SJMC, PMG Jalin Kerjasama Tingkat Penjagaan Kesihatan Malaysia

Kredit : SJMC

KUCHING, 7 Okt (Bernama) -- Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) sebuah hospital swasta terkemuka menjalin kerjasama strategik dengan Public Medicare Group (PMG), iaitu penyedia penjagaan kesihatan primer tempatan terbesar di Malaysia.

Dalam kenyataan bersama hari ini, SJMC dan PMG memaklumkan kerjasama itu bertujuan meningkatkan penyampaian penjagaan kesihatan, memperbaiki hasil penjagaan kesihatan dan memperkukuhkan kesejahteraan keseluruhan rakyat di Malaysia.

Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak di sini baru-baru ini, akan memudahkan pesakit mengakses penjagaan primer dan tertiari di seluruh negara, memastikan kesinambungan rawatan dan hasil pesakit yang optimal.

MoU tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SJMC Bryan Lin dan Pengasas serta Pengerusi Eksekutif PMG Dr Chieng King Chong pada majlis yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif PMG Andrew Wong dan Pengarah Pergigian Dr Albert Lee serta Pakar Onkologi Klinikal SJMC Dr Matin Mellor Abdullah dan Pengarah Pembangunan Perniagaan, Strategi dan Transformasi SJMC Joanne Lee.

Kenyataan itu memaklumkan sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, SJMC dan PMG akan meneroka beberapa manfaat bersama untuk pesakit, memberikan ketenangan fikiran melalui penyelesaian pemantauan jarak jauh untuk tanda-tanda vital pesakit dan analisis masa nyata melalui ekosistem digital SJMC, Connected Care.

Menurut kenyataan itu kedua-dua organisasi itu juga, akan membangunkan program kesetiaan komprehensif menerusi kad kesetiaan sedia ada PMG, yang akan memberi nilai tambah kepada pesakit melalui pelbagai ganjaran, diskaun dan faedah eksklusif.


Kredit : SJMC

“Kerjasama itu juga akan memberi manfaat kepada profesional penjagaan kesihatan, dengan SJMC menawarkan peluang Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) di cawangan PMG di seluruh negara, manakala Program Pengamal Perubatan Am (GP) SJMC juga akan diperkenalkan kepada GP PMG untuk membina hubungan yang lebih kukuh.

“PMG akan dapat mengintegrasikan pelan penjagaan pesakit mereka dengan keupayaan diagnostik meluas Makmal SJMC, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi MS ISO 15189 sejak 2009 bagi penyediaan keputusan yang tepat, cekap dan boleh dipercayai bagi kedua-dua doktor dan pesakit,” menurut kenyataan itu.

Bryan menerusi kenyataan itu berkata mereka tidak sabar bekerjasama dengan PMG, untuk menggabungkan sumber dan kepakaran bagi mengambil langkah penting ke arah mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih baik di Malaysia.

“Kami berharap perkongsian ini akan mencetuskan lebih banyak inisiatif seperti ini kerana kami berdedikasi untuk mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Chieng berkata kerjasama berkenaan akan memperkukuhkan rangkaian penjagaan kesihatan untuk profesional dan pesakit daripada kedua-dua organisasi, memastikan akses yang lebih luas kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan jambatan yang menghubungkan perkhidmatan penjagaan primer PMG dengan kepakaran terkenal SJMC dalam penjagaan sekunder dan tertiari. Ini akan memastikan pesakit kami menerima rawatan yang tepat pada masanya, tanpa sebarang kelewatan,” katanya dalam kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018