Kertas Putih Stop Rabies, Boehringer Ingelheim Sokong Matlamat "zero By 30"



KUCHING, 29 Nov (Bernama) -- Usaha membanteras wabak rabies dan menggalakkan kesedaran mengenai pembasmian penyakit itu di Asia Tenggara bagi menyokong STOP Rabies adalah antara tumpuan utama yang diketengahkan dalam kertas putih dilancarkan oleh Boehringer Ingelheim pada Kongres Persekutuan Persatuan Veterinar Asia (FAVA) 2023 di sini pada 4 Nov lepas.

Kertas putih bertajuk Moving Towards A Rabies-Free Southeast Asia yang dibangunkan oleh Boehringer Ingelheim dengan kerjasama Eco-Business bertujuan meneroka strategi untuk merealisasikan matlamat strategik global Zero by 30 bagi mengakhiri kematian manusia akibat rabies yang disebabkan oleh anjing menjelang 2030.

Pengurus Teknikal Serantau Boehringer Ingelheim untuk haiwan pendamping bagi ASEAN, Korea, Australia dan New Zealand Dr Tan Do Yew berkata kertas putih itu menggariskan cabaran khusus negara dan penyelesaian pakar untuk melaksanakan pendekatan kolaboratif bagi mencegah rabies terutamanya di Malaysia, Vietnam, Filipina, Indonesia dan Thailand.

"Walaupun terdapat usaha di rantau ini, Asia Tenggara masih menjadi kawasan panas rabies, dengan berjuta orang mempunyai risiko terdedah kepada penyakit itu, menjadikan rantau ini sebagai vektor utama wabak berkenaan, meningkat di kawasan yang tidak pernah melaporkan kes rabies sebelum ini termasuk Malaysia. Hal ini mengesahkan keperluan kerjasama merentas sektor dan sempadan bagi membantu rantau ini maju.

"Di Malaysia, cadangan utama untuk mengurangkan penyebaran rabies termasuk mengukuhkan kerjasama rentas sempadan, melaksanakan pengurusan haiwan berkeliaran yang dipertingkatkan dan menggalakkan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab bagi mengurangkan risiko rabies dengan berkesan," katanya kepada Bernama.

Menurut Jabatan Kesihatan Sarawak, sebanyak 15 kes rabies melibatkan 13 kematian direkodkan setakat Ogos tahun ini dan jumlah kumulatif kes dalam kalangan manusia ialah 70 dengan 63 kematian dicatatkan sejak 2017.

Dr Tan berkata beberapa faktor yang menyumbang kepada penyebaran rabies dikenal pasti di seluruh Asia Tenggara termasuk Sarawak ialah populasi besar anjing bebas berkeliaran yang tidak divaksin, kadar vaksinasi rendah dalam kalangan haiwan peliharaan dan haiwan liar, sumber dan akses terhad terhadap vaksin haiwan dan penularan rabies merentas sempadan.

"Justeru, program pendidikan dan kesedaran penting untuk memastikan orang ramai peka tentang penyakit ini dan kepentingan vaksinasi haiwan peliharaan. Kami (Boehringer Ingelheim) juga komited untuk meningkatkan program kesedaran sebegini bagi menggalakkan pencegahan, vaksinasi dan pengawasan untuk memperlahankan penularan rabies," katanya.

Kertas putih bersama-sama dengan perhimpunan pihak berkepentingan pada Kongres FAVA 2023, mengukuhkan usaha berterusan Boehringer Ingelheim dalam program STOP Rabies untuk menghapuskan rabies yang sudah berlaku di Asia Tenggara dan seluruh dunia, katanya.

Sementara itu, Ketua Kesihatan Haiwan Boehringer Ingelheim Malaysia, Singapura dan Indonesia Dr Kam Kok Yen berkata Boehringer Ingelheim di Malaysia bekerjasama dengan kerajaan tempatan, pihak berkuasa kesihatan dan badan bukan kerajaan untuk memacu program STOP Rabies.

"Bagi tahun ini sahaja, kami memberikan vaksinasi kepada 450 ekor anjing dan kucing di bahagian Kuching dan Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA Selangor) serta mendidik 350 pelajar dari pelbagai sekolah di sekitar Serian mengenai penyakit rabies dan pencegahan gigitan anjing.

"Memandangkan gigitan anjing menyebabkan hampir semua kes melibatkan manusia, vaksinasi anjing ialah cara paling berkesan untuk melindungi manusia. Pada masa ini, kami sedang menuju ke arah merealisasikan matlamat Zero by 30 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu mengurangkan kadar kematian manusia akibat rabies yang disebabkan oleh anjing kepada sifar menjelang 2030," katanya.

Program STOP Rabies menumpukan kepada tiga tonggak utama iaitu vaksinasi, pendidikan dan pengawasan yang menekankan kepada penyediaan vaksin berkualiti, selaras dengan amalan terbaik dalam Boehringer Ingelheim menerusi kempen vaksinasi anjing, mewujudkan kesedaran lebih tinggi mengenai rabies dalam komuniti dan memantau kes dan data berkaitan rabies.

Simposium STOP Rabies pada Kongres FAVA 2023 dihoskan oleh Boehringer Ingelheim, menyediakan platform kepada pakar industri membincangkan pelbagai isu, inisiatif dan cadangan utama untuk membuka masa depan bebas rabies di Asia Tenggara.

Ahli panel yang terlibat dalam sesi perbincangan ialah Pengarah Program GARC Dr Terence Scott, Ketua Jabatan Patologi dan Mikrobiologi Veterinar di Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Farina Mustaffa Kamal dan wakil daripada Boehringer Ingelheim iaitu Dr Jerlyn K. Sponseller dan Dr Tan.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2