Dr Yap Choon Fong memakai pakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE). -- Gambar ihsan Dr Yap Choon Fong
Oleh Soon Li Wei
KUALA LUMPUR (Bernama) -- "Disahkan hamil dan bakal menimang cahaya mata" menjadi impian kebanyakan wanita yang sudah bergelar isteri dan sudah tentunya sang suami turut berdebar menanti hari kelahiran bayi mereka.
Namun bagi Dr Yap Choon Fong, 30, yang berasal dari Taiping, Perak, perasaannya bercampur baur antara gembira dan risau apabila beliau disahkan mengandung pada bulan April lalu, iaitu enam bulan selepas mendirikan rumah tangga.
Apatah tidaknya, mengandung ketika pandemik COVID-19 sedang melanda di negara ini bukannya sesuatu perkara yang mudah, ditambah pula ketika itu beliau baru sahaja ditugaskan di Unit COVID-19, di sebuah klinik kesihatan di Bukit Mertajam.
Beliau sudah berkhidmat di klinik tersebut sejak tahun 2017.
Tugas Dr Yap adalah untuk mengambil sampel ujian saringan COVID-19 setiap hari, membuatkan bakal ibu itu sentiasa terdedah kepada risiko dijangkiti.
pic-2
Keadaan ini turut merisaukan anggota keluarga dan rakan-rakannya.
"Dari awal kehamilan hingga ke minggu ke-24, saya diberi tanggungjawab untuk menganggotai Unit COVID-19 bagi menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas semua Pesakit Bawah Siasatan (PUI), sama ada yang datang ke klinik ataupun kami pergi ke kawasan terjejas mengikut jadual.
"Ketika itu, apabila anggota keluarga dan rakan mendapat tahu saya hamil, mereka risau dan menasihati supaya memohon untuk bertukar ke unit lain, namun saya tidak berbuat demikian kerana kekangan petugas kesihatan di klinik.
"Saya sedar bahawa sebagai petugas barisan hadapan, saya tidak boleh pentingkan diri sendiri. Perasaan paranoid perlu ditepis dan terus berkhidmat dan sama-sama memerangi wabak COVID-19," katanya kepada Bernama, menerusi wawancara di Facebook baru-baru ini.
TIDAK SEDAR DIRINYA MENGANDUNG
pic-3
Sepanjuang tempoh kehamilan sehingga kandungannya berusia 24 minggu, Dr Yap ditugaskan di Unit COVID-19 untuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
"Antara kawasan yang kami kunjungi dan bertugas termasuk Depot Tahanan Imigresen Juru, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, penjara, serta kawasan perumahan yang dikenakan PKPD.
"Setiap hari, kami bertanggungjawab untuk mengambil kira-kira 200 sampel bagi setiap stesen sama ada daripada Pendatang Tanpa Izin (PATI), penduduk PKPD, pelancong serta warganegara yang tiba di tanah air di lapangan terbang, " katanya.
Menurut Dr Yap, memandangkan mereka semua berpakaian lengkap Peralatan Perlindungan Diri (PPE) ketika bertugas, rakan-rakan setugas dan pesakit tidak tahu beliau mengandung, sehinggalah ketika habis bertugas dan PPE ditanggalkan, ada jururawat perasan keadaan perutnya yang besar.
Selepas kandungan berusia 24 minggu, beliau ditugaskan secara bergilir-gilir antara Unit COVID-19, Klinik Demam dan klinik harian biasa sehinggalah sehari sebelum bersalin pada hujung Oktober lalu.
"Walaupun sudah bertugas di klinik harian biasa, namun kadangkala disebabkan kekangan kakitangan , saya perlu juga turun padang untuk mengambil ujian saringan COVID-19 daripada pesakit di khemah Klinik Demam dengan berpakaian PPE lengkap.
"Meskipun saya sarat mengandung, tiada pengecualian untuk tidak menunaikan tanggungjawab sebagai doktor perubatan. Ini khidmat bakti saya kepada masyarakat, " katanya.
Bagi Dr Yap, sudah menjadi kebiasaan bagi beliau dan rakan sepasukannya di Unit COVID-19 untuk melakukan sanitasi serta membersihkan diri terlebih dahulu sebelum dan selepas bertugas.
"Sebagai seorang doktor yang sedang hamil, sudah pasti saya perlu bertanggungjawab memastikan saya mematuhi semua aspek SOP, selain membersihkan diri sekurang-kurangnya empat kali iaitu sebaik sahaja menanggalkan suit PPE.
"Kami sentiasa menganggap diri kami sebagai kontak rapat kerana setiap hari kami terdedah kepada pesakit yang datang mengambil ujian saringan COVID-19 dan ada antara mereka yang kes positif," katanya.
Bercakap mengenai PPE, beliau berkata ianya sudah tentu amat mencabar terutama apabia cuaca panas dan ada kala terpaksa menempuh hujan lebat.
Namun sokongan dan semangat positif yang dihulurkan oleh rakan-rakan seperjuangan menghilangkan rasa tekanannya ketika menjalankan tugas.
