru ini, menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), transmisi seksual terutamanya antara lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki (MSM) menyumbang jumlah jangkitan HIV tertinggi di Malaysia.

Angka direkod KKM sebanyak 3,564 jangkitan HIV terbaharu dilaporkan pada tahun 2019, dan 94 peratus daripadanya berpunca daripada transmisi seksual.

Kes HIV/AIDS pertama dilaporkan di Malaysia pada tahun 1986. Sejak itu, KKM melaporkan jumlah kumulatif jangkitan HIV di negara ini sebanyak 122,786, dan 21,684 orang maut kerana AIDS.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sejak permulaan epidemik itu, seramai 76 juta orang di seluruh dunia dijangkiti virus berkenaan dan kira-kira 33 juta orang meninggal dunia kerana HIV.


Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC).

WHO melaporkan, sehingga penghujung tahun 2019, di peringkat global, seramai 38.0 juta orang hidup dengan HIV , Dianggarkan 0.7 peratus orang dewasa berusia 15 hingga 49 tahun di seluruh dunia hidup dengan HIV.

pic-4

Profesor Madya Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa, Perunding Bersekutu Penyakit Berjangkit Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC) berkata, ada anjakan dalam epidemiologi HIV sejak sedekad yang lalu, daripada penggunaan menyuntik dadah kepada transmisi seksual, dan terkini dalam homoseksual atau MSM.

“Terdapat kelewatan dalam tindakan kesihatan awam negara untuk menangani transmisi seksual di sebalik banyak strategi pencegahan HIV biomedikal yang berkesan sejak tempoh lima tahun lepas di negara ini."

“Ianya akibat sensitiviti serta kesulitan untuk bercakap secara terbuka mengenai seks serta akibat melakukan seks yang tidak selamat,“ katanya dalam wawancara Zoom dengan Bernama baru-baru ini.

 

RAWATAN HIV (TERAPI ANTIRETROVIRAL)

Pada penghujung tahun 2018, dianggarkan seramai 87,041 orang hidup dengan HIV (PLHIV) di Malaysia dan daripada jumlah itu, 75,040 orang dimaklumkan menerusi sistem pemantauan kebangsaan. Menjelang Disember 2018, sebanyak 55 peratus daripada PLHIV menerima Terapi Antiretroviral (ART).

Terapi (ART) ini adalah rawatan sepanjang hayat dan secara efektifnya dapat mengawal virus, dan membolehkan pesakit mendapat akses kepada ubat-ubatan bagi mebolehkan mereka menjalani kehidupan yang sepenuhnya dan produktif.

Menurut Dr Raja Iskandar Shah, buat masa ini tidak ada ubat untuk menyembuhkan jangkitan HIV, bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, kaedah merawat serta menguruskan jangkitan HIV berubah dengan adanya ubat antiretroviral.

“Apa yang masyarakat tidak tahu ialah kemajuan yang dicapai dalam penyelidikan HIV. Para saintis mungkin tidak dapat membangunkan vaksin HIV yang berkesan kerana virusnya begitu kompleks, dan bermutasi pantas. Banyak yang kami pelajari dalam penyelidikan HIV menyediakan asas untuk vaksin COVID-19."

“Bagaimanapun, rawatan untuk HIV semakin bertambah baik sejak tempoh 20 tahun lalu dan kami ada rawatan yang mesra kesan sampingan, boleh diterima pesakit dan boleh diberikan sekali sehari dengan sekatan makanan yang minimum,“ katanya.

Meskipun Malaysia mencatat kejayaan dalam rawatan HIV sejak sekian lama, beliau menekankan rawatan baharu masih diperlukan untuk meningkatkan toleransi serta merawat infeksi dengan strain HIV yang kebal terapi sedia ada.

Baru-baru ini, Dr Raja Iskandar Shah berkata, satu rawatan suntikan untuk HIV dibangunkan yang membolehkan pesakit yang tidak tahan terapi oral, untuk mengambil ubatan setiap sebulan atau dua bulan.

pic-3


Rawatan HIV melalui suntikan. pharmakhabar.com

“Rawatan suntikan HIV yang dikenali sebagai injectable Cabotegravir and Rilpivirine ialah menggunakan suntikan dan kami boleh merawat serta menambah pilihan kepada pesakit HIV."

“Buat masa ini, rawatan HIV adalah satu kaedah yang mampu melindungi mereka yang hidup dengan virus ini daripada jatuh sakit. Ramai yang beranggapan HIV adalah hukuman mati dan mereka mahu melihat manfaat ujian serta rawatan."

“Mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV) yang kerap mengambil rawatan dan virus dalam darah adalah sangat rendah dan tidak boleh dikesan oleh ujian makmal yang standard, tidak mampu memindahkan virus tersebut kepada pasangan seksual mereka. Jadi, orang tidak perlu takut dengan HIV. Rawatan bukan sahaja melindungi kesihatan orang yang ada HIV tetapi juga orang lain di sekeiling mereka dengan mencegah transmisi HIV kepada pasangan seksual mereka,“ katanya.

 

RAWATAN DISEDIAKAN DI UMMC & UMSC

pic-2

Bahagian Penyakit Berjangkit, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) dan UMSC menyediakan perkhidmatan komprehensif melibatkan pencegahan serta rawatan pelbagai penyakit berjangkit termasuk jangkitan dalam komuniti serta hospital.

UMSC juga menyediakan penjagaan serta rawatan komprehensif kepada pesakit yang menghidap penyakit berjangkit termasuk saringan dan rawatan jangkitan HIV, jangkitan berkait HIV iaitu jangkitan bersama Hepatitis B and C,”  tambah Dr Raja Iskandar Shah.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan untuk pencegahan HIV termasuk pencegahan transmisi HIV kepada pasangan negatif HIV seperti HIV Pre exposure and post exposure prophylaxis bagi pasangan yang seorang positif HIV dan seorang lagi negatif HIV untuk mengandung serta populasi yang berisiko kepada jangkitan HIV, ” katanya, sambil menambah, terdapat tiga orang perunding Penyakit Berjangkit di UMSC."

Beliau berkata, bidang pencegahan HIV menggunakan HIV pre-exposure prophylaxis (PrEP) adalah amat memberangsangkan dengan beberapa pilihan daripada pil harian kepada rawatan suntikan bagi mencegah HIV.

“Ianya sama dengan kaedah oral atau injectable contraception bagi mencegah kehamilan. Antiretroviral untuk kedua-dua rawatan serta pencegahan HIV boleh didapati di UMMC dan UMSC."

“Kami menghadapi kesulitan untuk meningkatkan akses serta pengambilan PrEP bagi populasi yang berhadapan dengan risiko HIV. Seperti kondom, terdapat kebimbangan oleh sesetengah penyedia penjagaan kesihatan yang ianya akan menggalakkan orang mengadakan hubungan seksual tanpa kondom."

“Peranan kami sebagai penyedia penjagaan kesihatan yang berkhidmat dalam bidang ini adalah untuk menyediakan pelbagai pilihan untuk mengurangkan risiko HIV supaya orang boleh membuat pilihan untuk diri mereka sendiri, yakni, pilihan mana yang sesuai untuk mereka,” beliau menambah.

 

MEMPERKENALKAN JOM-TEST.COM


Profesor Madya Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa, Perunding Bersekutu Penyakit Berjangkit Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC). medicine.yale.edu

pic-5

‘Jom-test.com’, adalah laman sesawang pertama ujian sendiri HIV di Malaysia dan ia sebahagian daripada projek perintis yang dilancarkan baru-baru ini.

Ia untuk meningkatkan ujian HIV dalam kalangan penduduk negara ini yang berhadapan risiko HIV dan pada masa ini tidak mengakses mana-mana perkhidmatan ujian HIV.

Bagi mereka yang memberikan kebenaran, kit ujian kendiri HIV percuma (sama ada berasaskan oral atau darah) akan diposkan supaya ujian HIV ini boleh dibuat sendiri di rumah.

Ianya dikendalikan di Malaysia oleh satu pasukan penyelidikan dari Pusat Kecemerlangan untuk Penyelidikan AIDS (CERiA), Universiti Malaya, Majlis AIDS Malaysia (MAC), dan Love Foundation, Thailand.

pic-6

Dr Raja Iskandar Shah yang juga setiausaha kehormat MAC berkata, kit ujian itu akan membantu mereka yang berhadapan dengan risiko HIV, yang sukar untuk ke tempat yang menyediakan perkhidmatan ujian HIV kerana stigma dikaitkan dengan ujian HIV.

“Inisiatif ini penting kerana ada yang tidak tampil untuk dibuat ujian kerana stigma itu, kebanyakannya daripada penyedia penjagaan kesihatan dan masyarakat awam. Buat ujian di rumah dan anda akan lebih yakin melakukannya,” katanya.

Berdasarkan maklumat dalam laman sesawang berkenaan, terdapat dua pilihan ujian kendiri HIV iaitu Instie dan Oraquick, yang dilulluskan oleh Food and Drug Administration (FDA), Amerika Syarikat menerusi laman sesawang Jom Test .

Kit ujian kendiri HIV membolehkan individu untuk mengakses maklumat kesihatan yang penting, secara peribadi.


Laman sesawang pertama ujian sendiri HIV di Malaysia. Jom-test.com

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2