Pakai pelitup muka, memasuki 2021 dengan norma baharu



Oleh S. Kisho Kumari

KUALA LUMPUR, 31 Dis -- Melindungi diri dengan memakai pelitup muka, dilengkapi dengan pembasmi kuman tangan, dan mungkin dengan latar belakang muzik “Menyayangimu Dari Jauh”, kita menuju ke arah 365 hari yang baharu.

Perang melawan virus masih belum selesai walaupun pengeluaran vaksin memberi sedikit kelegaan.

Oleh itu, kita memasuki tahun 2021 dengan norma baharu. Justeru, pakai pelitup muka!

Kenapa ia penting?

Pertama, ia mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau malah, setahun sebelum 33.8 juta rakyat Malaysia mendapat suntikan vaksin.

Syarikat dari Jerman, BioNTech menyatakan bahawa impak daripada vaksin COVID-19 yang baharu akan dapat dilihat pada musim panas dan kehidupan akan kembali normal hanya pada musim sejuk tahun depan.

Di Malaysia, kerajaan menjangka untuk menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 daripada Pfizer pada Februari tahun depan, untuk memenuhi keperluan terutamanya golongan barisan hadapan dan kumpulan yang mudah terjejas.

Kerajaan telah mengumumkan bahawa ia telah mendapat bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin daripada Pfizer pada 24 Nov, untuk 6.4 juta rakyat Malaysia atau 20 peratus daripada jumlah penduduk.

Penghantaran pertama sebanyak satu juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun depan, diikuti 1.7 juta dos (suku kedua), 5.8 juta dos (suku ketiga) dan 4.3 juta dos (suku keempat).

Malaysia juga mendapatkan vaksin yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal dari United Kingdom, AstraZeneca, melalui rundingan di bawah kemudahan COVAX untuk 10 peratus lagi daripada jumlah penduduk negara. 

Kedua, walaupun berita mengenai vaksin memberikan harapan, ini tidak bermakna kita boleh mengambil mudah berikutan varian baharu virus itu telah ditemui, dan ini bermakna penjarakan fizikal dan sanitasi terus menjadi keutamaan.

Sebagai contoh, strain virus UK B117 yang baharu dilihat menolak vaksin sedia ada.

Ahli sains berpandangan varian baharu itu lebih mudah dijangkiti berbanding varian terdahulu, sekali gus bermaksud orang ramai perlu mematuhi langkah-langkah pencegahan sedia ada seperti peraturan penjarakan sosial dan kebersihan yang lebih teliti berbanding sebelum ini.

Ini terutamanya apabila data menunjukkan 89 peratus daripada pesakit COVID-19 di Malaysia tidak mempunyai sebarang gejala atau hanya menunjukkan simptom yang ringan.

Ketiga, ribuan pekerjaan dan pemulihan ekonomi negara bergantung kepada sejauhmana negara dapat membendung virus itu.

Pemulihan ekonomi yang kukuh bukan sahaja bergantung kepada kerajaan dan penggiat industri untuk melaksanakan dasar-dasar yang relevan bagi merancakkan ekonomi, malah, turut berpandukan kepada cara norma baharu diamalkan.

Malaysia adalah antara negara pertama di rantau ini yang melancarkan pakej rangsangan COVID-19 bernilai RM305 bilion bagi memastikan risiko COVID-19 kepada ekonomi dapat ditangani dengan berkesan.

Kerajaan turut mengumumkan belanjawan yang bersejarah dan paling besar kepada negara setakat ini, bernilai RM322.5 bilion untuk mengurangkan impak COVID-19 terhadap rakyat Malaysia dan ekonomi secara amnya.

Kemudian, wujud dasar-dasar seperti Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, Rang Undang-Undang Kewangan 2020 dan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2020.

Inisiatif ini diyakini dapat meringankan beban isi rumah dan perniagaan, namun, bagi Malaysia, masalah ini masih belum selesai.

Kementerian Kesihatan menjangka Malaysia akan mencatatkan 6,000 kes positif COVID-19 pada minggu akan datang yang sewajarnya menjadi peringatan sebenar.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka ini adalah lebih tinggi berbanding jangkaan awal pakar Universiti Sains Malaysia iaitu 5,000 kes dalam tempoh dua minggu.

Katanya peningkatan kes itu mungkin berikutan intervensi kesihatan awam yang dipertingkatkan di lapangan.

Bantuan itu mungkin tidak memberi manfaat jika pandemik ini tidak mampu dikawal. Oleh itu, kita perlu ceria pada tahun baharu dengan melaksanakan semua langkah keselamatan yang ditetapkan.

Justeru, pakailah pelitup muka. Helo, 2021 !!!

-- BERNAMA 

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2