"Saya bersyukur kerana mempunyai pasukan kerja berbilang kaum yang sporting dan sangat membantu, kadang kala terhibur juga kerana mereka pandai bergurau, dapat menghilangkan tekanan ketika bertugas," katanya.
KONTAK RAPAT PESAKIT COVID-19 KETIKA BERSALIN
pic-7
Menyifatkan perjalanan untuk bergelar ibu sebagai sangat mencabar ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Dr Yap berkata pengalamannya bersalin di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang merupakan antara yang sukar dilupakan.
"Saya masih ingat tiga hari sebelum bersalin, saya mengalami sakit kontraksi secara berterusan dan saya ingatkan ia hanyalah 'Braxton Hicks' (kontraksi tanpa sakit), maka saya masih lagi terus bertugas di klinik.
"Namun pada hari ketiga, perut saya berasa sakit sehingga tidak dapat memandu ke klinik. Ketika itu saya baru sedar akan tanda-tanda hendak bersalin dan suami saya segera membawa saya ke hospital swasta," katanya.
Walaupun Dr Yap selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada 29 Oktober lalu, namun pada hari ketiga selepas bersalin, beliau menerima panggilan daripada doktor O&G (Ahli Obstetrik dan Pakar Sakit Puan) bagi memaklumkan sesuatu yang amat memeranjatkan.
"Proses bersalin saya sangatlah lancar sehinggalah saya diberitahu oleh doktor O&G pada hari ketiga selepas bersalin bahawa doktor bius yang bertanggungjawab memberi saya 'Epidural' disahkan positif COVID-19.
"Ketika itu saya masih dalam proses berpantang dan mempelajari untuk menyusu bayi. Saya terpaksa menjalani ujian saringan COVID-19 selama tiga kali dalam sebulan dan dua minggu berkuarantin. Syukur selepas dua minggu keputusan ujian saya negatif," katanya sambil menambah, pengalaman terpaksa menjalani ujian saringan COVID-19 menjadikan beliau lebih faham dengan perasaan yang ditanggung oleh PUI.
Bagi ibu berpantang ketika kuarantin, ia sesuatu yang sangat mencabar dan tidak mudah kerana Dr Yap terpaksa menguruskan diri dan bayinya tanpa mendapat bantuan daripada suami dan anggota keluarganya.
"Bayangkan ibu berpantang biasanya ada suami ataupun anggota keluarga untuk membantu, namun keadaan saya sangat berbeza kerana tidak boleh ada kontak dengan sesiapa pun ketika kuarantin.
"Pada masa yang sama berpantang, segalanya perlu dilakukan sendirian. Namun saya bersyukur kerana mereka sangat memahami dan memberi sokongan moral kepada saya menerusi panggilan video',” katanya.
pic-4
Tanggungjawab sebagai ibu ketika PKPB sangat mencabar kerana Dr Yap dan suaminya tidak mahu mengambil perkhidmatan pengasuh serta penjaga ketika sedang berpantang. Mereka berdua mempelajari petua serta panduan menguruskan bayi serta berpantang menerusi Youtube di samping mendapatkan tunjuk ajar anggota keluarga menerusi panggilan video.
"Anggota keluarga saya khususnya ibu dan kakak sulung saya banyak memberikan sokongan dan sentiasa memberi nasihat kepada saya untuk menjaga kesihatan ketika berpantang menerusi panggilan video.
"Walaupun kadang-kala kami berdua berasa letih namun sangat puas," katanya.
RISIKO PETUGAS BARISAN HADAPAN
pic-6
Memandangkan risiko tinggi untuk para petugas barisan hadpaan, mereka perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga berbeza dengan keadaan sebelum wabak COVID-19.
"Jujur saya katakan kami semua mempunyai rasa takut dan risau, tambahan pula tugas kami di Unit COVID-19 sentiasa terdedah dengan sebarang kemungkinan.
"Jika dahulu semua pesakit boleh datang ke klinik untuk terus berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan, namun kini perlu ikut SOP yang ketat. Bagi mereka yang bergejala perlulah segera menjalani saringan COVID-19 sebelum dapat menerima rawatan," katanya.
Menurut Dr Yap, petugas barisan hadapan juga perlu sentiasa bersikap positif dan optimis dalam memerangi COVID-19 kerana kini semakin ramai petugas kesihatan yang dijangkiti wabak itu.
"Ramai petugas kesihatan yang dijangkiti itu akibat sikap tidak jujur pesakit terhadap gejala mereka, sejarah perjalanan dan kontak rapat.
"Kami perlu sentiasa tabah, walaupun kadang-kala sangat letih dari segi fizikal dan mental, namun apatah daya demi tugas dan tanggungjawab, kami haruslah sentiasa bersedia dan bekerjasama dengan orang awam untuk sama-sama memerangi pandemik ini.
"Nasihat kami kepada orang awam, sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri selain memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal ketika berada di tempat awam, selain bersikap jujur terhadap gejala, sejarah perjalanan dan kontak rapat ketika mendapatkan rawatan di hospital dan klinik," katanya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN