Vaksinasi Haiwan, Kesedaran Awam Dan Pengawasan Untuk Asia Tenggara Bebas Rabies - Pakar

Pengurus Teknikal STOP Rabbies Dr Jerlyn Sponseller (Kredit : Boehringer Ingelheim)

KUCHING, 11 Dis (Bernama) -- Matlamat menjadikan Asia Tenggara bebas daripada rabies manusia boleh dicapai melalui pemahaman menyeluruh tentang penyakit itu, bagaimana ia boleh dicegah dan sikap bertanggungjawab pemilik haiwan kesayangan dalam kalangan masyarakat, kata pakar.

Pengurus Teknikal Serantau Boehringer Ingelheim untuk haiwan pendamping bagi ASEAN, Korea Selatan, Australia dan New Zealand, Dr Tan Do Yew berkata vaksinasi haiwan kesayangan yang tepat pada  masanya boleh mengurangkan dengan ketara risiko penularan rabies.

“Anjing adalah reservoir rabies utama di seluruh dunia dan ia merupakan vektor penting yang perlu diberi perhatian di kawasan endemik. Setiap individu perlu sedar tentang risiko rabies dan kepentingan langkah pencegahan.

“Masalah biasa yang dihadapi dalam usaha mengawal rabies ialah tumpuan yang salah untuk memberi vaksin kepada orang sebelum anjing, yang merupakan punca 99 peratus kes manusia. Bagi Asia Tenggara mencapai hasil kawalan rabies yang lebih baik, ini mesti diubah. Cara yang berkesan untuk mengawal rabies adalah dengan memvaksin haiwan tersebut terlebih dahulu. Mereka adalah punca utama jangkitan,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Dr Tan berkata penularan rabies mungkin menjejaskan masyarakat dari segi kesihatan dan kesejahteraan sekiranya penyakit itu tidak diberi perhatian sewajarnya.

Untuk rekod, Boehringer Ingelheim, dengan kerjasama Perikatan Global Kawalan Rabies (GARC) telah memvaksin beribu-ribu anjing di seluruh Malaysia, Indonesia, Kenya, Filipina, Afrika Selatan, Thailand dan Vietnam.



Mengenai pemusnahan anjing sebagai penyelesaian untuk mengurangkan penularan rabies, Pengarah Program GARC Dr Terence Scott berpendapat pemusnahan sembarangan menyekat keberkesanan program vaksinasi dengan mengeluarkan anjing yang divaksin daripada populasi.

“Terdapat bukti bahawa pembunuhan secara besar-besaran dan sewenang-wenangnya terhadap anjing tidak berkesan dalam mengawal penularan rabies. Malah, ia boleh memburukkan lagi kerana mungkin memusnahkan haiwan yang telah divaksin, oleh itu mengurangkan imuniti kumpulan dalam populasi,” katanya.

Scott berkata kurangnya laporan kes rabies dan jumlah data yang tidak mencukupi, terutamanya di kawasan di mana akses kepada sistem laporan perubatan lemah, boleh menyukarkan pengesanan dan tindak balas kepada wabak rabies.

Berkongsi pandangan yang sama, Ketua Jabatan Patologi dan Mikrobiologi Veterinar di Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Farina Mustaffa Kamal menggesa masyarakat melaporkan sebarang kejadian gigitan anjing dan mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya di kemudahan perubatan terdekat.

“Ada orang tidak kisah untuk mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya apabila digigit anjing. Ini disebabkan oleh pelbagai isu seperti kewangan, akses kepada rawatan perubatan dan kurang pengetahuan tentang risiko dan kesan berbahaya gigitan anjing.

“Apabila mendapat rawatan, ia bukan sahaja dapat memastikan kesejahteraan mangsa, malah laporan kes boleh digunakan untuk menyelaras pelbagai program seperti program vaksinasi, pendidikan pencegahan gigitan anjing, dan kempen kesedaran untuk menghapuskan penyakit anjing gila di kawasan tertentu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kesihatan Haiwan Boehringer Ingelheim Malaysia, Singapura dan Indonesia Dr Kam Kok Yen berkata sudah tiba masanya untuk pelbagai komponen masyarakat, agensi kerajaan dan pemilik haiwan peliharaan bergabung tenaga untuk menamatkan wabak rabies di Asia Tenggara.

“Memandangkan gigitan anjing menyebabkan hampir semua kes manusia, vaksinasi anjing adalah cara paling berkesan untuk melindungi manusia. Ini, bersama-sama dengan pendidikan masyarakat tentang rabies dan pemantauan anjing, akan membantu ke arah penghapusan rabies dan merealisasikan matlamat global 'Zero by 30', bagi mengurangkan kadar kematian manusia akibat rabies yang disebabkan oleh anjing menjelang 2030.

Pada 4 Nov, Boehringer Ingelheim melancarkan kertas putih STOP Rabies ‘Melangkah ke arah Asia Tenggara yang bebas rabies’ untuk menarik perhatian mengenai penghapusan wabak rabies di Asia Tenggara pada Kongres Persekutuan Persatuan Veterinar Asia (FAVA) 2023 di Kuching, Sarawak.

Simposium STOP Rabies pada Kongres FAVA 2023 dihoskan oleh Boehringer Ingelheim, menyediakan platform kepada pakar industri membincangkan pelbagai isu, inisiatif dan cadangan utama untuk membuka masa depan bebas rabies di Asia Tenggara.

-- BERNAMA

 

 








Untuk maklumat lanjut klik sini

HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2