COVID-19: Tempat Kerja 'Lubuk' Penularan Koronavirus Maut

Petugas kesihatan menunjukkan proses pensampelan COVID-19 yang diambil dari individu secara pandu lalu pada Program Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen di Pejabat Tanah dan Daerah Port Dickson. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 6 Feb hingga pukul 1:00tgh 12 Feb 2021.

Jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia melebihi 254 ribu. Di peringkat global, hampir 108 juta  kes dilaporkan dengan lebih 2.3 juta kematian. Lebih 80  juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kilang dan tapak binaan ternyata menjadi ‘lubuk’ penularan koronavirus maut, COVID-19 apabila laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) saban hari merekodkan kluster baharu yang dikesan daripada tempat kerja berkenaan.

KKM melaporkan kes baharu dikesan, antaranya, sama ada hasil saringan bersasar, hasil saringan kontak rapat, hasil saringan individu bergejala dan hasil saringan sebelum pulang ke negara asal.

Berdasarkan perangkaan KKM, untuk sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama (6 Feb-11 Feb), dua negeri yang sering muncul di tempat teratas dalam senarai kluster tempat kerja (KTK) adalah Selangor dan Johor.


Taburan sebahagian kes COVID-19 di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Sistem Pemantauan COVID-19 Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Antara KTK dilaporkan di Selangor termasuk Kluster Industri Kampung Baru, melibatkan daerah Petaling, Selangor, hasil saringan bersasar tiga (3) buah kilang di Kampung Baru, Sungai Buluh. Sehingga 6 Februari 2021, 167 kes positif dikesan.

Di Johor, antara KTK yang dilaporkan termasuk Kluster Senai City Lapan, melibatkan daerah Kulai dan Johor Bahru di Johor. Hasil saringan bersasar sebuah kilang di Jalan I-Park Sc 8, Taman Perindustrian I-Park SAC, Senai, Kulai. Sebanyak 114 kes positif dikesan sehingga 9 Februari 2021.

pic-6

KKM juga melaporkan kluster baharu yang dikategorikan sebagai komuniti, keagamaan dan kumpulan berisiko tinggi (KBT). 

Kluster baharu yang dilaporkan turut melibatkan syarikat perkhidmatan, syarikat pembersihan, pusat pentadbiran awam, pusat perubatan termasuk pusat dialisis, pusat jagaan, pusat pengajian, pusat beli belah, ladang dan pusat tahanan.

Untuk tempoh rangkuman mingguan (6 Feb-11 Feb), KKM melaporkan sebanyak 72 kluster baharu  dan 56 atau 77.7 peratus daripadanya adalah kluster tempat kerja (KTK). Selangor menyumbang 20 (36.0 peratus) KTK daripada 56 kluster tempat kerja tersebut, sementara Johor melaporkan 18 (32.1 peratus) KTK.

Kemunculan ketara KTK dikaitkan dengan program saringan yang dijalankan ke atas pekerja khususnya warga asing di kilang dan tapak binaan, bermula 1 Disember 2020.

Untuk rekod, jumlah kluster baharu sepanjang 6 Feb-11 Feb 2021 adalah seperti berikut :-

Sabtu 6 Feb - 12 kluster baharu, 11 daripadanya KTK;

Ahad 7 Feb - tujuh (7) kluster baharu, tiga (3) daripadanya KTK;

Isnin 8 Feb -  13 kluster baharu, 11 daripadanya KTK;

Selasa 9 Feb - 12 kluster baharu, 11 daripadanya KTK;

Rabu 10 Feb - 11 kluster baharu, tujuh (7) daripadanya KTK;

Khamis 11 Feb - 17 kluster baharu, 13 daripadanya KTK.

Secara keseluruhannya, pada masa ini terdapat sebanyak 477 kluster di Malaysia yang masih aktif dan dipantau.


Pelanggan membuat pesanan makanan di dalam Kafe Mek Awang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan dihadkan kepada dua orang sahaja bagi setiap meja. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

 

KES HARIAN BAHARU DIJANGKA STABIL

Setelah dikejutkan dengan kes harian baharu COVID-19 melebihi lima ribu tiga hari berturut-turut, iaitu pada 29 Jan 2021 ( 5,725 kes), 30 Jan 2021 (5,728 kes) dan 31 Jan 2021 (5,298 kes), secara keseluruhannya sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini, jumlah kes harian baharu semakin stabil.

Paling melegakan apabila negara mencatat kes harian baharu sebanyak 2,764 kes pada 9 Februari, setelah kes harian baharu berlegar sekitar purata tiga (3) ribu hingga empat (4) ribu.  

Kali terakhir Malaysia mencatat kes harian baharu sekitar dua ribu adalah pada 13 Januari iaitu 2,985 kes dan setelah itu, kes harian baharu terus berlegar antara tiga dan empat ribu.

Semalam Khamis 11 Feb, jumlah kes positif baharu seperti diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar mengenai situasi semasa jangkitan penyakit COVID-19 di Malaysia, adalah sebanyak 3,384 kes, terdiri daripada 3,369 kes penularan tempatan dan 15 kes import.

Daripada 3,369 kes penularan tempatan, sebanyak 1,954 kes (58.0 peratus) melibatkan warganegara, sementara 1,415 (42.0 peratus) bukan warganegara.

Dengan 3,384 kes baharu, jumlah kes kumulatif CIVID-19 di Malaysia kini melonjak kepada 254,988 kes, dan kes aktif dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 51,783 kes.

Untuk rekod, kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan 6 Feb hingga 11 Feb 2021 adalah 3,487 (6 Feb), 3,731 kes (7 Feb), 3,100 kes (8 Feb), 2,764 kes (9 Feb), 3,288 kes (10 Feb) dan  3,384 kes (11 Feb).

pic-4

Kes sembuh sehingga 11 Februari adalah sebanyak 3,774 kes dan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada COVID-19 kini sebanyak 202,269 kes (79.3 peratus).

Rekod kes sembuh sepanjang 6 Feb hingga 11 Feb 2021 Feb adalah 1,692 kes (6 Feb), 3,369 kes (7 Feb), 2,340 kes (8 Feb), 3,887 kes (9 Feb), 1,929 kes (10 Feb) dan 3,774 kes (11 Feb).

Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya semalam meminta kerjasama semua rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu menurunkan jumlah kes harian baharu COVID-19.

Beliau membuat permintaan itu dengan berkongsikan laporan Institut Health Metrics and Evaluation (IHME) yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang membuat ramalan pada Januari 2021 bahawa kes harian baharu COVID-19 di Malaysia akan meledak sehingga 20,000 kes sehari dari 3 Mac 2021.

“Semoga kita bersatu menewaskan virus ini dan mengenepikan perbezaan serta kepentingan peribadi. Kita mesti kekal fokus untuk memerangi virus ini dan melakukan yang terbaik untuk negara, Lindungi golongan yang lemah dan orang-orang yang kita sayang. Duduklah di rumah dan jaga diri dengan selamat sepanjang cuti perayaan (Tahun Baharu Cina) yang panjang ini,” kata Dr Noor Hisham.


Khoo Chai Ee (kanan) dan isteri Peng Soo Bee (dua dari kanan) di Kota Kemuning Shah Alam membuat panggilan video bersama anaknya, Khoo Xin Na yang tinggal di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur selepas tidak dapat bersama semasa makan besar menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina 2021. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau melaporkan semalam (11 Feb), kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 11 Februari 2021 untuk seluruh negara adalah 0.88. Ini berbanding Ro/Rt 0.99 pada 5 Februari 2021.

Dengan rekod kes kumulatif 254,988, Malaysia kini berada di tangga 49 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19. Di hadapan Malaysia adalah Equador (262,213 kes) dan Belarus (263,551 kes).

Negara China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, di tangga 84 dengan 89,748 kes, sementara negara jiran Singapura di tangga 94 dengan 59,759 kes.

 

 

LAPORAN KLUSTER KKM

pic-2

Sehingga Khamis 11 Februari 2021, jumlah kluster COVID-19 dalam negara adalah sebanyak 948 kluster dan 471 kluster daripadanya, diisytihar tamat.

Jumlah kluster masih aktif adalah sebanyak 477 kluster dan 85 kluster daripadanya, merekod pertambahan kes baharu. Tiga kluster yang dilaporkan menambah kes baharu tertinggi semalam (11 Feb) adalah Kluster Perdana (155 kes), Kluster Jalan Air Hitam (108 kes) dan Kluster Tanjung Suria (101 kes).

Kluster Perdana (Kluster Tapak Bina Perdana Avenue) dilaporkan pada 3 Januari 2021, melibatkan daerah Petaling, di Selangor. Hasil saringan bersasar ke atas pekerja tapak binaan.


Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) pertama di Johor dan mampu menempat kira-kira 1,200 pesakit. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kluster Tanjung Suria melibatkan daerah Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Huu Selangor di Selangor. Hasil saringan bersasar tempat kerja melibatkan dua (2) buah kilang.

Sementara itu, sebanyak 17 kluster baharu dilaporkan semalam, melibatkan 13 kluster tempat kerja, dua (2) kluster komuniti, satu (1) kluster pusat tahanan dan satu (1) kluster kumpulan berisiko tinggi.

Di samping Kluster Jalan Air Hitam, KTK lain yang dilaporkan semalam dan mencatat kes tinggi ketika saringan dijalankan adalah Kluster Jalan Perindustian Getah yang melibatkan daerah Kulai, Johor Bahru dan Kota Tinggi di Johor. Kluster ini adalah hasil saringan pekerja sebuah kilang di Senai Industrial Estate, Kulai. Daripada 193 individu yang disaring, 102 kes dikesan positif COVID-19.

Pada 8 Februari, antara kluster menambah kes baharu yang tinggi adalah Kluster Industri Serkam yang mencatat 329 kes pada hari tersebut. KTK ini melibatkan daerah Jasin dan Melaka Tengah, Melaka, hasil saringan bersasar sebuah kilang pemprosesan ayam di Serkam, Merlimau. Sehingga Ahad 7 Februari, sebanyak 800 kes dilaporkan positif.

 

PERINCIAN KES COVID-19 DI MALAYSIA

pic-3

Menurut perincian KKM terhadap 3,384 kes positif yang dilaporkan pada 11 Februari, Selangor masih menyumbang kes terbanyak iaitu 1,082 kes. Sebanyak 324 kes daripada jumlah itu daripada kluster sedia ada. Tiga kluster baharu dilaporkan semalam, Kluster Tapak Bina Lembah Subang, Kluster Subang Delima dan Kluster Jalan Bukit Sentosa.

Sebanyak 574 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19, tiga (3) kes import dan 181 kes daripada saringan lain COVID-19.

Johor merekod 777 kes dan melaporkan sebanyak lima kluster baharu, Kluster Jalan Air Hitam, Kluster Jalan Perindustrian Getah, Kluster Kampung Tanjung Selabu, Kluster Jalan Raja Muar, Kluster Jalan Gemilang Lima dan Kluster Jalan Bakawali Ramun. Terdapat satu (1) kes import.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekod 435 kes di mana 234 kes daripada kluster sedia ada termasuk daripada kluster baharu, Kluster Jalan Berhala, Kluster Jalan Telawi dan Kluster Bukit Angkasa. Terdapat tujuh (7) kes import.

Kedah 228 kes dengan dua kluster baharu, Kluster Perdana dan Kluster Dedap; Sarawak 184 kes dan satu kluster baharu, Kluster Nanga Lijan; Pulau Pinang 144 kes; Sabah 142 kes dan satu (1) kes import; Melaka 101 kes dan satu kuster baharu, Kluster Jalan Bukit Baru.

Negeri Sembilan 89 kes; Perak 82 kes dan satu kluster baharu, melibatkan pusat tahanan iaitu Kluster Tembok Bendera; Kelantan 48 kes; Terengganu 26 kes; Pahang 21 kes; Wilayah Persekutuan Labuan, 14 kes dan satu (1) kes import; Wilayah Persekutuan Putrajaya tujuh (7) kes dan Perlis empat (4) kes.

Sementara itu, sebanyak 259 kes COVID-19 memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi dan 122 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 13 kes kematian dilaporkan semalam (11 Februari), menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 936 kes (0.37 peratus). 

pic-5

Malaysia mencatat jumlah kes kematian tertinggi pada 8 Feb iaitu 24 kes, melibatkan tujuh (7) kes di Selangor, masing-masing tiga (3) kes di Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua (2) kes di Perak dan Johor, serta satu (1) kes di Kelantan, Melaka, Kedah, dan Pulau Pinang. Sebanyak 21 kes melibatkan warganegara dan tiga (3) kes bukan warganegara.

Kebanyakan kes pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19 seperti dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai komplikasi kesihatan, sebahagian besarnya strok, darah tinggi, buah pinggang kronik, kencing manis dan jantung. Terdapat juga kes penyakit dislipidemia, dementia, asma, obesiti dan anemia. 

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman adalah 12 kes (6 Feb), 15 kes (7 Feb), 24 kes (8 Feb), 13 kes (9 Feb), 14 kes (10 Feb) dan 13 kes (11 Feb).

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dilaksanakan secara berperingkat, dibahagi kepada tiga fasa yang akan memberi manfaat kepada 80 peratus atau 26.5 juta rakyat Malaysia di mana vaksin COVID-19 akan diberikan secara percuma.

Fasa pertama melibatkan barisan hadapan (pertugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan) bermula Mac depan sehingga April 2021.

Fasa kedua (April hingga Ogos 2021) pula melibatkan sekitar 9.4 juta orang termasuk kumpulan berisiko tinggi termasuk warga emas dan golongan rentan berusia 60 tahun ke atas dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). 

Fasa ketiga pula yang dijadualkan bermula Mei 2021 hingga Februari 2022 melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Malaysia masih berada di bawah Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari sehingga bulan Ogos 2021 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang kini meliputi seluruh negara kecuali Sarawak.

PKP2.0 yang dijadualkan berakhir pada 4 Februari, kini disambung sehingga 18 Februari 2021 untuk semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak.

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19

pic-7

Jumlah kes COVID-19 global terkini sebanyak 108,293,836 kes (minggu lalu  105,502,306 kes) dengan 2,378,759 kematian (minggu lalu 2,296,454 kes kematian). Jumlah pesakit sembuh 80,476,328 kes (minggu lalu 77,344,628 kes).

Terdapat 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Rusia, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Itali, Turki dan Jerman.

Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 28,002,240 kes (486,922 kematian), India 10,880,413 kes (155,484 kematian), Brazil 9,716,298 kes (236,397 kematian), Rusia 4,027,748 kes (78,687 kematian), United Kingdom 3,998,655 kes (115,529 kematian), Perancis 3,406,685 kes (80,803 kematian), Sepanyol 3,041,454 kes (64,217 kematian), Itali 2,683,403 kes (92,729 kematian), Turki 2,564,427 kes (27,187 kematian) dan Jerman 2,321,215 kes (64,513 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 berada di tempat 84 dengan 89,748 kes dan kes kematian kekal 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina turut menyertai senarai 81 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19. 

Indonesia di tangga 19 dengan 1,191,990 kes dengan 32,381 kematian; Filipina di tangga 31 dengan 543,282 kes dan 11,469 kematian.

Myanmar minggu ini melaporkan 141,522 kes dengan 3,184 kematian di tangga 74 sementara Singapura melaporkan sebanyak 59,759 kes di tangga 94 dan angka kematian kekal 29.

Thailand mencatat 24,104 kes dengan 80 kematian, di tangga 114;  Vietnam mencatat 2,140 kes di tangga 169 dan angka kematian kekal 35; Kampuchea mencatat 479 kes di tangga 187 dan sifar kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes dengan 2 kematian di tangga 193 sementara kes COVID-19 di Laos sebanyak 45 kes dan sifar kematian di tangga 200.

 

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

-- Di UK, varian baru COVID-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan  70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.

-- Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai "501Y.V2". pada awal Oktober 2020.

 

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.


UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 1